MELAYU DAN CINA: HUBUNGAN MERENTASI ZAMAN III
Setiap hubungan persahabatan pasti akan ada pasang
surutnya, begitu juga dengan hubungan antara Melayu dan Cina yang kita sekali
lagi ingin bincangkan di sini. Kali ini,kita bincangkan mengenai hubungan
Tamadun Cina dengan Tamadun Melayu Champa. Champa merupakan sebuah kerajaan
Melayu purba yang sekarang terletak di pesisiran pantai Vietnam. Champa juga
antara kerajaan Melayu paling awal di samping negara jirannya, Funan. Pada
peringkat awal penubuhannya, Champa merupakan sebuah kerajaan yang agresif
menyerang kerajaan jirannya,termasuk juga Empayar China pada masa itu.
Pada tahun 192 Masihi, orang Melayu Cham yang pada
masa itu di bawah jajahan Dinasti Han telah memberontak untuk merdeka dari
penguasaan China. Orang Cham berjaya menubuhkan kerajaan sendiri yang digelar
oleh orang Cina sebagai Lin-Yi. Di awal penubuhannya, Champa atau Lin-Yi kerap
menyerang dan menghuru-harakan wilayah selatan China. Pada tahun 270, Champa
bersama negara jirannya, Funan yang juga merupakan sebuah kerajaan Melayu menyerang
wilayah Kiu-Sou di China. Maharaja China ketika itu terpaksa menandatangani
perjanjian damai dengan Champa pada tahun 280. Pada tahun 284, Champa menghantar
perutusan persahabatan pertama ke China dan perekod China merekodkan raja
Champa yang menghantar utusan tersebut bernama Fan-Wen.
Namun, langit tidak semestinya cerah. Apabila Dinasti
Sui menaiki takhta Cina, Maharaja Yang Guang telah mengarahkan Jeneral Liu Bang
untuk menyerang Champa. Dinasti Sui menghantar 10 ribu tentera berjalan kaki dan
angkatan laut manakala tentera Champa menggunakan tentera gajah dan badak sumbu. Biarpun berlaku pertempuran sengit,namun malangnya Champa kalah dalam
pertempuran tersebut.
Ibu kota Champa, Vijaya telah ditakluk oleh tentera
Sui dan raja Champa, Raja Shambuvarman melarikan diri ke seberang laut. Liu Fang
dikatakan merampas salasilah diraja bertinta emas yang menukilkan 18 Raja
Champa yang memerintah sebelum Shambuvarman. Liu Fang juga dikatakan merampas
sebanyak 1350 buku ajaran Buddha yang bertulisan bahasa Kun-Lun (bahasa Melayu
Kuno) bertulisan Sanskrit yang diikat dalam 546 bekas.
Nasib khazanah Melayu Champa yang berharga ini masih
tidak diketahui sehingga kini.Ada yang mengatakan khazanah itu telah dibakar
dan dimusnahkan oleh Liu fang dan ada juga laporan mengatakan yang buku-buku
itu telah dihantar ke China untuk diterjemahkan oleh Hsun Tsuang.[3]
Namun akhirnya, Raja Shambuvarman berjaya merampas
semula kota Vijaya daripada tentera Dinast Sui. Tentera China pada masa itu agak
lemah akibat serangan wabak penyakit masa itu. Ditambah pula, tentera Champa pula
sangat mahir dalam strategi peperangan gerila. Raja Champa kemudiannya
menghantar utusan ke China dan menyuruh China meminta maaf kepada mereka. China
akhirnya meminta maaf kepada Champa dan menjadi sahabat baik semula.
Peristiwa di atas mengajar kita bahawa sememangnya
terdapat konflik dalam hubungan persahabatan yang baik (tidak kiralah siapa
yang memulakan dahulu), namun itu tidak akan bertahan lama kerana ia pasti akan
bertaut semula. Bak kata orang tua, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum
juga. Justeru itu, tidak kira Cina atau Melayu, perlulah menjaga hubungan baik
yang telah lama terjalin di antara kita. Bersama-sama kita belajar dari sejarah
untuk tidak sama sekali merosakkan tali persahabatan antara dua bangsa besar
ini, yang kini tnggal bersama dengan harmoni di dalam Malaysia. Pengukuhan hubungan
muhibbah antara kaum adalah salah satu cara berkesan untuk memelihara keamanan
negara.
"Belajarlah daripada sejarah dan anda tidak akan berasa rugi mempelajarinya dan mengambil iktibar darinya."
Raja Ariff Danial
[Nusantara Kita]
Post a Comment