CUT NYAK MEUTIA: PENDEKAR WANITA MELAYU YANG SYAHID DI MEDAN PERANG
Salam dan selamat
menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kepada semua umat
Islam di Malaysia. Sempena hari yang mulia ini saya ingin memaparkan satu
artikel mengenai seorang pahlawan atau srikandi yang syahid kerana
mempertahankan agama, bangsa dan negaranya dari dirogol penjajah Belanda.
Kecekalan dan keberanian wanita Melayu Aceh ini patut di contohi oleh anak-anak
muda kita hari ini tak kira lelaki mahupun wanita.
Sepertimana beberapa
orang pahlawan wanita Aceh yang lain iaitu Laksamana Keumalahayati dan Cut Nyak
Dhien, Cut Nyak Meutia adalah lambang kepahlawanan dan kepimpinan wanita Melayu
Aceh. Cut Nyak Meutia dilahirkan di Keureutoe, Pirak, Aceh Utara, pada tahun
1870. Beliau adalah salah seorang Srikandi yang berasal dari Aceh. Dalam
perjalanan kehidupannya Cut Nyak Meutia bukan sahaja menjadi mutiara bagi
keluarganya tetapi juga telah menjadi mutiara yang bersinar bagi seluruh umat
Islam Melayu nusantara.
Cut Meutia dilahirkan
dari hasil perkawinan Teuku Ben Daud Pirak dengan Cut Jah. Dalam perkawinan
tersebut mereka dikurniakan 5 orang anak. Cut Meutia merupakan puteri tunggal
di dalam keluarga tersebut, sedangkan empat lagi saudaranya adalah laki-laki.
Saudara tertua bernama Teuku Cut Beurahim disusuli kemudian oleh Teuku Muhammad
syah, Teuku Cut Hasan dan Teuku Muhammad Ali. Ayahnya adalah seorang
Uleebalalang di desa Pirak yang berada dalam daerah uleebalangan Keureutoe
Daripada perhatian
seorang penulis Belanda, yang mengatakan bahawa “Cut Meutia bukan saja amat
cantik, tetapi dia juga memiliki tubuh yang molek dan menggairahkan. Dengan
mengenakan pakaian adatnya yang indah-indah menurut kebiasaan wanita di Aceh
dengan silueue atau seluar sutera bewarna hitam dan baju dikancing
perhiasan-perhiasan emas di dadanya serta tertutup ketat, dengan rambutnya yang
hitam pekat dihiasi ulee cemara emas yakni sejenis perhiasan rambut dengan
gelang di kakinya yang melingkari pergelangan lunglai, wanita itu benar-benar
seorang bidadari.
Ketika dewasa Cut
Meutia dinikahkan dengan Teuku Syamsarif yang mempunyai gelaran Teuku Chik
Bintara. Namun Syamsarif mempunyai watak lemah dan suka berkerjasama dengan
Kompeni Belanda. Teuku Chik Bintara merupakan anak angkat dari Teuku Chik Muda
Ali dan Cut Nyak Asiah, Uleebalang Keureutoe. Daerahnya mencakupi Krueng Pase
sampai ke Panton Labu yang pusat pemerintahannya di daerah Kutajrat Manyang
yang sekarang terletak 20 km dari kota Lhokseumawe. Pernikahan mereka tidak
bertahan lama. Akhirnya Cut Meutia bercerai dan kemudian bernikah dengan adik
Teuku Syamsarif sendiri iaitu Teuku Chik Muhammad atau yang lebih dikenali
dengan nama Teuku Chik Tunong. Setelah itu dia dan suaminya berhijrah ke
kawasan pergunungan untuk melawan Belanda
Awal pergerakan
penentangan mereka bermula pada tahun 1901 dengan pusat perjuangannya di daerah
Pasai atau Krueng Pasai di bawah komando perang Teuku Chik Tunong. Cut Nyak
Meutia bukan sahaja bertindak sebagai isteri Teuku Chiek Tunong tetapi lebih
jauh dari itu. Beliau sangat aktif bersama suaminya mengatur taktik dan
strategi pasukan muslimin bagi melakukan penyerangan terhadap musuh serta dapat
merampas persenjataan musuh untuk memperkuatkan gerilawan muslimin. Dalam
setiap pertempuran yang terjadi di kawasan mereka, Cut Nyak Meutia selalu
tampil sebagai panglima, berjuang di samping suaminya menghadapi musuh,
bertempur dan memimpin pertempuran. Cut Nyak Meutia bersama dengan Teuku Chiek
Tunong mempergunakan taktik menyebarkan mata-mata untuk menyiasat rencana-rencana
yang akan dilaksanakan oleh pihak musuh, terutama rancangan-rancangan perondaan
dan operasi tentera Belanda.
Taktik ini sangat
berkesan. Penyiasat mereka selalu dapat mengumpulkan informasi yang tepat
tentang rancangan serta daerah yang bakal dijadikan operasi oleh Belanda.
Dengan demikian Cut Nyak Meutia bersama Teuku Chiek Tunong dapat mengatur serta
mempersiapkan pasukannya untuk menyerang pasukan Belanda. Dapat dilihat taktik
yang digunakan ini pada November 1902. Salah seorang pejuang muslimin bernama
Pang Gadeng menyebarkan maklumat palsu bahawa pasukan Teuku Chik Tunong akan
mengadakan kenduri yang bertempat di kampong Matang Rayeuk di seberang sungai
Sampoiniet. Mendapat berita itu, Belanda merancang untuk menggempur kenduri
tersebut yang dipimpin oleh Leftnan RDP DE Cok bersama 45 orang askar. Di dalam
perjalanan, pasukan Belanda terpaksa menghadapi serangan jarak dekat yang
dahsyat dari pasukan Chik Tunong kerana mereka telah terkena muslihat yang
disusun oleh Cut Nyak Meutia. Dalam penyerangan itu, Letnan De Cok dan 28
prajuritnya tewas serta 42 pucuk senapang diperoleh kaum muslimin.
Selain itu, pasukan Cut
Meutia juga sering melakukan sabotaj terhadap kereta api, memutuskan hubungan
talifon dan menyekat perhubungan untuk mengangkut logistik pasukan Belanda
seperti di Lhoksukon dan Lhokseumawe. Tindakan ini sebagai tindak balas setelah
Belanda melakukan penyerangan ke atas Desa Blang Paya Itiek akibat dari
pengkhianatan Pang Ansari dimana pasukan Belanda menyerang pasukan Sultan Alaidin
Mahmud Daudsyah sehingga Sultan dan pasukannya harus mundur diri ke Menasah
Nibong Paya kemuek.
Berakhirnya perjuangan
Teuku Chik Muhammad dan Cut Meutia adalah akibat dari peristiwa di Meurandeh
Paya sebelah timur kota Lhoksukon pada tanggal 26 Januari 1905. Peristiwa ini
dimulai dengan terbunuhnya pasukan Belanda yang sedang meronda dan berteduh di
Meunasah Meurandeh Paya. Pembunuhan keatas pasukan Belanda ini memberikan impak
yang sangar besar bagi Belanda. Di dalam penyelidikan Belanda, didapat bahawa
Teuku Chik Tunong terlibat dalam pembunuhan itu. Maka dari itu, Teuku ditangkap
dan dihukum gantung. Namun pada akhirnya berubah menjadi hukum tembak mati.
Pelaksanaan hukuman mati dilaksanakan pada bulan Mac 1905 di tepi pantai
lhoksuemawe dan dimakamkan di Masjid Mon Geudong.
Sebelum dihukum mati,
Teuku Tunong mewasiatkan agar Pang Nanggroe yang merupakan sahabat
perjuangannya untuk menikahi Cut Nyak Meutia serta menjaga anak-anaknya. Sesuai
dengan amanah dari almarhum suaminya, Cut Meutia menerima lamaran Pang
Nanggroe. Dan dengan beliau, Cut Meutia meneruskan perjuangan melawan Belanda
dan memindahkan markas pusat perjuangan ke Bukit Bruek Ja. Pang Nanggroe
mengatur strategi untuk melawan pasukan marsose Belanda bersama dengan Teuku
Muda Gantoe. Penyerangan Cut Meutia dan Pang Nanggroe dimulai dari hulu Kreueng
Jambo Aye, sebuah tempat pertahanan yang sangat strategik kerana daerah
tersebut merupakan daerah hutan yang sangat banyak tempat persembunyian.
Pasukan muslimin melakukan penyerangan ke post-post tentera Belanda dimana
banyak pejuang muslim yang ditahan di situ.
Taktik penyerangan Cut
Meutia yang lain pula adalah taktik menjerat yang dirancang dengan menyebarkan
khabar angin bahawa adanya kenduri di sebuah rumah dengan mengundang pasukan
Belanda. Rumah tersebut telah dipasang perangkap berupa makanan yang lazat.
Tiang dan lantai rumah itu telah ditukar dengan potongan buluh sehingga mudah
untuk diruntuhkan. Pada masa pasukan Belanda berada di dalam rumah tersebut,
rumah itu diruntuhkan dan pasukan Cut Meutia akan menyerang.
Penyerangan pasukan Cut
Meutia juga tertumpu pada rel kereta api sebagai usaha untuk memutuskan
logistic belanda dan jalan kereta apinya. Di pertengahan tahun 1909 hingga ogos
1910 pihak Belanda dengan petunjuk orang kampung yang dijadikan tawanan telah
mengetahui pusat pertahanan pasukan Pang Nanggroe dan Cut Nyak Meutia. Beberapa
penyerangan dilakukan, namun pasukan Cut Meutia yang selalu berpindah tempat
membuatkan Belanda susah untuk menangkapnya. Beberapa penyerangan dilakukan di
daerah Jambo aye, Peutoe, Bukit Hague, Paya Surien dan Matang Raya. Namun pada
25 September 1910, ketika terjadi penyerangan di daerah Paya Cicem, Pang
Nanggroe terkena tembakan Belanda sehingga meninggal dunia setelah mewasiatkan
kepada anaknya Teuku Raja Sabi untuk mengambil rencong dan pengikat kepala
ayahnya dan menjaga ibundanya Cut Nyak Meutia.
Setelah Pang Nanggroe
syahid, pasukannya dipimpin oleh Cut Meutia dan pusat pertahanan dipindahkan ke
daerah Gayo dan Alas bersama pasukan yang dipimpin oleh Teuku Seupot Mata. Pada
22 Oktober 1910, pasukan Belanda mengejar pasukan Cut Meutia yang diperkirakan
berada di daerah Lhokreuhat. Esoknya pengejaran dilakukan semula ke daerah
Krueng Putoe menuju Bukit Paya hingga menyebabkan pasukan Cut Meutia semakin
terkepong dan selalu berpindah antara gunung dan hutan.
Dalam pertempuran pada
25 Oktober di Krueng Putoe, pasukan Cut Meutia menghadapi serangan hebat dari
Belanda. Di sinilah Cut Meutia mati syahid bersama pasukan muslim yang lain
seperti Teuku Chik Paya Bakong, Teungku Seupot Mata dan Teuku Mat Saleh.
Sebelum srikandi ulung ini gugur ke bumi, Cut Meutia mewasiatkan kepada Teuku
Syekh Buwah untuk berhenti melawan serangan belanda, taktik selanjutnya adalah
berundur sejauh mungkin dan menyusun serangan semula, kerana posisi mereka
sudah tersepit. Cut Meutia juga mewasiatkan agar anaknya dicari dan dijaga.
Begitulah pengakhiran perjuangan wanita berhati kental ini. Walaupun dua orang
suaminya gugur dalam pertpuran, namun beliau sanggup memegang tampuk kepimpinan
pasukannya melawan kafir laknatullah dan akhirnya menjadi syahidah.. Sekian, Al
Fatihah untuk wirawati ini.
-Al Semantani-
Post a Comment