KEJATUHAN MATA WANG 1997 - DARI PERSPEKTIF TUN DR MAHATHIR
Pada Mei tahun itu
(1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan
tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau
menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun
berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu
mentadbir negara dengan baik.
Ketika berada di
Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya menerima berita mengenai
serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang berlaku adalah
ahli perniagaan Thai telah meminjam sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah
yang rendah berbanding pinjaman dalam mata wang baht.
Mereka boleh membuat
keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu dengan syarat nilai
baht stabil. Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang yang mencari
keuntungan dengan memerhati dan mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran
dan kelemahan seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk
dicita ulam mendatang kepada kegiatan mereka.
Mereka menyebarkan
berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara itu
mustahil dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual sejumlah besar baht
menyebabkan nilainya merosot berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht
menyebabkan orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.
Mereka terpaksa
mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata wang asing
mereka kerana kalau keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi, mereka
mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman.
Sekiranya mereka gagal
membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa
ekonomi Thai lemah.
Kemudian mereka
melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin
ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang
mereka. Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada
kaitan langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah
sekadar bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.
Kitaran tindakan kejam
(vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai baht menyusut, lebih
ramai peminjam yang gagal membayar balik hutang dan semakin lemah pula ekonomi
Thailand.
Kerajaan Thai cuba
membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab dolar.
Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang tidak
terbatas untuk terus dilambakkan dalam pasaran.
Akhirnya, kerajaan Thai
dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah manakala simpanan mata
wang asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht
apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh
rizab mata wang asing yang secukupnya.
Apabila saya pulang
daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk. Kita mengambil
keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan rizab
antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.
Kewangan Malaysia
berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan peniaga tidak perlu
meminjam dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita sentiasa rendah dan
pinjaman mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata
wang asing Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong
ringgit kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.
Kita juga tidak
membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan meminjam mata wang
asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa yang harus kita
bimbangkan?
Kemudian kita mula
mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana masalah jiran kita
mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita nampak sihat,
ringgit mungkin akan diserang juga.
Kalau peniaga mata wang
mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia, nilai ringgit akan turut
jatuh. Saya langsung tidak faham mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi
pakar ekonomi pasti ia akan terjadi.
Mereka betul. Peniaga
mata wang mula menjual ringgit secara besar-besaran menyebabkan nilainya
merosot. Sebelum serangan itu bermula pada pertengahan 1997, kadar mata wang
kita ialah RM2.50 bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun
nilai ringgit tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual
ringgit atau kepada siapa mereka menjualnya.
Saya diberitahu
mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah menyerang paun British
dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu menghadapi saat genting
mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan nilainya secara paksa.
Tanpa mengetahui
peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros adalah salah seorang
daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.
Bagaimanakah orang luar
boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan rakyat kita?
Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan sengaja?
Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih untuk
menjahanamkan kita sebagai produk sampingan strategi perniagaan mata wang
mereka? Semua ini tidak masuk akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi
mahupun moral.
Rakyat Malaysia,
khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai ringgit.
Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk membeli dolar
yang mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan daripada pembekal
asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik hutang.
Rakyat Malaysia yang
gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka terlalu mahal.
Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan nilai dolar kita
sepatutnya memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada eksport.
Pembeli asing pula mahu
membayar harga yang lebih rendah untuk eksport kita. Mereka mendakwa kos
pengeluaran kita telah berkurangan kerana nilai ringgit merosot. Apa yang
mereka tidak sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka bahan mentah,
komponen dan barangan modal (capital goods) yang kita import menjadi lebih
mahal.
Kejatuhan nilai ringgit
tidak menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama jika dibandingkan dengan
jiran kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.
Kita berasa tidak
berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan ekonomi menuju ke arah
kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut, ekonomi kita
berkembang pada kadar lapan peratus setahun.
Kini, kita berdepan
dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh berkata apa-apa
mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan terbuka, nilai
ringgit jatuh lagi.
Pada 17 Jun 1997,
sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah Urusan Tabung Mata
Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael
Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan
Malaysia yang baik.
Pujian itu dibuatnya
pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya: “Malaysia adalah
negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran menguruskan
tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan sistem kewangan
yang sihat di tengah-tengah pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran
hartanah berkembang pesat.”
Inflasi, kata beliau,
adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50 kepada AS$1 untuk
jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah mata wang yang
benar-benar kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan Malaysia.
Namun, apabila serangan
ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata ekonomi kita terlalu
panas dan ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang oleh peniaga mata
wang. Saya tidak percaya yang nilai ringgit susut kerana ekonomi kita lemah
atau kerana pasaran hilang keyakinan terhadap Malaysia.
Saya membeli beberapa
buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Saya
yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau
mata wang kita.
Saya pernah bertemu
dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang
ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap
berjumpa beliau.
Saya meminta Anwar
merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Saya
berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Saya
tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus,
tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi saya, mendagangkan
mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali.
Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai
kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini
adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan
dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.
Kita bukan lagi berada
pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai
sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis
menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran
barang. Hari ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah
kesedapan makanan dan kita guna wang untuk membeli-belah.
Saya teringat pernah
membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut
sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan
kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.
Bagaimanapun, apakah
kita perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal
mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih
banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan
lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan
itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi
juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen
tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada
dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke
belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara literal klise ekonomi, iaitu
wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.
Sebagai seorang doktor,
saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang
pada setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan
darah).
Bagaimanapun, saya
belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya
dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang
daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar
ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua
kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.
Setelah Amerika
Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi
dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan
antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.
Perjanjian Bretton
Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas.
Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai
dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.
Ekonomi dunia selepas
perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya
bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan
mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar
tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama
lain.
Bagi saya, tindakan ini
merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman
pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang
kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara
membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya
atas nama keuntungan.
Kita terpaksa menerima
keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh
dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula
menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah
jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat
mata wang.
Mereka mengaut
keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun.
Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana
lindung nilai atau hedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum.
Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain,
tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh
pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun
tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi
masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan
orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah
pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam
kegiatan yang penuh rahsia?
Namun, pengendalian
dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu?
Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada
siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?
Kita tidak tahu jawapan
kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda
modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah
perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan
lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.
Camdessus adalah orang
Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat dengan Presiden Chirac. Jadi,
disebabkan saya kenal baik dengan Chirac maka saya menulis kepada beliau
mengenai penjarahan oleh peniaga mata wang dan saya meminta beliau bercakap
dengan Camdessus agar membantu menghentikan kegiatan itu.
Kemudian, sewaktu Mesyuarat
Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting
(CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru
sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya
menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa
perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak
menghasilkan apa-apa.
Sebelum itu, Malaysia
memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang. Kita mengambil bahagian
dalam kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab antarabangsa kita tidak susut
akibat naik turun nilai mata wang yang kita simpan.
Ketika itu kita hanya
berurusan dengan menggunakan mata wang negara-negara maju sahaja. Seperti mana
orang lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang
kita lakukan adalah memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah
satu spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang.
Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.
Pada September 1997,
saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF di Hong Kong.
Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang dengan menuduh mereka
telah memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut
nama Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi mata wang
negara-negara Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.
Hari berikutnya, Anwar
berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah berlepas ke Sabah dan
beliau menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah. Beliau memberitahu
saya bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau
tidak memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik
IMF dan peniaga mata wang.
Dalam satu perjumpaan
di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke atas mereka dan sekali lagi
nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada saya bahawa peniaga
mata wang adalah punca yang menekan turun nilai ringgit.
Ia tidak mungkin
disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu pantas. Ini juga
bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa pemain utama yang
mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan mereka yang
tersendiri, saya mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada
bercakap mengenai peniaga mata wang.
Di dalam negara, Anwar
memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF tanpa IMF.” Pada
dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu
meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak
berhutang. Antara hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk dibayar
balik. Hutang yang telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita
langsaikan.
Namun, sama ada kita
perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu
menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan
antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang
diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka
kehendaki.
Anwar berpendapat yang
ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu kita pulih daripada penyakit
antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau
menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.
Saya memberi amaran
kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil
yang diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.
Beliau juga cuba
memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada enam bulan kepada
tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan
nisbah hutang lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan
merosot. Penyakit yang kita cuba elakkan, muncul.
Ubat IMF gagal
menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun,
Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.
Ekonomi kita jelas
menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala yang lain gagal
melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar memendekkan tempoh
ingkar bayar hutang daripada enam bulan kepada tiga dan menaikkan kadar faedah
kepada 12 peratus.
Kita memutuskan supaya
ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan
untuk menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi mengurangkan perbalahan
politik maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk
daripada PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan
Ekonomi Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua
badan pemikir juga diajak bersama.
Dengan itu, kita dapat
menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh negara dan mendengar
pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun, disebabkan bilangan
ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi,
saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat kecil untuk memantau
perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.
Ia perlu disokong oleh
keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri sahaja yang
menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa atau
syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.
Anggota panel penasihat
termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang ahli ekonomi yang
dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri
Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa
sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit
Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang
eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta
Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.
Panel penasihat kecil
itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi di pejabat saya. Kami
meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan
berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi atau
prospek negara.
Kami memanggil pakar
bagi memberi penerangan dan membuat cadangan mengenai perkembangan semasa. Kami
mendengar banyak taklimat dan sering membuat keputusan mengenai apa yang perlu
dilakukan.
Mujurlah kita tidak
mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat Malaysia mungkin
telah terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan bukanlah tindak
balas mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat persiapan akhir bagi
Sukan Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu
untuk menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.
Sambil menangani krisis
itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk melaksanakan usaha ekonomi dan
diplomatik. Saya berada di Buenos Aires, Argentina apabila saya tiba-tiba teringat
kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan mata wang
Bank Negara sewaktu kita mengalami kerugian.
Saya ternampak beliau
sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya berlepas ke Buenos Aires.
Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan saya memutuskan yang beliau mungkin
boleh memberi penjelasan mengenai perniagaan mata wang serta mencadangkan cara
untuk mengatasinya.
Urus niaga mata wang
asing kita yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan suatu kebaikan dan
menyelamatkan kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga mata wang.
Perkara itu amat
mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke tanah air, lalu saya
meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed ke Argentina. Tidak
lama selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik hotel saya dan beliau
menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab kita mengalami
kerugian.
Saya bertanya, apakah
pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita gunakan untuk mengatasi
masalah yang sedang kita hadapi?
Beliau mencadangkan
agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi yang memiliki sumber kewangan
yang besar dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membeli ringgit. Kita terima
cadangan itu dan melaksanakannya.
Namun, sekali lagi kita
tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka boleh membuat spekulasi
sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin kehabisan rizab
antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu. Kita bukan
berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa buah.
Ternyata percubaan kita
itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan lalu memutuskan untuk
melantik beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.
Kita mengajukan banyak
soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan mengawal perniagaan mata
wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai sistem perbankan dan
kewangan, dan Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.
Disebabkan kita tidak
faham selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan langkah-langkah yang
terbukti tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas dalam fikiran saya
untuk menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan
penyusutan nilainya.
Apabila saya
membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri, mereka berkeras
mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus yakin mesti ada
sesuatu yang boleh dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi menghentikan
manipulasi mata wang kita. Sehingga saat itu, saya masih beranggapan yang mata
wang sebenar telah bertukar tangan dalam urus niaga berkenaan.
Saya masih belum
memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk abstrak dan maya
serta bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai berbilion-bilion dolar
boleh mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas berbanding kita membayar
RM10 untuk membeli sayur di pasar.
Itulah sebabnya apabila
kita diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita menyangka orang yang
terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka keluar dari Malaysia.
Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya memeriksa beg pengembara.
Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba dibawa keluar.
Bagaimanapun, kita
mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan dengan begitu banyak
dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke Singapura. Atas sebab
itulah kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit
mereka ke dalam bank Malaysia.
Kita juga hairan
bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki berbilion ringgit
duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana penyerang mata wang
antarabangsa itu memperoleh ringgit?
Mereka melakukan jualan
singkat dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak
mereka miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.
Saya bertanya kepada Nor
Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh meninggalkan Malaysia
tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar berbilion-bilion
ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit sebelum mereka mula
memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses itu merosakkan
kestabilan kadar tukarannya.
Pada satu peringkat,
saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli sejumlah besar
ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.
Nor Mohamed menjelaskan
kepada MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang tunai yang dipindahkan. Sejuta
ringgit, walaupun dalam bentuk wang kertas RM100, sudah cukup berat untuk
diangkut. Jadi, tentulah mustahil untuk memindahkan ratusan juta ringgit,
apatah lagi berbilion ringgit. Lagipun, ringgit hanya sah diperlakukan di
Malaysia. Ia tidak boleh digunakan di luar negara.
Bank dan penukar wang
di negara lain mungkin menerima ringgit untuk ditukarkan dengan mata wang
tempatan, tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di penghujungnya, mereka pasti memulangkan
mata wang kertas itu kepada Malaysia untuk ditukarkan dengan mata wang pilihan
mereka. Bagaimanapun, ini jelas tidak berlaku. Kalau berlaku pun, kita tentu
dapat melihat barisan van perisai berulang-alik di antara Singapura dan
Malaysia.
Jadi, apakah mata wang
yang diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed menjelaskan bahawa tidak ada wang
yang terlibat secara fizikal. Sebaliknya wang sebenar ada di dalam bank-bank
Malaysia, kebanyakannya di dalam akaun pemilik wang itu.
Saya bertanya kepada
kepada Nor Mohamed apa yang berlaku apabila wang itu dijual atau dibeli.
Menurut beliau, sejumlah kecil daripadanya mungkin dimasukkan ke dalam bank
atau diambil sebagai tunai. Namun, biasanya wang itu dikreditkan ke dalam akaun
penerima atau didebitkan daripada akaun pembayar. Tidak ada transaksi wang
tunai berlaku sama sekali. Jual beli dibuat di atas kertas semata-mata. Yang
berubah hanyalah angka-angka di dalam akaun bank.
Apabila ringgit
didagangkan, tidak ada wang yang menyeberangi sempadan. Dalam erti kata lain,
tidak ada wang yang keluar dari Malaysia ataupun masuk ke dalam Malaysia secara
fizikal. Proses itu mungkin rumit sedikit bagi dagangan yang melibatkan akaun
mata wang asing di bank-bank asing. Begitu pun, ringgit yang diperdagangkan
tidak akan sama sekali meninggalkan Malaysia.
Saya sedar bahawa itu
mestilah caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara menarik balik wang kertas
bernilai RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang ramai menyeludup keluar wang.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku selama ini adalah ringgit Malaysia
yang diperdagangkan itu kekal di dalam akaun orang asing di bank-bank Malaysia.
Disebabkan wang itu dimiliki oleh orang asing, maka kita tidak boleh
menggunakannya.
Ini adalah sesuatu yang
baru kepada saya. Saya bukan seorang ahli perbankan dan urusan saya dengan bank
juga terhad. Saya selalu membuat pembayaran menggunakan cek tanpa memikirkan
bagaimana angka di dalam akaun saya berubah. Transaksi saya umumnya kecil dan
diuruskan oleh pembantu peribadi saya.
Saya mula berasa gerun
apabila menyedari yang saya telah membelanjakan begitu banyak wang negara tanpa
mengetahui apa-apa mengenai operasi bank. Namun, sejak mempelajari bahawa
ringgit yang diperdagangkan itu tidak pernah keluar dari Malaysia secara
fizikal dan jual belinya hanya membabitkan pemindahan hak milik daripada satu
akuan kepada akaun yang lain di dalam bank, maka saya mula berfikir bagaimana
kerajaan boleh menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas bank-bank di
Malaysia untuk menghentikan perniagaan mata wang.
Saya yakin ramai
rakan-rakan saya di dalam MTEN tahu bahawa sistem kewangan mewujudkan lebih
banyak kredit berbanding mata wang yang dikeluarkan oleh bank pusat.
Bagaimanapun, mereka tidak nampak bagaimana maklumat itu mungkin boleh membantu
mewujudkan kawalan rasmi ke atas perdagangan mata wang. Mungkin ada baiknya
juga kejahilan saya mengenai sistem kewangan sebelum ini kerana ia memberi saya
peluang untuk melihat dengan persepktif baru tentang bagaimana boleh
menggagalkan peniaga mata wang.
Saya bertanya Nor
Mohamed sama ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar tidak memindahkan hak
milik apabila peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit. Beliau menjawab,
boleh. Saya pun memikirkan kemungkinan untuk melaksanakannya.
Serentak itu, Tun Daim,
Nor Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam MTEN mula membincangkan
kemungkinan menyekat peniaga mata wang daripada memperoleh ringgit. Pada masa
yang sama, kita perlu menghentikan jual beli saham syarikat Malaysia melalui
Central Limit Order Book (CLOB) di Singapura atau apa yang disebut sebagai
dagangan “atas kaunter.”
Ia diwujudkan oleh
Singapura untuk meneruskan kegiatan jual beli saham-saham Malaysia selepas kita
memisahkan bursa saham kita daripada bursa saham Singapura pada 1989. Urus
niaga CLOB menyebabkan harga saham kita merosot terus-menerus.
Indeks Komposit kita,
iaitu Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) berada di sekitar 1,200 mata apabila
serangan ke atas ringgit bermula. Bagi mengelakkan kehilangan wang yang
dilaburkan di Malaysia, maka pelabur asing berpusu-pusu keluar dengan menjual
saham milik mereka dan menukar ringgit yang mereka peroleh kepada dolar Amerika
atau mata wang lain.
Penjualan ini
menyebabkan kejatuhan harga saham kita menjadi lebih teruk. Pada satu
peringkat, ia jatuh sehingga di bawah 300 mata. Modal pasaran saham yang
disenaraikan di bursa saham kita tinggal satu perempat sahaja daripada nilai
sebelum krisis.
Kita mendapati bahawa
saham yang diniagakan melalui CLOB telah didaftarkan atas nama
syarikat-syarikat pemegang amanah. Amalan ini sah dari segi undang-undang,
tetapi apabila saham itu dijual dalam lingkungan syarikat pemegang amanah maka
pemilikannya tidak berubah; ia kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah
terbabit. Atas dasar itu maka jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada
Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Yang menjadi masalah
adalah penjualan berterusan saham-saham itu menyebabkan harganya jatuh. BSKL
tidak dapat berbuat apa-apa mengenai kegiatan CLOB. Transaksi saham-saham
Malaysia di CLOB tidak perlu didaftarkan dengan BSKL selagi ia kekal sebagai
urusan atas kertas oleh syarikat pemegang amanah yang sama.
Kita perlu menghentikan
amalan itu dan memutuskan bahawa tidak ada jual-beli akan diiktiraf kecuali
pemilik sebenar mendaftar dengan BSKL. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh
menyebabkan transaksi berkenaan tidak diiktiraf dan saham yang terlibat, dari
segi undang-undang akan dianggap sebagai hak milik penjual.
Sebaik sahaja kita
mengenakan syarat itu, saham-saham tidak mungkin boleh diniagakan lagi di CLOB
tanpa mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada siapa akan membeli kalau saham itu
tidak menjadi milik mereka dari segi undang-undang. Ini memaksa pemilik sebenar
untuk mendaftar urus niaga mereka dengan BSKL sebagai syarat untuk mendapatkan
pengiktirafan.
Tindakan kita itu
berjaya menamatkan peranan syarikat pemegang amanah sebagai orang depan dalam
perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu mendaftar dengan BSKL. CLOB tidak lagi
berperanan menjual-beli saham Malaysia. Ia terpaksa ditutup.
Sementara itu, kita
juga memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika – satu langkah yang
pastinya menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, kita perlu menentukan kadar
tukaran ringgit sebaik sahaja selepas mengarahkan bank agar tidak memindahkan
wang akaun mereka dalam sebarang transaksi.
Kita juga perlu
menyediakan rizab mata wang asing, terutama dolar Amerika yang mencukupi dalam
bank tempatan dan di Bank Negara sekiranya diperlukan oleh pedagang bagi
membayar import mereka. Dan sudah tentulah kita perlu menjamin bekalan ringgit
yang mencukupi di bank untuk ditukarkan dengan mata wang asing pada kadar yang
kita tetapkan.
Kita sentiasa mendesak
agar pendapatan penjualan barangan buatan Malaysia kepada pembeli asing dibawa
balik dan didepositkan di dalam bank Malaysia. Sesetengah negara membangun
seperti Argentina membenarkan pendapatan eksport disimpan di luar negara.
Dalam kes negara
pengeluar minyak Timur Tengah pula, sebahagian mereka tidak pernah membawa
pulang perolehan eksport minyak mereka. sebaliknya, mereka membiarkan
pendapatan eksport minyak mereka yang sering disebut sebagai “petrodollar”,
mengelilingi dunia mencari pelaburan yang paling menguntungkan.
Bagi kita pula, kalau
kita benarkan hal ini berlaku maka ia akan mengakibatkan pengaliran keluar yang
berterusan pendapatan eksport negara. Kalau kita tidak dapat menggunakan
tukaran asing hasil eksport kita, maka kita tidak akan dapat membayar kos import
atau melunaskan hutang.
Kesan daripada amalan
membawa balik pendapatan eksport itu menyebabkan Malaysia sentiasa mempunyai
rizab mata wang asing yang mencukupi untuk digunakan oleh pengimport bagi
membeli barangan dan perkhidmatan asing. Apabila kerajaan menetapkan kadar
tukaran, ia harus menjamin bekalan mata wang asing yang mencukupi untuk
membayar kos import utama pada kadar yang ditetapkan itu.
Kita mungkin boleh
memperkayakan diri kita dengan mengukuhkan ringgit kepada paras sebelum krisis,
iaitu RM2.50 bagi satu dolar Amerika memandangkan pada masa itu ringgit sudah
mula pulih perlahan-lahan. Pada kadar paling rendah, nilai ringgit susut kepada
hampir RM5 bagi setiap dolar Amerika. Ia kemudian berkisar sekitar RM3.80 dan
RM4.
Kalau ringgit terlalu kukuh
pula kerana kita menetapkan kadar tukaran yang amat tinggi maka produk Malaysia
tidak dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa dengan produk yang serupa dari
Thailand, Filipina dan Indonesia. Kita perlu menetapkan kadar tukaran yang
tidak terlalu memiskinkan kita dan pada masa yang sama menjamin persaingan
produk keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar RM3.80 bagi satu dolar
Amerika.
Kita merahsiakan
perkara itu, tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL melaksanakannya. Kerajaan
perlu menyelia pelaksanaan rancangan itu hampir setiap minit.
Apabila kita mula
melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu akan memberi sebarang
kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada keputusan mengenai pendaftaran
wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau terbukti tidak praktikal.
Perlu ditegaskan bahawa
sewaktu kita mengambil keputusan tersebut di dalam MTEN, Anwar masih menjadi
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan
untuk menyekat kegiatan peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.
Dr Noordin Sopiee
tampil dengan lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus melaksanakan semua
rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak bersetuju dengan hujah itu, tetapi
beliau mengemukakannya bagi mencabar pemikiran kita.
Saya terpaksa berhujah
mematikan setiap bantahan yang beliau kemukakan. Ahli MTEN yang lain
menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan sesetengahnya mengatakan bahawa
langkah yang kita cadangkan itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum
ini.
Memang betul ia
berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata wang ringgit. Pasaran
gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan harga yang lebih murah
daripada kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan ekonomi negara mungkin menjunam
dan tidak boleh dikawal lagi.
Kita sama sekali tidak
boleh menjangka apa yang akan terjadi. Bagaimanapun, hujah yang mengatakan kita
tidak patut melakukannya kerana ia belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum
ini mungkin sesuai bagi orang yang penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu
pastinya tidak sesuai bagi seorang yang bertanggungjawab kepada negara dalam
menghadapi saat kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Ada orang membangkitkan
bahawa wujud keadaan di mana penduduk di kebanyakan negara membangun enggan
dibayar dalam mata wang tempatan, sebaliknya mereka mendesak agar dibayar
dengan dolar Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak sebagai bayaran. Jika ini
berlaku maka nilainya tidak lebih tinggi daripada harga kertas yang diguna
untuk mencetaknya.
Saya mendapat tahu
kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu beberapa orang Menteri
Besar supaya menghalang saya daripada meneruskan langkah yang dirancang.
Malangnya, mereka tidak bersedia untuk berdepan dengan saya bagi berbahas mengenai
perdagangan mata wang dan CLOB kerana mereka tidak memahaminya.
Malah, pemahaman mereka
juga sangat kurang mengenai betapa kompleksnya langkah yang sedang kami rancang
dan risikonya. Kalau pun ada antara mereka mempunyai keraguan yang berasas,
mereka tidak berkebolehan untuk menyatakan pandangan mereka.
Keadaan itu memberikan
kelebihan kepada saya. Saya berasa lega dengan keputusan yang diambil, tetapi
itu bukan bermakna saya tidak bimbang dengan kemungkinan rancangan kita akan
membawa bencana kepada negara.
Saya berasa gerun
mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta
bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.
Strategi kita tidak
syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan oleh pengkritik
ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan konvensional dan
kalau ekonomi kita runtuh akibat daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang
akan menolong kita. Saya sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban –
sesuatu yang amat saya takuti.
Bagaimanapun, saya
lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita
sendiri seperti kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada IMF. Saya amat
tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh bersebelahan
Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin Indonesia itu menandatangani
perjanjian dengan IMF.
Camdessus kelihatan
begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto melepaskan kawalan ke atas
ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara itu – kedaulatan yang
diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang Belanda pada 1940-an.
Saya tentunya tidak
mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar
tidak menyerah kepada IMF.
Menteri Kewangan
Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan Anwar yang
mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar tidak
menurunkan tandatangan.
Saya diberitahu bahawa
menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh tidur. Seramai
kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh.
Nilainya merudum daripada 2,000 bagi setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.
Rusuhan tercetus di ibu
negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh. Rakyat peribumi
Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia. Mereka tidak
menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak yang
bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.
Apabila IMF mengambil
alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang mereka paksakan terhadap
Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan minyak telah memburukkan
lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan berlaku.
Thailand dan Filipina
yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan
berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.
Saya tidak sedikit pun
yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas
negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk
melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan
langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.
Anwar mahu melihat
lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil
boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi,
beliau mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus
mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di
dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita
mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.
Saya berazam untuk
meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah dipersetujui. Kemudian
pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu yang Gabenor Bank
Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar
surat peletakan jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan
langkah yang telah diputuskan.
Saya meminta pegawai
ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui saya. Pada masa itu,
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi
hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang serta kawalan tukaran
asing .(3)
Saya kenal beliau,
tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari Gabenor baru, jadi
saya serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor. Beliau datang ke
kediaman saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa
yang harus beliau lakukan.
Mujurlah beliau seorang
yang berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama. Menurutnya, beliau akan
menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan besar wang yang terbabit
dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan
pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.
Pada 1 September 1998,
Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata wang dan ikatan ringgit
kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa: “Kita perlu bertindak
bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah gagal mengemukakan
sebarang penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global.
Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara
bertindak sendirian.”
Zeti yang kemudiannya
dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai MTEN. Beliau memberi
maklum balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan pergerakan ringgit.
Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa
kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.
Antara perkembangan
lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran gelap mata wang
ringgit. Kita memantau harga barang bagi memastikan tidak ada pihak cuba
membuat keuntungan berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang keperluan
utama adalah mencukupi.
Mesyuarat harian MTEN
diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua tukaran asing yang
mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah kekurangan mata
wang asing untuk dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar
Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu
tegas sekali dan ini terbukti baik bagi pengimport serta pengeksport.
Kalangan ahli
perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali mereka
menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan jaminan
bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi stabil
semula. Mereka kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu
membabitkan diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung
mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Tindakan mensyaratkan
pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan penjualan saham Malaysia
yang dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah membantu menyekat
kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang
jatuh di bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.
Jumlah hutang lapuk
turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan semula kepada enam bulan
dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Sewaktu krisis, kita
memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang tercetus.
Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan kempen
pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan
dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.
Bagi menggerakkan
semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina 40,000 unit
pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan jualan runcit
tidak berkembang mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita menyediakan tempat
pameran untuk peruncit dan di mana perlu, kita membantu mereka merundingkan
bekalan pada harga yang lebih murah.
Di samping itu, kita
meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan kontena di
pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran kenderaan
baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi ekonomi dan
sering mencari jalan untuk merangsangnya.
MTEN memberi perhatian
utama kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd
dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan
untuk menangani masalah hutang lapuk serta permodalan semula bank.
Kita tidak membenarkan
penjualan serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB kerana ini akan
menyebabkan kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga perlu mendaftar
terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas
untuk membeli saham berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali
menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.
Pada mulanya, pemilik
saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan
harga saham naik 200 peratus sewaktu syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula
membeli saham-saham CLOB.
Jadi, mereka terselamat
daripada mengalami kerugian besar kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga
menunggu seketika sebelum menjual saham mereka dan memperoleh keuntungan besar.
Syarikat khas berkenaan turut membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik
modalnya yang diberikan dalam usaha menyelamat yang berani.
Dunia mengutuk kawalan
mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak
selari dengan sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan
Malaysia dan dengan gembira menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai
pengemis.
Kita bagaimanapun tidak
gentar. Kita percaya yang kita telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan
negara kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin tidak konvensional,
tetapi berkesan.
Biarlah orang lain
mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih utama adalah
menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan lebih cepat
daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau
kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah
penyelesaian yang sama untuk semua.
Peniaga mata wang
menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui yang cara kita
berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara lain. Pakar
ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong pandangan kita.(4)
Malah, Soros turut
mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak
menyerah kepada IMF.
Dasar yang kita
laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak negara membangun
berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi kita kerana
selain keazaman politik dan kepakaran merangka dasar yang praktikal, kita juga
mempunyai simpanan mata wang asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan
bagi melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan
yang besar hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.
Kejayaan kita menyekat
kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF bukanlah semata-mata
kerana tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya berpaksikan
kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar yang
dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.
Bagaimanapun, krisis
mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita tangani. Sehari
selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar
meletus.
(1) Perwakilan daripada
44 buah negara bertemu tidak lama sebelum Perang Dunia II untuk berbincang
bagaimana memulihkan semula ekonomi dunia.
(2) MTEN ditubuhkan
pada 7 Januari 1998 untuk menasihat kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan
dengan krisis kewangan.
(3) Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz adalah satu-satunya Gabenor wanita Bank Pusat di Asia. Beliau
adalah anak kepada Profesor Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, pakar Ekonomi Melaya
negara yang pertama dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau
juga adalah cucu saudara Datuk Onn Jaafar, Pengasas UMNO.
(4) Buku beliau,
Globalisation and its Discontents mengkritik cara IMF menangani krisis kewangan
Post a Comment