PEMBENTUKAN KUASA YANG PALING BERPENGARUH PADA TAHUN 2015
Perkembangan dunia merupakan satu unsur yang sangat
penting. Ianya perlu diambiltahu oleh semua pihak, terutamanya kaum Melayu yang
seringkali berkecimpung dengan gelumangan-gelumangan politik domestik. Tanpa
mengetahui perkembangan dunia, termasuk juga dengan sejarah, berkemungkinan
besar anda akan mengulangi kesilapan-kesilapan negara-negara lain. Dan pada
hari ini, krisis-krisis geopolitik di Ukraine dan Thailand telah mendapat
perhatian dunia.
Perbincangan tentang Thailand akan dirungkai secara
terperinci dalam artikel yang akan datang, kerana landskap geopolitik Ukraine
merupakan penentu kepada pembentukan kuasa yang paling berpengaruh pada masa
yang akan datang. Kalau berjaya, pemimpin yang beroperasi dari Kremlin akan
menjadi pemimpin yang paling berkuasa di seluruh dunia dan akan menundukkan
Barack Obama seolah-olah Presiden Amerika Syarikat merupakan biji janggus yang
akan diratah dengan mudahnya. Dan perkara ini dijangka akan bermula pada tahun
2015, ketika ekonomi Amerika Syarikat berada dalam keadaan yang nazak.
Orang tersebut, seperti yang ditakuti oleh White
House dan Brussels (Kesatuan Eropah), adalah Vladimir Putin, yang telah berjaya
memalukan Barack Obama dalam isu Syria. Rusuhan Ukraine boleh dikatakan sebagai
usaha Brussels untuk menghalang pembentukan kuasa ini. Rakyat Ukraine berasa
tidak selamat dengan kuasa yang dikatakan berdasarkan sejarah mereka bersama
Kesatuan Soviet: Holodomor dan Tragedi Chernobyl.
Dua minggu selepas mereka menghiasai jalan-jalan
Kiev dengan gerakan-gerakan demonstrasi, peserta pro-Kesatuan Eropah telah
mengangkat panji “rusuhan” dengan laungan “Ukraine adalah Eropah”. Perkara ini
meledak setelah Presiden Viktor Yanukovych, selepas bertemu Presiden Vladimir
Putin secara rahsia, menolak tawaran untuk memasuki Kesatuan Eropah dan
bertindak untuk merapatkan hubungan bersama Rusia pula.
Perkara ini merupakan kejutan yang sangat
menyakitkan untuk Brussels. Pembubaran Kesatuan Soviet merupakan peluang
keemasan untuk penyebaran mereka. Tiga republik telahpun bergerak sebagai ahli
bersama Brussels selepas keruntuhan komunisme. Slovakia dibawah Presiden Ivan
Gasparovic mempunyai satu masalah yang sangat kritikal.
Gerakan-gerakan sosialis di Malaysia telah tertipu
dengan statistik-statistik ekonomi Cuba dan Brazil dalam perjuangan mereka demi
pendidikan percuma. Mereka mengabaikan dana dari Kremlin (ketika Kesatuan
Soviet) dan cukai yang tinggi. Kalau anda menyangka keadaan sosioekonomi di Slovakia
menjanjikan kehidupan yang tenteram, anda telah tertipu dengan
statistik-statistik sedemikian.
Walaupun ekonomi Slovakia yang dikelaskan sebagai
“high-income advanced republic” dengan rakyat yang lebih berkurangan berbanding
Malaysia, rakyat-rakyat sederhana dan miskin telah ditekan dengan jerutan
pengaruh Kesatuan Eropah. Tidak mustahil buat seorang lelaki untuk tinggal
bersama ibu bapa sehingga usia 40-an kemudian baru berkahwin. Wanita-wanita
Slovakia yang sederhana atau miskin semestinya akan menerima pinangan
orang-orang kaya untuk mengelakkan kehidupan dalam jerutan Kesatuan Eropah.
Brussels masih lagi sedang mempengaruhi harga
barangan dan perkhidmatan. Kos sara hidup semakin meningkat selepas Krisis
Ekonomi Zon Eropah. Keadaan kekal kritikal kepada rakyat sederhana dan miskin
oleh kerana “kapitalisme zalim” mereka. Perkara sebegini seringkali diabaikan
oleh aktivis-aktivis tertentu oleh kerana ghairah mereka untuk mencapai negara
maju tanpa menyedari keadaan sosioekonomi.
Apa gunanya pencapaian negara maju kalau harga-harga
barangan terlalu tinggi? Sebab-sebab inilah yang sedang menghantui
pemikir-pemikir Brussels yang sedang bergelut bersama Moscow untuk merampas
republik-republik bekas Soviet dan pada masa yang sama mengelakkan kehilangan republik-republik
sedia ada yang akan menyukai matlamat bersejarah Moscow: “Kesatuan Eurasia”
yang dijangka akan terbentuk pada tahun 2015, meletakkan Vladimir Putin sebagai
penguasa terbesar, selepas Mikhail Gorbachev telah terjatuh melalui kehancuran
geopolitik yang sangat teruk.
Brussels sedang bergerak dengan perbelanjaan yang
banyak untuk mempengaruhi Armenia, Azerbaijan, Belarus, Georgia, Moldova dan
Ukraine, tetapi “torpedo diplomasi” ini dibalas oleh pihak Moscow dengan
pembentukan “Kesatuan Kastam” bersama Belarus dan Kazakhstan, kemudiannya
penubuhan blok ekonomi yang telah mempengaruhi Kyrgyzstan dan Armenia. Moldova
pula telah digegar dengan taktik tekanan diplomasi yang sangat merisaukan.
Yang paling ditakuti Brussels, Moscow kini mempunyai
peluang untuk berkembang tanpa had.
Kesatuan Eurasia sememangnya lebih kebal berbanding
Kesatuan Soviet atau Kesatuan Eropah. Mereka tidak mempunyai kewajiban
penudukan kearah komunisme. Adalah tidak relevan kalau Malaysia menjadi ahli
kepada Soviet atau Brussels oleh kerana peledakkan geopolitik Malaysia yang
mementingkan agama (Soviet) dan juga kedudukan Malaysia sebagai negara bukan
Eropah (Brussels). Tetapi, ianya relevan sekiranya Malaysia menyertai Kesatuan
Eurasia.
Itulah dilema besar kuasa-kuasa kapitalis Brussels,
kerana Moscow sedang berkembang ke Turkey, India dan Syria. Saya berpendapat
Syria akan menyertai kesatuan ini sebagai ahli kepada komponen ekonomi,
politik, penghakiman dan ketenteraan. Jika terbentuk, Vladimir Putin akan
menjadi ketua negara yang paling berpengaruh dalam sejarah, jauh lebih kuat
berbanding mana-mana presiden Amerika Syarikat.
Sebab itulah Viktor Yanukovych telah membelakangkan
Kesatuan Eropah yang hampir berkecai akibat Krisis Kewangan Zon Eropah. Kiev
memang terlalu terikat dengan Moscow dari segi hutang dan bekalan gas asli, dan
jika Kiev membelakangi Moscow untuk Brussels, sudah tentunya kos sara hidup di
Ukraine akan melonjak kepada paras yang tidak mampu dikawal, kerana Moscow
sudah tentu akan mencekik Kiev sehingga Viktor Yanukovych dihalau keluar.
Contoh yang mudah telah membawa Viktor Yanukovych
untuk berpandang ke Moscow adalah sekatan-sekatan ke atas pengimportan
gula-gula, coklat dan kek dari Ukraine atas alasan kesihatan. Belarus, Moldova
dan Lithuania turut dibedil dengan “torpedo ekonomi” yang sama – baja kalium
(Belarus), wain (Moldova) dan produk tenusu (Lithuania). Tetapi Moldova masih
lagi tegas untuk memasuki Kesatuan Eropah sehinggalah Moscow memberi amaran
bahawa mereka akan membatalkan pembekalan gas asli pada musim sejuk dengan
kenyataan dari Dmitri Rogozin: “Kami berharap anda tidak akan beku.”
Tanpa gas asli, Moldova tidak mampu menjana elektrik
untuk kegunaan pemanasan. Anda sendiri mampu berfikir apakah tindakan logik
yang perlu diambil oleh Presiden Nicolae Timofti memandangkan rakyatnya akan
mati kesejukan tanpa elektrik ketika suhu negara mencapai angka negatif?
Brussels memang terlalu marah dengan taktik-taktik tekanan diplomasi Moscow,
dengan kenyataan kononnya ianya tidak adil dan salah disisi undang-undang.
Pengaruh-pengaruh Brussels sedang berusaha
sedaya-upaya untuk menghalang Ukraine, republik yang mempunyai tanah paling
subur, untuk bergerak ke arah Moscow. Keadaan semakin keruh apabila peserta
demonstrasi dan polis mogok telah merempuh antara satu sama lain berhampiran
dengan patung Vladimir Lenin yang ingin dihancurkan.
Walaupun peserta-peserta demonstrasi berusaha,
patung Lenin kekal berdiri: simbolik dengan kejayaan-kejayaan zarah komunisme
yang telah menyatukan sebuah empayar yang sangat besar dan kuasa yang gagah.
Maklumat terbaru daripada Kremlin mengatakan Komanwel
Negara-Negara Merdeka (Commonwealth of Independent States – CIS) sedang
bertukar secara berperingkat kepada Kesatuan Eurasia.
Mampukah Vladimir kedua (Vladimir Putin)
menggabungkan seluruh rantau Asia dalam kesatuan dan hubungan diplomasi? Adakah
kita berada dalam ambang Perang Dingin Kedua ketika ekonomi Amerika Syarikat
dan Eropah berada dalam keadaan yang kritikal?
-- AFDS --
Post a Comment