The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 25 February 2014

JANGAN JADIKAN MALAYSIA SEPERTI MESIR


Di bawah ialah perkongsian daripada sahabat saya yang bermusafir di bumi orang, Mesir. Semoga boleh diambil iktibar daripada perkongsian beliau.

"Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sepanjang berada di sini, tambahan sejak krisis 25 Januari 2011.

Sewaktu krisis, keadaan amat gawat. Perintah berkurung yang pada mulanya hanya pada waktu malam dinaikkan setiap hari, sehingga seingat saya, ada waktu kami hanya dibenarkan keluar rumah dari jam 8 pagi sehingga waktu zohor.

Saya tak tahulah di tempat lain macam mana, tapi di tempat saya yang keadaan tidak berapa serius pun terasa tegangnya.

Saya masih ingat bunyi tembakan kedengaran selepas waktu Maghrib. Pada masa itu, saya masih belum memahami keadaan memandangkan internet, telefon (Mesir) dan eletrik disekat.
Saya hanya mengetahui keadaan sebenar selepas menerima panggilan telefon dari Malaysia. Alhamdulillah, nasib saya simpan nombor Malaysia, dapat tahu juga keadaan sebenar.

Takut hendak keluar rumah sampai bekalan wang dan makanan kehabisan, kredit telefon tidak mencukupi. Tidak berapa lama selepas itu, line telefon dibekalkan semula. Penyebaran maklumat antara kami pelajar Malaysia amat susah, hanya melalui telefon.

Kami diarahkan menutup lampu bermula dari waktu Maghrib, dan disuruh berhati-hati, kunci pintu dan tingkap kerana banyak kes kecurian berlaku, dan ada banduan dari penjara terlepas.

Alhamdulillah, kerajaan Malaysia ambil keputusan untuk bawa kami pulang. Malam sebelum bertolak ke tempat perhimpunan rakyat Malaysia, saya berkunjung ke kediaman tuan rumah saya untuk memaklumkannya. Tuan rumah sempat mengadu hal kepada saya, dan meminta maaf atas keadaan yang berlaku.

“We need this. We need Hosni Mubarak to step down, but this is not the right way. We’re still afraid with this action actually, and the thing that we’re afraid of mostly is that there ARE people from outside Egypt in the crowd trying to manipulate and provoke both sides to worsen the situation.”

Beliau nampak yakin yang ada pihak luar terlibat dalam mengapi-apikan rakyat Mesir yang berkumpul di Dataran Tahrir.

Alhamdulillah, krisis 25 Januari sudah berakhir...

Namun masalah lain pula timbu. Keadaan selepas 25 Januari masih kurang aman. Tentera berjaga di setiap kawasan. Pernah sekali saya menyaksikan kejadian pukul-memukul antara pihak tentera dan orang awam, di hadapan pintu universiti.

Lima orang tentera bersenjatakan senapang memegang kaki tangan seorang pemuda dan mengheretnya. Ini baru dikatakan kejam.
Rasanya,polis Malaysia masih boleh dikategorikan sebagai polis yang berlemah-lembut dan ada sifat perikemanusiaan.

Selepas pilihan raya pun, keadaan masih belum aman. Seringkali berlaku rusuhan sehinggakan mengganggu aktiviti harian. Nak pergi belajar pun susah, jalan disekat, tambah pula perasaan takut.

Itu pun pelajar di Malaysia masih tak bersyukur dengan keadaan aman di sana dan sanggup pula nak mengadakan Arab spring di Malaysia… Saya masih trauma dengan krisis 25 Januari.

Tambah paling menyedihkan, sehingga sekarang, rakyat Mesir memilih untuk melakukan rusuhan sekiranya ada perkara yang tidak puas hati. Baru-baru ini rusuhan dilakukan oleh pelajar-pelajar di salah sebuah universiti termasyhur di sini, atas sebab tidak puas hati dengan pihak universiti.

Pihak universiti tersebut mengumumkan cuti untuk beberapa hari, jelas mengganggu pelajar, sedangkan sewaktu itu pensyarah sibuk mengadakan kelas tambahan untuk persediaan menghadapi peperiksaan.

Keadaan ekonomi di sini lebih teruk berbanding sebelum krisis.
Kos sara hidup meningkat, ramai rakyat hilang pekerjaan, kes kecurian meningkat dan mangsanya adalah kami, pelajar Malaysia, kerana kebanyakannya menunjukkan kemewahan mereka di depan rakyat Mesir yang rata-ratanya hidup daif.

Nama negara tercemar. Saya tidak sanggup menyuarakan tekanan yang saya hadapi di sini pada keluarga, takut mereka bimbang, jadi disuarakan kepada rakan-rakan di internet yang datangnya dari banyak negara.

Memang silap saya menyuarakan masalah, rata-rata balasan yang saya terima adalah.

“Oh, poor you. I hope you’ll get out of the country as soon as possible. It’s not safe to be there. Please be careful…”.

Dan setiap kali mereka membaca berita mengenai Mesir, semua menyuarakan kebimbangan kepada saya.

“Hey, are you okay? I heard something happened in Egypt. It’s not safe anymore. Don’t go outside. Stay at home!”

Tidak dinafikan tahap keselamatan di sini terjejas dengan teruknya, tapi saya sebagai penghuni negara Islam ini berasa sangat malu dan sedih apabila dunia melihat negara Mesir ini dengan pandangan negatif dan sebagai tidak selamat untuk dikunjungi/ dihuni. Pelancongan merosot teruk.

Saya harap benda yang sama tidak akan berlaku di Malaysia. Ada otak fikir-fikirkanlah sebelum kita melakukan keganasan. Islam mengajar kita menyelesaikan masalah dengan berhemah. Kita sepatutnya menunjukkan kepada dunia yang Islam cintakan keamanan.

Jadi saya minta yang berada di Malaysia tercinta, peliharalah nama baik, keamanan dan kemajuan Malaysia. Jangan sampai nasi jadi bubur…"


-HE-

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds