The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 14 January 2014

KISAH HANG TUAH DAN KANGKUNG



Maka belayarlah Hang Tuah sehingga Bingkam Hainam, sebuah pelabuhan di kerajaan China itu. Di sana, Hang Tuah disambut oleh salah seorang menteri empat Maharaja China yang merupakan shahbandar pelabuhan itu.

Tiba di negara yang baru menjadi satu perkara yang sangat menarik bagi Hang Tuah kerana sifatnya yang ingin tahu membuatkan beliau bersemangat untuk menimba pengalaman baru. Hang Tuah walaupun tahu bahawa beliau adalah wakil Raja dari empayar Keling dan bukan mewakili Melaka tidak sedikitpun memberikan kejanggalan dalam melakukan tugasan tersebut. Malah beliau yakin untuk memperkenalkan dirinya kepada orang-orang besar di sana.

Setelah berjumpa orang itu dan orang ini, maka akhirnya Hang Tuah dibawa ke istana besar Maharaja China. Sebelum sampai ke dewan besar di mana Maharaja akan muncul menerima kunjungan mereka, sempat juga Hang Tuah memberi tahu orang-orangnya bahawa orang China ini banyak adat dan undang-undang, dan adalah baik untuk mereka semua memerhati dan mempelajari tutur cara tersebut.

Sempat juga ketika itu menteri dan pembesar empayar itu memberitahu bahawa adalah menjadi larangan yang amat hebat untuk melihat wajah Maharaja China. Jika sesiapa yang melihat wajah tersebut makanya mereka akan dipancung.

Khairan akan larangan itu, maka tunggulah Hang Tuah dan rombongannya di dalam dewan besar lagi merah itu. Setibanya Maharaja China untuk duduk di atas kerusi gahnya yang kelihatan seperti naga, Hang Tuah kelihatan bahawa menteri-menteri dan sida-sidanya semua sujud dalam baris-barisan tidak berani untuk mendongak ke atas untuk melihat Maharaja mereka yang berada di atas pentas yang mempersonakan itu.

Maharaja China agaknya musykil dan tertanya bagaimanakah agaknya adat orang Keling menjemput Hang Tuah dan rombongannya santap bersamanya pada keesokkan harinya. Hang Tuah mendengar akan pelawaan itu terus berkata bahawa beliau kini hanya makan sayur oleh itu mahukan sayur kangkung. Dan sayur-sayur itu mestilah tidak dipotong. Maharaja China yang hairan itu bersetuju akan permintaan itu. Bagi baginda barangkali ini memang adat orang keling.

Keesokkan harinya tiba. Maka pelbagai makananlah yang dibuat oleh tukang masak istana dan semuanya adalah kangkung-kangkung belaka. Maharaja yang ingin sekali melihat bagaimana orang dari empayar Keling makan menjemput Hang Tuah untuk santap. Maka Hang Tuah teruslah bersila di tengah dewan itu bersama makanan-makanan itu. Diambilnya kangkung itu, didongakkan kepalanya dan dimakannnya sedikit demi sedikit.

Dalam Hang Tuah mendongak kepalanya itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengintai Maharaja itu yang berada di atas kerusi naganya itu. Hulubalang-hulubalang istana itu yang tersedar akan kelakuan Hang Tuah terus menghunus pedang mereka ke kepala Hang Tuah. Maharaja China itu yang tersedar akan kejadian itu terus menghalang hulubalang-hulubalang itu daripada memancung kepala Hang Tuah walaupun dia sedar akan helah Hang Tuah sebenarnya.

Maka Hang Tuah pun teruslah makan sehingga ke pencuci mulutnya. Maharaja itu menitahkan bahawa jarang sekali baginda melihat seorang yang begitu berani dan bijaksana serta berkata alangkah bagusnya orang sebegini ramai di kerajaannya.

Menghargai kebolehan Hang Tuah itu, Maharaja itu pun menghadiahkan jubah keraian bersama barang-barangan kemas untuk menunjukkan bahawa Hang Tuah adalah seseorang yang patut dihormati dan dihargai. Ini juga menyebabkan Maharaja memberi juga hadiah dan juga sepucuk utusan surat yang ditulis sendiri oleh baginda kepada Raja Kisna Rayan untuk menandakan perhubungan kerajaan mereka berdua.

Ini adalah salah satu rombongan yang berjaya bagi Hang Tuah dan terbukti keberanian bukan saja diperlukan dalam medan perang tetapi dalam urusan diplomatik. Lagi sekali Hang Tauh menjadi wirawan yang berjaya. Hang Tuah The Hero.

Kredit: http://akmalsaufi.com/


-HE-

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds