PERCANGGAHAN DALAM SOSIALISME
Ketika berbincang
tentang gerakan-gerakan sosialisme seperti Adam Adli yang memperjuangkan
“kebebasan asasi manusia”, sahabat saya telah mengeluarkan persoalan yang saya
rasa perlu dibincang bersama: bukankah republik sosialisme itu sendiri
berteraskan diktator?
Kalau kita rujuk semula
perlembagaan empayar-empayar sosialisme yang lepas, kita mampu lihat
titik-titik pertemuaan mereka dengan ciri-ciri diktator, sekaligus melahirkan
tanda tanya yang dikemukakan oleh sahabat saya. Dan tanda tanya ini akan
meledakkan satu percanggahan kerana peranan seorang diktator adalah menggunakan
kuasa politiknya dengan cara autokratik tanpa had. Ianya bercanggah dengan idea
“kebebasan” seperti yang diungkapkan dalam piagam demokrasi liberal.
Secara realitinya,
perkaitan “sosialisme” dan “diktator” ini kekal sebagai persoalan terbuka dalam
dunia politik. Pandangan-pandangan Amerika Syarikat melahirkan definisi
sosialisme adalah tunjang kepada “diktator” kerana peranannya yang bergerak
kearah tekanan-tekanan totalitarian. Tetapi, apabila kita rujuk ekonomi-ekonomi
negara-negara Scandinavia, dimana sistem mereka bagaikan pertemuan sungai
sosialisme dan negara berkebajikan, kita boleh mendapati air yang mengalir
daripada hasil kedua-dua sungai ini mempunyai panji demokrasi juga.
Mungkin anda telah
ungkapkan sosialisme boleh hidup di dalam air sungai demokrasi dan juga
longkang autokrasi. Tetapi, di sini wujud sedikit masalah yang menimbulkan
kekeliruan am ini. Kekeliruan ini terhasil akibat salah faham jenis sistem yang
dibangkitkan. Ianya juga boleh dikaitkan dengan kekeliruan kapitalisme yang
digunakan dalam sistem persekutuan boleh pula hidup dalam sistem unitari.
Permasalahannya adalah
kerana pemahaman kita tentang piagam negara. Sistem persekutuan dan unitari
adalah struktur kuasa sesebuah kerajaan, manakala demokrasi dan autokrasi
merupakan sistem politik kerajaan tersebut, dan sosialisme pula sistem ekonomi
yang dibawa oleh dasar-dasar politik kerajaan yang sama.
Analoginya mudah,
ibaratkan satu sungai (demokrasi) dan longkang (autokrasi) yang mengalir ke
arah yang sama (sosialisme). Contoh yang mudah adalah, anda meletakkan Sweden
dan Nazi Jerman dalam satu perbandingan, kedua-dua negara bergerak ke arah
sosialisme, tetapi air Sweden kekal jernih sebagai sungai manakala air Nazi
pula dikeruhkan seperti longkang.
a. Sosialisme dan
Komunisme
Apabila disebutkan
dengan sosialisme, ramai yang menyangkakan ianya adalah tunas kepada komunisme.
Menurut Vladimir Lenin, ketua kerajaan Kesatuan Soviet yang pertama, komunisme
adalah matlamat kepada sosialisme. Walaupun seringkali dikaitkan bersama,
sistem-sistem ini adalah berbeza sebenarnya, tetapi bangkit selepas Revolusi
Industri, dimana pemilik-pemilik kilang kapitalis yang kaya sedang menekankan
pekerja-pekerja mereka. Sebagai balasan kepada penindasan kapitalisme, Karl
Marx dan Friedrich Engels telah menciptakan alternatif yang baru untuk mencapai
utopia ekonomi: komunisme.
Mereka mementingkan
tiga fasa untuk mendaulatkan ideologi ini:
• Fasa 1: sebuah
revolusi mesti dibuat untuk menghancurkan kerajaan sedia ada sehingga segala
sistem-sistemnya telah tiada;
• Fasa 2: seorang
diktator atau ketua elit mesti menguasai golongan proletariat (pekerja) secara
mutlak. Dalam fasa ini, penguasaan kerajaan baru ke atas rakyat biasa semestinya
secara total – pendidikan, agama, pekerjaan dan juga perkahwinan akan
ditentukan oleh pemimpin. Dengan kata mudah, pemimpin ini merupakan tuhan
kepada masyarakat tersebut.
• Fasa 3: Pencapaian
utopia. Untuk mencapai fasa ini, semua golongan yang bukan komunis perlu
dihapuskan, dan Parti Komunis yang memegang kepimpinan secara mutlak. Fasa ini
tidak pernah dicapai.
Apabila sistem
komunisme telah tertubuh, kerajaan itu sendiri akan dibubarkan, dan semua
rakyat akan bekerjasama untuk kebaikan bersama. Dari segi teori, inilah syurga
ekonomi, tetapi dari segi praktikal, adakah kerajaan yang berpengaruh tinggi
dari kehidupan peribadi rakyat sehingga penguatkuasaan ketenteraan akan
melepaskan kuasa begitu sahaja?
Sosialisme pula
berpendapat komunisme merupakan ideologi yang melampau. Dasar-dasar mereka
telah mengurangkan kadar keekstrimannya dan lebih fleksibel untuk unjuran
ekonomi moden.
Sosialis-sosialis
berpendapat kapitalisme tidak perlu dimusnahkan, malah perlu diperbaharui
melalui proses-proses demokratik, dan berbanding komunisme dimana keuntungan
negara dibahagikan melalui keperluan, sosialisme membahagikan keuntungan negara
berdasarkan sumbangan individu kepada masyarakat dan membenarkan
perusahaan-perusahaan antara pekerja.
b. Robin Hood dan Adam
Smith
Menurut sosialisme,
sistem kapitalisme membenarkan golongan kelas atasan mengeluarkan struktur
kewangan daripada sebuah ekonomi, meledakkan implikasi-implikasi yang akan
menyusahkan hidup orang lain. Mereka meletakkan pendapat mereka untuk mengaut
keuntungan orang lain yang tidak diperlukan dan berikan kepada golongan yang
memerlukan untuk menaikkan kualiti hidup: ibaratkan Robin Hood, yang berfikir
kapitalisme adalah atas kepentingan peribadi, bukan negara.
Tetapi Adam Smith
(kapitalisme) mempunyai pemikiran pada stimulasi ekonomi perlu bersandarkan
kepada persaingan antara pemilik pengeluaran swasta, yang akan mengurangkan
harga, meninggikan keefisyenan dan menambahkan kualiti. Insentif ini akan
memuncakkan mentaliti untuk bekerja lebih keras, kerana lumrah dunia adalah:
“survival is for the fittest”.
Persaingan inilah yang
dibuang daripada sosialisme. Teknik pembahagian kekayaan di dalam sosialisme
akan meneruskan perniagaan tetapi memberi impak kepada hasil. Kapitalisme telah
mengeluarkan ramai orang daripada kebuluran dan melonjakkan kualiti asasi
manusia jauh lebih tinggi berbanding sistem ekonomi yang lain.
Perkara ini jelas wujud
dalam sistem ekonomi Amerika Syarikat. Dengan kepelbagaian ciri-ciri untuk
membentuk ekonomi, ianya akan membuka kepada kebebasan ekonomi, kejayaan dan
kemakmuran. Negara yang kaya akan mempunyai populasi asas yang tenang.
Bayangkan sebuah kelas
yang mempunyai kepelbagaian yang tinggi dalam gred pemarkahan pelajar. Apabila
anda menggunakan dasar-dasar sosialisme untuk memarkahkan sebuah peperiksaan,
pelajar-pelajar yang cemerlang akan diturunkan untuk menaikkan pelajar-pelajar
yang gagal agar mencapai sebuah garisan pencapaian yang sama rata.
Kalau perkara ini
diteruskan untuk tiga peperiksaan yang seterusnya, semestinya pelajar-pelajar
cemerlang akan “menyerah kalah”, manakala pelajar-pelajar gagal tidak akan
menghiraukan status gred mereka kerana mereka tidak akan gagal. Akhirnya,
seluruh struktur akademik kelas tersebut akan musnah.
c. Paradoks Sahabat
Saya
Sahabat saya memberi
paradoks: bukankah republik sosialisme itu sendiri berteraskan diktator? Sistem
kapitalisme meletakkan “anda usaha, anda kaya”, manakala sistem sosialisme
mengimarahkan, “anda usaha, kami bahagi”. Apabila situasi ini berlaku dan anda
tidak bersetuju untuk membahagikan kekayaan anda, apakah akan berlaku?
Ertinya di sini,
sosialisme sebenarnya tidak mendirikan “kebebasan”, malah ianya menyekat
kebebasan. Dan apabila kebebasan disekat, produktiviti akan terganggu akibat
ketiadaan atau kekurangan pelaburan. Apakah perjuangan Adam Adli itu relevan?
Ketidakinginan untuk
membahagikan harta kekayaan secara drastik seperti yang diketatkan oleh
ideologi sosialisme akan menyebabkan pelbagai masalah kembali kepada kita:
pengelakan cukai atau keengganan untuk membayar cukai. Benarkah sosialisme
membuka tirai kearah kebebasan?
-- AFDS -
Post a Comment