The Patriots Schedule

The Patriots Schedule
Showing posts with label Nusantara Kita. Show all posts
Showing posts with label Nusantara Kita. Show all posts

Tuesday, 4 March 2014

BERAPA RAMAI YANG SEDAR?


Berapa ramai antara kita yang terdetik rasa sedih dan insaf apabila melawat runtuhan Kota A Famosa?

Saya yakin tidak ramai yang berperasaan sedemikian. Kita berbangga bergambar di A Famosa. Tetapi kita lupa (atau buat-buat lupa) bahawa A Famosa itu di bina atas darah dan air mata rakyat Melayu Melaka pada tahun 1511. Batuan untuk tembok A Famosa (selain diambil dari Pulau Upeh) merupakan batuan dari kubur-kubur Sultan Melaka terdahulu.

Berapa ramaikah yang sedar akan hal ini? Setiap kali saya ke sana, arwah datuk akan mengajar saya supaya menyepak berkali-kali bangunan ini. Katanya, supaya satu masa nanti saya akan berjaya runtuhkan bangunan ini. Kata arwah datuk saya, selagi benda ni ada, semangat Melayu akan tetap luntur. Bangunan ini akan tetap menjadi simbol dan lambang kejayaan mereka menawan "minda dan semangat" orang Melayu.

"Kalau tidak kau robohkan kota keparat A Famosa ni... tidak mustahil akan tertegaknya sebuah lagi A Famosa di bumi tercinta ini. Sejarah mengajar kita dan ia pasti akan berulang andai kita leka."

Pesanan terakhir dari arwah datuk saya itu saya sematkan dan kongsikan bersama kalian hari ini.

-TMH-




Tuesday, 25 February 2014

TAMADUN MELAYU YANG MENJADIKAN EMAS SEPERTI MAINAN


Saya berani bertaruh sekiranya kalau ditanyakan kepada anak-anak Melayu kita, apakah yang kalian tahu dan kenal mengenai Srivijaya, mereka akan terlopong tidak tahu bahawa betapa kehebatan Srivijaya inilah yang harus dikenali oleh bangsa Melayu kita.

Kalau dalam siri yang lepas mengenai Srivijaya, kita mempelajari bahawa Srivijaya adlaah sebuah tamadun yang didirikan oleh BANGSA PENAKLUK. Maka, biarlah siri kali ini kita pelajar bahawa Srivijaya adalah sebuah tamadun yang didirikan oleh mereka yang MENJADIKAN EMAS SEPERTI MAINAN HARIAN. Mari kita hayati beberapa point penting dalam kita membincangkan mengenai kehebatan Srivijaya, sebuah tamadun yang bermain dengan emas.

1. Ibnu Kordadhbeh (844-848AD) ada mencatatkan mengenai kekayaan Srivijaya:

“Pemerintah Zabag (nama bangsa arab untuk Srivijaya) dipanggil sebagai maharaja dan saban hari, maharaja akan menerima hasil keluaran empayarnya yang berjumlah 200 man (ukuran yang tidak diketahui bagi menyukat emas di Srivijaya.

Pemerintah Zabaq ini akan menukarkan emas-emas yang merupakan pendapatan Empayar Srivijaya lalu menukarkannya ke dalam bentuk jongkong emas dan melontarkan ke dalam tasik lalu berkata:

“Ini adalah harta aku!” [1]

2. Kekayaan dan keluasan empayar Srivijaya ini adalah sangat mengasyikkan. Dalam catatan yang ditulis oleh Abu Zayd Hassan yang memberi komen terhadap buku yang ditulis oleh Pengembaraan Sulayman di India dan China menulis mengenai Srivijaya yang berbunyi seperti berikut:

“… dikatakan bahawa kekayaan yang dimiliki oleh Srivijaya bersamaan dengan 900 prasang persegi (ukuran Parsi - persamaan dengan 4995 KM). Terdapat juga pulau-pulau yang dikawal oleh rajanya yang berukuran 1000 prasang persegi…” [2]

“…. Sesiapa yang berjalan kaki untuk cuba mengelilingi keseluruhan empayar ini dan apabila dia penat, dia akan berjumpa dengan tempat perlindungan (yakni disediakan oleh pemerintah Srivijaya)

3. Tatkala orang semua lupa pada Srivijaya, sebuah empayar yang hilang dari sejarah dunia, Al Masudi menulis:

"Di Laut Champa (Laut China Selatan) adalah empayar sang Maharaja, raja seluruh kepulauan,yang berkuasa atas kerajaan tanpa batas dan mempunyai pasukan tak terhitung banyaknya. Bahkan kapal yang paling terpantas tidak dapat menyelesaikan dalam masa dua tahun mengelilingi pulau-pulau yang berada di bawah pengaruhnya.Wilayah raja ini menghasilkan segala macam rempah-rempah dan aromatik,dan tiada kerajaan lain (sebagaimana empayar ini) mampu mendapatkan banyak kekayaan dari bumi."

Kita dapat melihat bagaimana Al Masudi menggambarkan kepada kita bagaimana luasnya empayar Srivijaya. Di katakan kapal yang paling pantas pun tidak dapat menghabiskan masa dua tahun untuk mengelilingi empayar Srivijaya. Kita dapat melihat yang Srivijaya menjadi tempat singahan pedagang dari barat untuk mencari rempah ratus. Sebenarnya, bangsa kita sudah memiliki pelabuhan bertaraf antarabangsa sebelum Melaka berdiri lagi. [3]

4. Al-Biruni dalam catatannya mengatakan bahawa Srivijaya dipanggil sebagai “Negara Emas” kerana emas boleh didapati di mana-mana sahaja di bumi Srivijaya dan Srivijaya dikatakan tiada satu pun kerajaan di dunia yang dikatakan sekaya Srivijaya ketika itu. [4]

5. Dalam catatan China pula mengatakan bahawa mereka memanggil Srivijaya sebagai Jinzhou yang kalau diterjemahkan bermaksud “Daerah Emas” atau “ Perairan Emas”. Diceritakan bahawa kawasan Bukit Seguntang itu penuh dengan emas dan patung Buddha yang bersalut emas dan perak. [5]

6. Pada zaman pemerintahan Maharaja Balaputradeva, I-Ching, sami daripada China yang berhijrah ke Srivijaya untuk belajar agama Buddha telah memberi gambaran bahawa Srivijaya ini juga dikenali dunia sebagai “Kepualaun Emas” sinonim dengan panggilan yang digunakan oleh orang India ke atas nusantara. Boleh jadi juga ini adalah kerana kekayaan Srivijaya.

7. Catatan daripada Ibnu Said dalam manuskrip yang dikumpulkan daripada catatan Ptolemy dan Ibnu Fatima pula pula memperlihatkan peristiwa yang berikut:

"...setiap pagi, kami diberitahu, perbendaharaan kerajaan dibawa, seketul jongkong emas dalam bentuk batu-bata, ke hadapan maharaja yang mana untuk dilontarkan ke sebuah tasik berdekatan istana. Ketika maharaja masih hidup, tiada siapa yang berani mengusik jongkong-jongkong emas di dalam tasik itu. Apabila maharaja mangkat, penggantinya memerintahkan semua jongkong emas di dalam tasik dikeluarkan. Selepas dikeluarkan, emas-emas tadi dikira dan ditimbang, kemudiannya dibahagi-bahagikan di antara kaum kerabat diraja,para jeneral tentera,para hamba dan orang miskin. Bilangan jongkong emas dan beratnya dicatit ke dalam rekod istana dan prestij seseorang raja ditentukan berdasarkan jumlah jongkong emas yang mereka tinggalkan." [6]

Emas pada waktu itu dibuat mainan sahaja oleh raja-raja melayu ini.

KESIMPULAN

Sekarang, saya mahu ajak kalian berfikir, siapakah kita sebenarnya? Masakan pada zaman seawal zaman pemerintahan Srivijaya sudha wujud sesuatu yang sehebat teknologi membuat emas dan menukarkan emas menjadi jongkong?

Sekarang, saya mahu ajak kalian berfikir lagi… siapakah kita sebenarnya? Kenapa tamadun luar begitu teruja untuk mencatatkan mengenai kita? Daripada China, Arab, Parsi sehingga ke Ptolemy sendiri menerangkan siapakah kita…

Kalaulah kita adalah bangsa yang bercawat di hutan sebelum Melaka, habis… siapakah Srivijaya, tamadun yang emas hanyalah maianan mereka sebenarnya?

Rujukan:

1. Kitab Al—Masalik wa’l Mammalik yang ditulis oleh Ibnu Kordadhbeh sendiri.

2. Early Kingdom of The Indonesian Archipelago and The Malay Peninsula. Paul Michel Munoz. pg 146.

3. Blog Al-Semantani, artikel mengenai Srivijaya.

4. Ancient Indian History and Civilization. Sailendra Nath Sen. pg 533

5. Maritime Southeast Asia to 1500. Linda Shaffler. pg 38.

6. Early Kingdom of The Indonesian Archipelago and The Malay Peninsula. Paul Michel Munoz. pg 147.


-HE-

ORANG JEPUN TERKEJUT DENGAN PENEMUAN TERBARU SEJARAH MELAYU!



[LIKE & SHARE BAGI MENYEBARKAN BERITA GEMBIRA UNTUK BANGSA MELAYU]

Apakah agaknya yang menyebabkan orang Jepun ini terkejut? Yuji Hamada iaitu seorang pengkaji dari Jepun merangkap Konsulat Jeneral kerajaan Jepun di Sumatera berasa sangat terkejut dengan penemuan artifak dan ekofak manusia prasejarah di Tanoh Gayo oleh ahli arkeologi Medan.

Beliau sebenarnya berasa terkejut apabila melawat ke tapak penggalian arkeologi loyang Ujung Karang, daerah Kebayakan, Aceh Tengah. Menurut beliau “Saya baru pertama kali datang ke sini, dan saya sangat terharu melihat bukti kehidupan prasejarah manusia Asia ditemukan di sini,”

Dia lebih takjub apabila mengetahui bahawa kebudayaan prasejarah di Gayo adalah lebih kuno daripada orang Batak, di Sumatera Utara.“Di kawasan Takengon ini ternyata ada bukti kehidupan orang Melayu kuno yang amat luar biasa,” kata beliau yang sebenarnya mempunyai kelulusan akademik dalam bidang antropologi.

Bukti sejarah tersebut, kata dia, harus diketahui dunia. Penemuan Ini bukan sahaja memperkayakan sejarah Indonesia, tetapi dunia khususnya Asia pasifik atau Nusantara, sebab kebanyakan orang Austronesia tersebar di Asia Pasifik termasuk juga Amerika dan Madagaskar.

Tamadun Jepun baru berusia 2.000 tahun sahaja, tetapi kebudayaan prasejarah di tapak tersebut sudah berusia 7.000! Kalau orang JePun sendiri kagum, terharu malah takjub dengan sejarah bangsa kita, mengapa pulak kita terhegeh-hegeh membanggakan diri dengan tamadun barat dan memperlekeh tamadun sendiri?

Ternyata penemuan ini mengukuhkan lagi hujah bahawa masyarakat rumpun Melayu itu berasal dari dataran Sunda atau Asia Tenggara dan bukan bergerak dari Yunnan, Asia Tengah mahupun Taiwan. Bukti penemuan ini juga dapat menangkis tohmahan segelintir pihak yang ‘takut tak bertempat’ yang mengatakan bahawa orang Melayu itu adalah pendatang atau bangsa Melayu itu sebenarnya tidak wujud kerana umum diketahui bahawa masyarakat Gayo yang ada sekarang adalah masyaralat Melayu Proto dan berada dalam rumpun Melayu yang sangat rapat.

Golongan yang sentiasa mahu menggugat sejarah dan ketamadunan Melayu ini harus sedar bahawa betapa banyak pun tohmahan serta kepalsuan yang cuba disebarkan mereka, bukti-bukti saintifik serta arkeologi tidak dapat disanggah mahupun ditolak dengan mudah. Mereka mengatakan bahawa orang Melayu sengaja menyorokkan sejarah sebenar, namun sebaliknya merekalah yang mahu membenamkan sejarah realiti orang Melayu. Sepatutnya mereka menerima kenyataan dan cuba hidup dengan harmoni dan bukan mencari masalah atau mengganggu gugat keharmonian hubungan kaum yang telah diperjuangkan oleh kerajaan sejak merdeka lagi. Sekian.


-Al Semantani-

KAPAL-KAPAL MELAYU


Lukisan di bawah adalah lukisan yang dilukiskan oleh Godinho di Eredia yang menggambarkan bagaimana kapal-kapal Melayu Achech sedang berperang dengan Portugis.

Lukisan di bawah menggambarkan bagaimana kapal-kapal Galleon Melayu yang berjumlah 5 buah melancarkan tembakan meriam melawan kapal Luis Monteiro Coutinho.

Untuk mengalahkan armada Portugis di Selat Melaka, orang Melayu mendapati jong besar mereka bukanlah lawan untuk melawan Galleon yang dibawa oleh Portugis.

Lantas, orang Melayu telah membina galleon yang lebih kecil daripada galleon Portugis, tetapi lebih pantas dan ini menyebabkan penguasaan Portugis di Selat Melaka terbatas apabila mereka tidak lagi mampu berbuat sesuka hati di Selat Melaka sebaliknya hanya mampu bertahan dan melihat dari jauh bagaimana Johor dan Acheh untuk berkongsi laluan terhangat dang paling sibuk di dunia itu.

Bayangkan situasi pertempuran kapal Melayu dan Portugis itu laksana dalam filem Pirate Of The Carribean dan anda akan dapat merasakan betapa hebatnya kita dulu.

Terus, kenapa kita digambarkan sehina-hina ciptaan oleh buku teks sejarah? Melayu dulu hebat...


-HE-

KERAJAAN MELAYU YANG HILANG: PATTANI



Hikayat Patani menyatakan Kerajaan Patani mencapai kemuncak semasa diperintah oleh 3 Dinasti iaitu:

* Dinasti Sri Wangsa

* Dinasti Kelantan Pertama

* Dinasti Kelantan Kedua

Dinasti Sri Wangsa juga dikelai sebagai Dinasti Ulu. Raja Perempuan Pattani, Raja Ungu Binti Sultan Bahadur Shah telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur mengukuhkan hubungan Patani dengan Pahang serta Empayar Johor amnya, dan beberapa kali serangan Siam berjaya dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur Pahang menaiki takhta Patani. Kisah mengenai ratu-ratu akan diperinci secara jelas dalam posting yang berasingan.

Dinasti Kelantan Pertama diasaskan pada tahun 1650 oleh Raja Sakti yang memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke Patani.

Dinasti Kelantan Kedua diasaskan pada tahun 1838 oleh Raja Kampung Laut Long Muhammad bin Raja Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Tuan Besar/Paduka Seri Sultan Phaya Long Muhammad (Al-Marhum Tanjung).

DINASTI SRI WANGSA

Patani mencapai zaman kegemilangannya pada tahun 1584-1649 sewaktu di bawah pentadbiran Raja Pelangi iaitu Raja-Raja Perempuan/Sultanah seperti:

* Raja Hijau (1584-1616)

* Raja Biru (1624-1635)

* Raja Ungu (1624-1635)

* Raja Kuning (1635-1649).

Ketika pemerintahan Raja Biru, beliau telah menugaskan seorangan Muslim Cina yang bernama Tok Kayan atau nama asalnya Lim To Khiam untuk mengetuai pembuatan meriam-meriam kerajaan. 3 buah meriam telah berjaya dihasilkan iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama, makala Mahalela agak kecil sedikit (5 hasta 1 jengkal). Sri Patani

dan Sri Nagara merupakan meriam terbesar di Asia Tenggara dan ia telah berjaya menyekat serangan Siam sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634, dan 1638.

Pada tahun 1631, Patani telah menghantar bala tentera ke Ligor bagi membebaskan cengkaman Siam keatas orang Melayu di wilayah tersebut. Dalam serangan itu, dua buah kapal Siam berjaya ditawan bersama-sama dengan dua orang Belanda.Siam kemudiannya menyerang balas dan berjaya mengambil semula dua kapal mereka, tetapi dua orang Belanda itu tidak dijumpai.

Hal ini menyebabkan Belanda menyokong Siam dalam tindakan berikutnya. Pada Mei 1634, Siam telah melancarkan perang ke atas Patani dan ianya adalah serangan Siam yang terbesar keatas Patani dengan kekuatan tentera seramai 60,000 orang. Namun, bala tentera Siam ini berjaya ditumpaskan oleh Patani yang bergabung dengan Portugis.

Tekanan dari Siam yang sentiasa menyerang dari arah utara membuatkan Patani mencari sekutu dari alam Melayu terutama dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Direkodkan bahawa Raja Ungu telah berkahwin dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur. Mereka telah dikurniakan seorang puteri yang kemudiannya dikenali sebagai Raja Kuning yang menaiki takhta Patani pada tahun 1635 selepas kemangkatan bondanya pada 1635. Empayar Johor-Pahang beberapa kali menghantar bantuan dalam menangani ancaman Siam dan hasilnya Patani kekal sebagai negeri berdaulat hingga ke penghujung abad ke-18.

[DINASTI KELANTAN PERTAMA]

Pada tahun 1649, Raja Kuning telah mangkat dan menyebabkan Patani dalam keadaan huru-hara. Raja Sakti 1 dari Kelantan telah berjaya menyatukan Kelantan dan Patani di bawah pemerintahannya pada 1649. Ketika ini timbulnya istilah Patani Besar yang mana pusat pemerintahannya terletak di Kota Mahligai seperti mana lokasi ia hari ini di Melor, Kelantan.

Seterusnya Patani diperintah oleh puteranya, Raja Bakal yang memerintah dari tahun 1688-1690. Selain itu terdapat dua orang Raja Perempuan daripada Kota Jembal (Kelantan Timur) yang memerintah Patani iaitu Raja Mas Kelantan (1670-1698) dan puterinya Raja Mas Cayam juga dikenali sebagai Raja Dewi Peracu (1698-1702).

Raja Mas Cayam inilah yang telah menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin menjadi Sultan di Sungai Terengganu, dalam usahanya mengukuhkan persahabatan dan persekutuan dengan Johor. Pada waktu itu, Johor mula mengalami kemerosotan dan tidak mampu melindungi dan menghantar perlindungan dan tentera ke Patani lagi. Ini disebabkan persengkatan di kalangan pembesar Melayu dan Yamtuan Muda Riau pada akhir abad ke-17 dan abad ke-18. Akhirnya, Siam telah menyerang Patani pada 1785 dan Kedah pada 1821 dan tunduklah Kerajaan Pantai Timur Semenanjung...

Di kongsikan Kronologi ringkas tentang Siam dan kekuasannya:

> 1760: Kebangkitan kuasa Burma di bawah dinasti Konbaung, Burma menakluk Siam pada 1767 dan Laos pada 1765

> 1768: Siam dibawah pimpinan general Taksin berjaya menghalau penjajah Burma.

> 1769: Untuk mengukuhkan kuasanya di selatan, Siam menakluk Ligor/Negara Sri Darmaraja(Nakhon Si Thammarat). Armada angkatan laut dibina di Nakhon Si Thammarat, Trang dan Krabi untuk menakluk wilayah selatan di semenanjung Tanah Melayu.

> 1782: Raja Buddha Yodfa Chulaloke atau Rama I menaiki takhta Siam menggantikan Raja Taksin yang digulingkan, dinasti Rattanakosin yang berpusat di Bangkok diasaskan.

> 1785: Di bawah pemerintahan Raja Rama I, Siam menyerang dan berjaya menakluki Patani. Kelantan dan Terengganu menjadi wilayah yang tunduk kepada Siam (tributary states) dan menghantar bunga emas ke Siam.

> 1789-1791: Pemberontakan di Patani. Patani dipecahkan kepada tujuh wilayah: Patani, Saiburi (Teluban), Nongchik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae untuk melemahkan orang melayu.

> 1821: Kedah ditawan Siam, Siam juga mengancam menyerang Perak dan Selangor, Sultan Kedah yang kalah dilarang tinggal di Perak dan Selangor kerana Siam mengangap negeri-negeri ini dibawah kekuasaannya. Sultan Kedah terpaksa tinggal di Melaka dan melancarkan serangan gerila dari sana. Perak mula menghantar bunga emas dan 20 ekor gajah dari lembah Kinta kepada Siam.

> 1832: Reman (dekat sempadan Thailand-Perak, juga merangkumi Grik dan Pengkalan Hulu), mengisytiharkan menjadi republik. Wilayah lain, kecuali Yaring, ikut memberontak, tetapi dipatahkan.

> 1838: Pemerintah Nongchik, Yala, Reman dan Rangae bekerjasama dengan pemberontak Kedah dan menyerang Songkhla tetapi berjaya dipatahkan oleh Siam. (Musuh bisik).

> 1839: Kedah dipecahkan kepada empat kawasan: Kedah, Kubangpasu, Perlis dan Satun (Setul). Pemecahan Patani dan Kedah melemahkan kedua-dua negeri itu.

[DINASTI KELANTAN KEDUA]

Pada tahun 1835 berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan. Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di Patani. Pergolakkan ini ada dihurai dengan jelas oleh Abdullah Munsyi yang telah mengikut delegasi Cina Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal Singapura yang terkandas di Kelantan waktu itu. Perang Saudara ini termuat dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi.

Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan. Dengan itu, sistem pemerintahan Kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.

[KEHIDUPAN DI PATANI SELEPAS 1909 – PERANG DUNIA]

Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Phibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Cadangan Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti.

Harapan itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani.

Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis di China. Justeru, Kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu-Siam.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting malahan kiranya dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.

Selepas Persidangan Songkhla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Patani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.

[KEBANGKITAN SELEPAS PERANG DUNIA]

Orang Melayu di Patani tidak pernah sunyi dalam menentukan hak mereka dan kebebasan mereka daripada Siam. Selepas Perang Dunia muncul beberapa pergerakan politik yang menuntut kemerdekaan dan kebebasan daripada Thailand seperti:

1. Gabungan Melayu Patani Raya (GAMPAR)

* Dibentuk oleh rakyat Patani yang tinggal di Malaya.

* Presidennya ialah Tengku Mahmud Mahyuddin Ibni Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera Sultan Patani terakhir.

* Matlamat: Menggabungkan Pattani Raya dengan Semenanjung Tanah Melayu.

2. Pergerakan Rakyat Patani (PPM)

* Dibentuk di Patani,

* Pimpinan Haji Sulong, seorang ulama terkemuka.

* Matlamat: Mendapatkan taraf pemerintahan sendiri (autonomi) bagi Patani, yang terdiri daripada empat wilayah Melayu di selatan.

*Kedua-dua badan itu lenyap selepas kematian pemimpin masing-masing dalam tahun 1953 dan 1954.

3. Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP)

* Dibentuk pada 1959

* Pemimpin : Tengku Abdul Jalal -- gabungan kerabat diraja dan pemimpin agama. Sesetengah anggota BNPP menyuarakan hasrat mengembalikan kesultanan Pattani. Pemikiran agama mereka dianggap kuno.

4. Barisan Revolusi Nasional (BRN)

* Dibentuk pada 1963.

* Pemimpin: Ustaz Abdul Karim Hassan, yang menyanjung Presiden Sukarno, Presiden Indonesia. BRN bergerak dari segi politik dan menyusupi 'pondok' iaitu madrasah bentuk lama. Pemikirannya berasaskan sosialisme Islam.

5. Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO)

* Dibentuk pada 1968.

* Pemimpin: Kobira Kotanila ataupun terkanal sebagai Bapa Kabir Abdulrahman dan beliau adalah sebagai pengasas Pertubuhan Persatuan Pembibasan Patani dan Secretary General. Selain daripada gerakan politik, PULO juga melakukan gerakan gerila.Pada awal 1970-an ramai pelajar Patani di seberang laut, terutamanya Timur Tengah, menjadi anggota PULO.PULO telah di akui rasmi oleh beberapa buah negara di timur tengah sebagai satu pertubuhan yang mewakili raayat Patani


-Kaktus Wangi-

"BANI TAMIM ITU MELAYU?" - USTAZ DON DANIYAL


Saya lihat, ramai yang kondem Ustaz Don sebab mengatakan bahawa kemungkinan besar Bani Tamim itu mungkin dari Timur dan ianya mungkin di Tanah Melayu. Antara alasan mereka ialah, manakan Islam akan bangkit di sini kembali... lihatlah bangsa Melayu saling bercakaran, terlalu lalai dengan hiburan, terlalu dibuai dengan politik persengketaan, gejala sosial seperti membuang bayi, merempit memang berluasa. Arghhh! Bohonglah Ustaz Don! Masakan akan bangkit di sini Islam... panji Hitam tak akan muncl dari sini!

Saya mahu mengajak kalian berfikir... sejenak sahaja. Hanya sejenak. Muhammad S.A.W dipilih daripada kalangan bangsa apa? Untuk menyebarkan Islam sampai ke keseluruh alam? Apakah bangsa Arab ketika itu hebat? Sedangkan banyak bangsa yang hebat ketika itu. Kenapa tidak datangkan sahaja daripada Rom, nah bangsa Rom itu hebat,. Empayarnya memiliki keseluruhan eropah. Kenapa tidak datangkan sahaja daripada Parsi itu? Nah... hebatnya Parsi itu dengan kisah perangnya yang mengasyikkan. Kenapa tidak diambil bangsa hebat yang membina sebuah tembok lebih daripada 6000 kilometer, membina tamadun sejak 2000 SM lagi. Kenapa tidak bangsa Cina?

Lihat pada bangsa Arab... apa yang ada pada bangsa arab ketika itu. Bangsa Arab sedang mengalami zaman gelapnya... sangat sadis kalau dibandingkan dengan dua bangsa yang mengapitnya. Lihat di Barat, ada Rom yang gah dengan empayarnya, lihat di Timur, ada Parsi yang sungguh bergaya sejak zaman purba lagi.

Arab? Kalian akan ketawa kalau mendengarkan kisah mengenai bangsa Arab. Mereka hidup berpuak-puak, mereka saling memerangi antara satu sama lain. Lalai dengan hiburan... lalai dengan kisah mengarut. Bahkan, anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana percaya pada sial. Kaum perempuan? Anda ibarat sampah ketika itu. Tapi siapa sangka daripada bangsa ini, ALLAH pilih penyampai agung, utusan yang terhebat sepanjang zaman dan agama yang menjadi "THE WAY OF LIFE" ini datangnya daripada bangsa Arab.

TETAPI... Arab dulu pernah hebat sebenarnya. Sangat-sangat hebat... Tamadun Bangsa Add, Tamadun Bangsa Nabi Salleh, atau pergi sahaja ke Jordan lihat tinggalan agung. Mereka pernah membina tamadun-tamadun yang SANGAT HEBAT... tapi zaman gelap mereka terjadi bila runtuhnya Empangan Saba...

Melayu? Kisahnya lebih kurang sama. Melayu pernah hebat membina Tamadun yang tidak terkira mantapnya. Srivijaya, empayar yang pengaruhnya sampai ke Madagascar, Melaka, kekayaannya membuatkan Venice sangat cemburu. Champa yang berjaya menghalang perluasan kuasa dari empayar hebat seperti China dan Mongol... tetapi mereka mula memasuki zaman gelap mereka sejak jatuhnya Melaka...

Bukan mahu menyuruh kalian percaya apa yang saya tulis, tetapi menyuruh kalian berfikir. Percaya atau tidak dengan kata ustaz Don itu mengenai Bani Tamim, bukan di dalam kuasa saya. Tetapi mengajak kalian berfikir, itu tiada masalah.


-HE-

MALAKA DI BUMI SEPANYOL?


Sila lihat di dalam kota merah.. Peta menunjukkan yang Malaka sudah wujud semasa era Al Andalus (711-1031) lagi.. Jadi apakah nama Malaka di Tanah Jawi adalah hasil dari nama Malaka di Tanah Al Andalus ini? Apakah di sana juga banyak pohon Malaka?Apakah sana ada juga YM Parameswara? Apa kata kalian? 

-AP-

CUT NYAK MEUTIA: PENDEKAR WANITA MELAYU YANG SYAHID DI MEDAN PERANG



Salam dan selamat menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kepada semua umat Islam di Malaysia. Sempena hari yang mulia ini saya ingin memaparkan satu artikel mengenai seorang pahlawan atau srikandi yang syahid kerana mempertahankan agama, bangsa dan negaranya dari dirogol penjajah Belanda. Kecekalan dan keberanian wanita Melayu Aceh ini patut di contohi oleh anak-anak muda kita hari ini tak kira lelaki mahupun wanita.

Sepertimana beberapa orang pahlawan wanita Aceh yang lain iaitu Laksamana Keumalahayati dan Cut Nyak Dhien, Cut Nyak Meutia adalah lambang kepahlawanan dan kepimpinan wanita Melayu Aceh. Cut Nyak Meutia dilahirkan di Keureutoe, Pirak, Aceh Utara, pada tahun 1870. Beliau adalah salah seorang Srikandi yang berasal dari Aceh. Dalam perjalanan kehidupannya Cut Nyak Meutia bukan sahaja menjadi mutiara bagi keluarganya tetapi juga telah menjadi mutiara yang bersinar bagi seluruh umat Islam Melayu nusantara.

Cut Meutia dilahirkan dari hasil perkawinan Teuku Ben Daud Pirak dengan Cut Jah. Dalam perkawinan tersebut mereka dikurniakan 5 orang anak. Cut Meutia merupakan puteri tunggal di dalam keluarga tersebut, sedangkan empat lagi saudaranya adalah laki-laki. Saudara tertua bernama Teuku Cut Beurahim disusuli kemudian oleh Teuku Muhammad syah, Teuku Cut Hasan dan Teuku Muhammad Ali. Ayahnya adalah seorang Uleebalalang di desa Pirak yang berada dalam daerah uleebalangan Keureutoe

Daripada perhatian seorang penulis Belanda, yang mengatakan bahawa “Cut Meutia bukan saja amat cantik, tetapi dia juga memiliki tubuh yang molek dan menggairahkan. Dengan mengenakan pakaian adatnya yang indah-indah menurut kebiasaan wanita di Aceh dengan silueue atau seluar sutera bewarna hitam dan baju dikancing perhiasan-perhiasan emas di dadanya serta tertutup ketat, dengan rambutnya yang hitam pekat dihiasi ulee cemara emas yakni sejenis perhiasan rambut dengan gelang di kakinya yang melingkari pergelangan lunglai, wanita itu benar-benar seorang bidadari.

Ketika dewasa Cut Meutia dinikahkan dengan Teuku Syamsarif yang mempunyai gelaran Teuku Chik Bintara. Namun Syamsarif mempunyai watak lemah dan suka berkerjasama dengan Kompeni Belanda. Teuku Chik Bintara merupakan anak angkat dari Teuku Chik Muda Ali dan Cut Nyak Asiah, Uleebalang Keureutoe. Daerahnya mencakupi Krueng Pase sampai ke Panton Labu yang pusat pemerintahannya di daerah Kutajrat Manyang yang sekarang terletak 20 km dari kota Lhokseumawe. Pernikahan mereka tidak bertahan lama. Akhirnya Cut Meutia bercerai dan kemudian bernikah dengan adik Teuku Syamsarif sendiri iaitu Teuku Chik Muhammad atau yang lebih dikenali dengan nama Teuku Chik Tunong. Setelah itu dia dan suaminya berhijrah ke kawasan pergunungan untuk melawan Belanda

Awal pergerakan penentangan mereka bermula pada tahun 1901 dengan pusat perjuangannya di daerah Pasai atau Krueng Pasai di bawah komando perang Teuku Chik Tunong. Cut Nyak Meutia bukan sahaja bertindak sebagai isteri Teuku Chiek Tunong tetapi lebih jauh dari itu. Beliau sangat aktif bersama suaminya mengatur taktik dan strategi pasukan muslimin bagi melakukan penyerangan terhadap musuh serta dapat merampas persenjataan musuh untuk memperkuatkan gerilawan muslimin. Dalam setiap pertempuran yang terjadi di kawasan mereka, Cut Nyak Meutia selalu tampil sebagai panglima, berjuang di samping suaminya menghadapi musuh, bertempur dan memimpin pertempuran. Cut Nyak Meutia bersama dengan Teuku Chiek Tunong mempergunakan taktik menyebarkan mata-mata untuk menyiasat rencana-rencana yang akan dilaksanakan oleh pihak musuh, terutama rancangan-rancangan perondaan dan operasi tentera Belanda.

Taktik ini sangat berkesan. Penyiasat mereka selalu dapat mengumpulkan informasi yang tepat tentang rancangan serta daerah yang bakal dijadikan operasi oleh Belanda. Dengan demikian Cut Nyak Meutia bersama Teuku Chiek Tunong dapat mengatur serta mempersiapkan pasukannya untuk menyerang pasukan Belanda. Dapat dilihat taktik yang digunakan ini pada November 1902. Salah seorang pejuang muslimin bernama Pang Gadeng menyebarkan maklumat palsu bahawa pasukan Teuku Chik Tunong akan mengadakan kenduri yang bertempat di kampong Matang Rayeuk di seberang sungai Sampoiniet. Mendapat berita itu, Belanda merancang untuk menggempur kenduri tersebut yang dipimpin oleh Leftnan RDP DE Cok bersama 45 orang askar. Di dalam perjalanan, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan jarak dekat yang dahsyat dari pasukan Chik Tunong kerana mereka telah terkena muslihat yang disusun oleh Cut Nyak Meutia. Dalam penyerangan itu, Letnan De Cok dan 28 prajuritnya tewas serta 42 pucuk senapang diperoleh kaum muslimin.

Selain itu, pasukan Cut Meutia juga sering melakukan sabotaj terhadap kereta api, memutuskan hubungan talifon dan menyekat perhubungan untuk mengangkut logistik pasukan Belanda seperti di Lhoksukon dan Lhokseumawe. Tindakan ini sebagai tindak balas setelah Belanda melakukan penyerangan ke atas Desa Blang Paya Itiek akibat dari pengkhianatan Pang Ansari dimana pasukan Belanda menyerang pasukan Sultan Alaidin Mahmud Daudsyah sehingga Sultan dan pasukannya harus mundur diri ke Menasah Nibong Paya kemuek.

Berakhirnya perjuangan Teuku Chik Muhammad dan Cut Meutia adalah akibat dari peristiwa di Meurandeh Paya sebelah timur kota Lhoksukon pada tanggal 26 Januari 1905. Peristiwa ini dimulai dengan terbunuhnya pasukan Belanda yang sedang meronda dan berteduh di Meunasah Meurandeh Paya. Pembunuhan keatas pasukan Belanda ini memberikan impak yang sangar besar bagi Belanda. Di dalam penyelidikan Belanda, didapat bahawa Teuku Chik Tunong terlibat dalam pembunuhan itu. Maka dari itu, Teuku ditangkap dan dihukum gantung. Namun pada akhirnya berubah menjadi hukum tembak mati. Pelaksanaan hukuman mati dilaksanakan pada bulan Mac 1905 di tepi pantai lhoksuemawe dan dimakamkan di Masjid Mon Geudong.

Sebelum dihukum mati, Teuku Tunong mewasiatkan agar Pang Nanggroe yang merupakan sahabat perjuangannya untuk menikahi Cut Nyak Meutia serta menjaga anak-anaknya. Sesuai dengan amanah dari almarhum suaminya, Cut Meutia menerima lamaran Pang Nanggroe. Dan dengan beliau, Cut Meutia meneruskan perjuangan melawan Belanda dan memindahkan markas pusat perjuangan ke Bukit Bruek Ja. Pang Nanggroe mengatur strategi untuk melawan pasukan marsose Belanda bersama dengan Teuku Muda Gantoe. Penyerangan Cut Meutia dan Pang Nanggroe dimulai dari hulu Kreueng Jambo Aye, sebuah tempat pertahanan yang sangat strategik kerana daerah tersebut merupakan daerah hutan yang sangat banyak tempat persembunyian. Pasukan muslimin melakukan penyerangan ke post-post tentera Belanda dimana banyak pejuang muslim yang ditahan di situ.

Taktik penyerangan Cut Meutia yang lain pula adalah taktik menjerat yang dirancang dengan menyebarkan khabar angin bahawa adanya kenduri di sebuah rumah dengan mengundang pasukan Belanda. Rumah tersebut telah dipasang perangkap berupa makanan yang lazat. Tiang dan lantai rumah itu telah ditukar dengan potongan buluh sehingga mudah untuk diruntuhkan. Pada masa pasukan Belanda berada di dalam rumah tersebut, rumah itu diruntuhkan dan pasukan Cut Meutia akan menyerang.

Penyerangan pasukan Cut Meutia juga tertumpu pada rel kereta api sebagai usaha untuk memutuskan logistic belanda dan jalan kereta apinya. Di pertengahan tahun 1909 hingga ogos 1910 pihak Belanda dengan petunjuk orang kampung yang dijadikan tawanan telah mengetahui pusat pertahanan pasukan Pang Nanggroe dan Cut Nyak Meutia. Beberapa penyerangan dilakukan, namun pasukan Cut Meutia yang selalu berpindah tempat membuatkan Belanda susah untuk menangkapnya. Beberapa penyerangan dilakukan di daerah Jambo aye, Peutoe, Bukit Hague, Paya Surien dan Matang Raya. Namun pada 25 September 1910, ketika terjadi penyerangan di daerah Paya Cicem, Pang Nanggroe terkena tembakan Belanda sehingga meninggal dunia setelah mewasiatkan kepada anaknya Teuku Raja Sabi untuk mengambil rencong dan pengikat kepala ayahnya dan menjaga ibundanya Cut Nyak Meutia.

Setelah Pang Nanggroe syahid, pasukannya dipimpin oleh Cut Meutia dan pusat pertahanan dipindahkan ke daerah Gayo dan Alas bersama pasukan yang dipimpin oleh Teuku Seupot Mata. Pada 22 Oktober 1910, pasukan Belanda mengejar pasukan Cut Meutia yang diperkirakan berada di daerah Lhokreuhat. Esoknya pengejaran dilakukan semula ke daerah Krueng Putoe menuju Bukit Paya hingga menyebabkan pasukan Cut Meutia semakin terkepong dan selalu berpindah antara gunung dan hutan.

Dalam pertempuran pada 25 Oktober di Krueng Putoe, pasukan Cut Meutia menghadapi serangan hebat dari Belanda. Di sinilah Cut Meutia mati syahid bersama pasukan muslim yang lain seperti Teuku Chik Paya Bakong, Teungku Seupot Mata dan Teuku Mat Saleh. Sebelum srikandi ulung ini gugur ke bumi, Cut Meutia mewasiatkan kepada Teuku Syekh Buwah untuk berhenti melawan serangan belanda, taktik selanjutnya adalah berundur sejauh mungkin dan menyusun serangan semula, kerana posisi mereka sudah tersepit. Cut Meutia juga mewasiatkan agar anaknya dicari dan dijaga. Begitulah pengakhiran perjuangan wanita berhati kental ini. Walaupun dua orang suaminya gugur dalam pertpuran, namun beliau sanggup memegang tampuk kepimpinan pasukannya melawan kafir laknatullah dan akhirnya menjadi syahidah.. Sekian, Al Fatihah untuk wirawati ini.


-Al Semantani-

Tuesday, 14 January 2014

KISAH HANG TUAH DAN KANGKUNG



Maka belayarlah Hang Tuah sehingga Bingkam Hainam, sebuah pelabuhan di kerajaan China itu. Di sana, Hang Tuah disambut oleh salah seorang menteri empat Maharaja China yang merupakan shahbandar pelabuhan itu.

Tiba di negara yang baru menjadi satu perkara yang sangat menarik bagi Hang Tuah kerana sifatnya yang ingin tahu membuatkan beliau bersemangat untuk menimba pengalaman baru. Hang Tuah walaupun tahu bahawa beliau adalah wakil Raja dari empayar Keling dan bukan mewakili Melaka tidak sedikitpun memberikan kejanggalan dalam melakukan tugasan tersebut. Malah beliau yakin untuk memperkenalkan dirinya kepada orang-orang besar di sana.

Setelah berjumpa orang itu dan orang ini, maka akhirnya Hang Tuah dibawa ke istana besar Maharaja China. Sebelum sampai ke dewan besar di mana Maharaja akan muncul menerima kunjungan mereka, sempat juga Hang Tuah memberi tahu orang-orangnya bahawa orang China ini banyak adat dan undang-undang, dan adalah baik untuk mereka semua memerhati dan mempelajari tutur cara tersebut.

Sempat juga ketika itu menteri dan pembesar empayar itu memberitahu bahawa adalah menjadi larangan yang amat hebat untuk melihat wajah Maharaja China. Jika sesiapa yang melihat wajah tersebut makanya mereka akan dipancung.

Khairan akan larangan itu, maka tunggulah Hang Tuah dan rombongannya di dalam dewan besar lagi merah itu. Setibanya Maharaja China untuk duduk di atas kerusi gahnya yang kelihatan seperti naga, Hang Tuah kelihatan bahawa menteri-menteri dan sida-sidanya semua sujud dalam baris-barisan tidak berani untuk mendongak ke atas untuk melihat Maharaja mereka yang berada di atas pentas yang mempersonakan itu.

Maharaja China agaknya musykil dan tertanya bagaimanakah agaknya adat orang Keling menjemput Hang Tuah dan rombongannya santap bersamanya pada keesokkan harinya. Hang Tuah mendengar akan pelawaan itu terus berkata bahawa beliau kini hanya makan sayur oleh itu mahukan sayur kangkung. Dan sayur-sayur itu mestilah tidak dipotong. Maharaja China yang hairan itu bersetuju akan permintaan itu. Bagi baginda barangkali ini memang adat orang keling.

Keesokkan harinya tiba. Maka pelbagai makananlah yang dibuat oleh tukang masak istana dan semuanya adalah kangkung-kangkung belaka. Maharaja yang ingin sekali melihat bagaimana orang dari empayar Keling makan menjemput Hang Tuah untuk santap. Maka Hang Tuah teruslah bersila di tengah dewan itu bersama makanan-makanan itu. Diambilnya kangkung itu, didongakkan kepalanya dan dimakannnya sedikit demi sedikit.

Dalam Hang Tuah mendongak kepalanya itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengintai Maharaja itu yang berada di atas kerusi naganya itu. Hulubalang-hulubalang istana itu yang tersedar akan kelakuan Hang Tuah terus menghunus pedang mereka ke kepala Hang Tuah. Maharaja China itu yang tersedar akan kejadian itu terus menghalang hulubalang-hulubalang itu daripada memancung kepala Hang Tuah walaupun dia sedar akan helah Hang Tuah sebenarnya.

Maka Hang Tuah pun teruslah makan sehingga ke pencuci mulutnya. Maharaja itu menitahkan bahawa jarang sekali baginda melihat seorang yang begitu berani dan bijaksana serta berkata alangkah bagusnya orang sebegini ramai di kerajaannya.

Menghargai kebolehan Hang Tuah itu, Maharaja itu pun menghadiahkan jubah keraian bersama barang-barangan kemas untuk menunjukkan bahawa Hang Tuah adalah seseorang yang patut dihormati dan dihargai. Ini juga menyebabkan Maharaja memberi juga hadiah dan juga sepucuk utusan surat yang ditulis sendiri oleh baginda kepada Raja Kisna Rayan untuk menandakan perhubungan kerajaan mereka berdua.

Ini adalah salah satu rombongan yang berjaya bagi Hang Tuah dan terbukti keberanian bukan saja diperlukan dalam medan perang tetapi dalam urusan diplomatik. Lagi sekali Hang Tauh menjadi wirawan yang berjaya. Hang Tuah The Hero.

Kredit: http://akmalsaufi.com/


-HE-

PEMANAH HANDALAN ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA DAN BUSUR SAKT



Kitab Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang menyatakan sebuah kisah...

Maka kedengaranlah ke Melaka (akan) Cau Pandan anak Bubunya akan dititahkan menyerang Melaka.Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya.

Maka tatkala itu tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sulatan Muzaffir Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau Cau Pandan!”

Maka Sultan Muzaffir Syah pun tersenyum, maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuat orang nyanyi :

Cau Pandan anak Bubunya,

Hendak menyerang negeri Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

Syahadan maka kedengaranlah ke Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sulatan Muzaffir Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”

Khabarnya, tiga minggu selepas kematian Cau Pandan di Siam, cerita kekeramatan Sidi Arab pun sampai ke pendengaran Raja Bubunya. Raja Bubunya sangat murka lalu meminta agar didatangkan beberapa orang sami yang mahir dengan ilmu-ilmu luar biasa. Dia memerintahkan mereka membalas perbuatan Sidi Arab dengan menghantar pukulan jarak jauh juga agar nyawa Sidi Arab terpisah daripada tubuhnya. Namun begitu para sami pilihan itu menyatakan keengganan mereka kerana khuatir seandainya Sidi Arab mengetahui lebih awal ataupun terselamat, pasti dia ‘memanah’ Raja Bubunya pula. Raja Bubunya terpaksa membatalkan rancangannya.

Atas nasihat para pembesar, dia menghantar panglimanya yang bernama Cau Santan ke Melaka untuk membunuh Sidi Arab. Cau Santan singgah di Kedah, sebuah negeri naungan Raja Bubunya lalu mengambil tiga orang pendekar Melayu Kedah sebagai ahli pasukannya. Cau Santan terpaksa mengambil orang Melayu Kedah kerana ketidakfasihannya berbahasa Melayu. Mereka berempat pun menyamar sebagai pedagang lalu belayar ke Melaka.

Tiba di Melaka, mereka terus mencari maklumat tentang keberadaan Sidi Arab. Mereka mendapat tahu yang Sidi Arab biasanya akan duduk berzikir dan membaca Al-Quran selepas solat fardhu Asar di masjid. Sebaik-baik sahaja jemaah bersurai, mereka berempat menyerbu masuk menyerang Sidi Arab.

Sidi Arab tidak terlawan keempat-empat orang sekaligus dan hampir-hampir berjaya dibunuh. Sungguhpun begitu, dia berjaya mencederakan salah seorang Melayu Kedah. Dengan kuasa Allah, Tun Umar lewat datang berjemaah pada hari itu. Tun Umar terdengar ribut-ribut dalam masjid. Dia pun melompat masuk. Terpandang sahaja ‘hidangan’ di depan matanya, Tun Umar pun menggila dengan ilmu perangnya. Siapa tidak kenal Tun Umar, orang yang pergi berseorangan pada waktu malam menterbalikkan perahu-perahu angkatan Siam yang mahu menyerang Melaka.

Tun Umar berjaya membunuh seorang Melayu Kedah menggunakan pedang yang dibuat tongkat oleh khatib ketika berkhutbah pada hari Jumaat. Melihat keadaan yang semakin berpihak kepada Sidi Arab dan Tun Umar, Cau Santan dan seorang lagi melarikan diri.

Sidi Arab turut mendapat kecederaan tetapi tidaklah parah.Dia cuba mendapatkan maklumat daripada seorang penyerang yang cedera tetapi Tun Umar yang sudah hilang pertimbangan terus sahaja menebaskan pedang khatib ke arah leher penyerang. Sidi Arab agak kecewa kerana gagal mengenali penyerang-penyerangnya namun sangat bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Tun Umar yang memperjudikan nyawanya membantu.

Selepas bersoal-jawab dengan orang ramai yang datang mengerumuni masjid, barulah Sidi Arab tersedar bahawa busurnya sudah hilang. Tidak lain tentunya kerja dua penyerang yang melarikan diri tadi. Oleh kerana tidak tahu identiti para penyerangnya, Sidi Arab menganggap busur itu tidak akan dapat dimilikinya lagi.

Dua pekan kemudian, Sidi Arab sudah bersiap untuk meninggalkan bumi Melaka. Sebelum itu dia menghadap sultan buat kali terakhir. Ketika itulah dia membuka cerita tentang keajaiban busur dan anak panahnya.

Menurut Sidi Arab, kantong anak panahnya berisi dua puluh satu bilah anak panah pada satu-satu masa. Dalam dua puluh satu anak panah itu, hanya sebatang sahaja anak panah sebenar kepada busur saktinya. Maksudnya pasangan busur itu hanyalah sebatang anak panah. Jika anak panah yang sebatang itu dikenakan pada busurnya dan dimaksudkan kepada sesiapa sahaja di dunia ini, panahan itu akan kena, tidak kira di mana orang itu berada. Masalahnya, apabila anak panah yang sebatang itu dilepaskan, ia akan ghaib dan muncul di tempat asalnya.

Di manakah tempat asal busur dan anak panah itu?

Busur dan anak panah itu sebenarnya pernah digunakan oleh Arjuna. Kedua-duanya dikatakan milik seorang utusan Tuhan yang diutuskan ke benua India, jauh lebih lama daripada zaman Arjuna. Busur dan anak panah sebatang itu diberikan kepada Arjuna oleh Dewa Varuna, dewa lautan. Pada penghujung umur Arjuna, senjata itu dikembalikan ke laut agar ia tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Ketika kerajaan Islam memerintah India, seorang ulama sufi bernama Syeikh Abdul Rahman mendapat mimpi yang meminta dia pergi mendapatkan busur dan anak panah itu di tepi sebuah lautan yang hampir kering. Senjata itu hendaklah disembunyikannya di lokasi yang sesuai agar tidak ditemui oleh orang-orang jahat. Akhirnya dia mengambil keputusan meletakkannya di sebuah lembah di utara India.

Cerita tentang senjata misteri itu diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke satu generasi Syeikh Abdul Rahman, sampailah ke telinga salah seorang keturunannya iaitu datuk kepada Sidi Arab. Datuknya berusaha keras dan berjaya menemui senjata rahsia itu. Apabila datuknya sudah tua, senjata itu dihadiahkan kepada cucunya yang terpilih lagi soleh iaitu Sidi Arab. Sidi Arab membawa senjata itu ke mana-mana. Oleh kerana rupa senjata itu tidak menarik dan cerita tentangnya pun tidak diketahui orang, Sidi Arab bebas membawanya dengan selamat.

Sudah beberapa kali Sidi Arab menggunakan panah itu pada jalan yang benar, menyebabkan sudah banyak kali juga dia terpaksa pergi ke India bagi mendapatkan kembali anak panahnya. Sekali dilepaskan anak panah sebatang itu, sekali terpaksa pergi ke lembah di India. Sekarang anak panah itu berada di India, kerana sudah dilepaskan oleh Sidi Arab ketika menyerang Cau Pandan tempoh hari.

Sidi Arab pun belayar meninggalkan Melaka, membuang dirinya. Sehinggalah ke akhir hayatnya Sidi Arab tidak tahu yang kehilangannya busurnya adalah angkara Siam.

Selang tiga bulan kemudian, cerita yang disampaikan Sidi Arab di Melaka tentang hal ehwal busur dan anak panah itu tersebar sampai ke Siam. Raja Bubunya sangat menyesal kerana terlalu cepat memusnahkan busur Sidi Arab. Tapi sekurang-kurangnya dia berasa lega memandangkan tidak ada sesiapa lagi yang dapat menggunakan panah sakti itu, terutamanya terhadap dirinya sendiri. Hebohlah di seluruh selatan Siam tentang sejarah dan asal-usul panah sakti Sidi Arab itu.

Imbas kembali... pembakaran busur sakti dibuat di pekarangan istana Raja Bubunya dengan disaksikan oleh raja dan beberapa orang pembesarnya. Dua hari kemudian salah seorang pembesarnya bernama Awi Taucu tergerak hati untuk pergi melihat kesan-kesan pembakaran. Setibanya dia di situ, dia sangat terperanjat apabila mendapati busur itu langsung tidak terjejas. Keadaannya langsung tidak terusik. Ternyatalah busur sakti itu tidak lut api. Senyap-senyap Awi Taucu menyorokkan busur itu lalu membawanya keluar dari kawasan istana.

Dengan senjata sakti di tangannya, Awi Taucu mula merancang sesuatu ke atas kerajaan Siam. Dia yang sudah lama mendendami Raja Bubunya merancang untuk merampas kuasa. Dia yakin raja pasti akan menurut segala kemahuannya jika busur dan anak panah sakti itu berada di tangannya, kerana dia boleh membunuh raja pada bila-bila masa dari jarak jauh. Masalahnya sekarang... bagaimana hendak mendapatkan anak panah sakti itu di India?

Awi Taucu mengerahkan sepuluh orang pilihannya menyamar sebagai sami dan pergi ke India. Selepas melalui pelbagai cabaran yang hebat-hebat lagi ganjil-ganjil, empat bulan selepas itu mereka berjaya tiba di lembah yang dikatakan tempat anak panah sakti. Selepas sesat selama lima hari di lembah itu dan hampir-hampir kehabisan air dan makanan, bertemulah mereka dengan anak panah itu lalu bersegera pulang ke Siam.

Gembiranya hati Awi Taucu bukan kepalang. Dia mula mencongak-congak langkah yang bakal diambilnya dalam usaha untuk menduduki takhta Raja Bubunya. Dia bercadang menempatkan tenteranya di sebuah kuil di atas sebuah bukit, yang sesuai dijadikan kubu pertahanan. Kemudian dia akan mengutus surat kepada Raja Bubunya menuntut agar Raja Bubunya menyerahkan takhta kerajaan kepadanya. Jika tidak, dia akan melepaskan anak panah sakti dari jauh untuk membunuh Raja Bubunya.

Sedang Awi Taucu berangan-angan, sepasukan pengawal peribadi Raja Bubunya yang diketuai oleh Cau Santan memecah masuk ke istananya, membunuh tiga orang pengawal peribadi dan menangkap Awi Taucu. Semuanya berlaku begitu pantas sehinggakan Awi Taucu yang dalam kebingungan dapat diberkas dengan mudah. Busur dan anak panah saktinya dirampas.

Sebenarnya ada utusan dari sebuah kerajaan di India yang masuk menghadap Raja Bubunya. Para utusan itu memberitahu tentang kehadiran sepuluh orang sami dari Siam ke sana. Raja Bubunya berasa pelik kerana setahunya tidak ada sebarang rombongan penting dari Siam diutus ke India. Dia pun membuat siasatan. Dengan bantuan para utusan dari India, salah seorang perajurit yang menyamar sebagai sami ke India sebelum itu berjaya ditangkap dan dihadapkan kepada Raja Bubunya. Perajurit itu dipaksa menceritakan segala-galanya. Ganjaran emas yang sangat tinggi, lapan kali lebih tinggi daripada bayaran Awi Taucu membuatkan dia bercerita dari alif hingga ya.

Awi Taucu diseret ke hadapan Raja Bubunya. Dia tidak dapat berhelah lagi lalu dihukum bunuh dengan cara dikelar dari atas tubuh hingga ke bawah. Raja Bubunya juga hendak membunuh anak lelaki Awi Taucu iaitu Awi Cokia yang sedang bertugas sebagai panglima di perbatasan Siam-Burma. Inilah masanya untuk Raja Bubunya mencuba kesaktian panah Sidi Arab. Dia pun melepaskan anak panahnya ke arah sempadan dengan meniatkan Awi Cokia sebagai sasarannya. Matikah Awi Cokia?

Ternyata anak panah itu jatuh tidak jauh dari istana, tidak ghaib sebagaimana yang diceritakan orang. Cau Santan pun memeriksa anak panah itu. Setelah ditelitinya, ternyata anak panah itu ialah anak panah biasa yang matanya daripada besi murahan dan batangnya pula daripada kayu yang tidak kukuh. Di manakah anak panah sebenar?

Raja Siam mengutus satu rombongan yang agak besar ke India untuk mencari anak panah sakti kalau-kalau ia muncul di lembah asalnya. Hasilnya... hampa. Tidak ada sebarang anak panah di sana.

Oleh kerana busur itu tidak dapat dimusnahkan, Raja Bubunya pun menyimpannya dalam sebuah peti besi bersalut emas tulen dan diletakkan di tempat rahsia di istananya. Bersemadilah busur itu di sana dalam tempoh yang sangat lama.

Gambar : Hang Tuah memanah ketika melarikan Tun Teja


-AP-

Older Posts Home

Blogger Template by Blogcrowds