The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 14 January 2014

SEBUAH NEGARA BERSAMA BANGLASIA?



1. Arwah datuk saya sebelah bapa berasal daripada Dhaka, Bangladesh. Arwah berhijrah ke Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an dan berkahwin di sini. Secara tidak langsung, diri saya mempunyai darah kacukan orang Bangladesh yang disebut sebagai Benggali. Namun, kami tidak kenal seorang pun saudara mara di sana.

2. Hujung tahun lalu (2013), bapa saya mengambil keputusan untuk melawat Bangladesh. Katanya mahu ‘menepuk bumi’ Bangladesh bagi mengenangkan tanah kelahiran arwah bapanya. Harapannya begitu besar untuk melihat bumi itu, bukannya untuk melancong suka-suka, tetapi untuk menggamit ingatan kepada asal usul keturunan kami.

3. Penerbangan ke Dhaka ditunda beberapa jam dari jadual asal. Mungkin ada hikmahnya kerana apabila sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Jalal, baru sahaja selesai suasana tegang di luar kawasan lapangan terbang. Demostrasi menjadi-jadi di Bangladesh kerana musim Pilihanraya semakin hampir.

4. Menurut bapa saya, Bangladesh bukanlah sebuah negara pelancongan. Tidak banyak yang boleh dilawati di sana. Kakitangan lapangan terbang pun tidak tahu berbahasa Inggeris dan ini sedikit menyukarkan perhubungan pelancong yang hadir ke sana. Setiap hari rakyat mereka berdemontrasi kerana tidak mempunyai kestabilan politik.

5. Kerajaan yang sedia ada cuba dijatuhkan oleh parti pembangkang melalui kekerasan dan rapat umum. Apabila parti pembangkang pula mengambil alih kerajaan, parti pemerintah yang dijatuhkan pula cuba menjatuhkan parti pemerintah dengan cara yang sama. Rakyat akan terus tidak bekerja, ekonomi jatuh tidak berkembang, dan menuntut rakyat berhijrah ke negara lain untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Anda fikirkan, Jurutera di sana hanya bekerja dalam bidang pelancongan, itu pun mungkin kerana tahu berbahasa Inggeris. Berapalah gaji mereka.

6. Salah satu negara tumpuan rakyat Bangladesh adalah MALAYSIA. Negara Malaysia negara bertuah dan kaya. Ketika ini, kira-kira 1.4 juta pendatang asing menetap dan bekerja di negara kita. Ini bermakna, secara tidak langsung wang rakyat Malaysia yang dibelanjakan dari perbendaharaan negara juga dinikmati oleh golongan pendatang asing.

7. Bukti terbaik pendatang asing menikmati hasil negara adalah melalui SUBSIDI. Jika kita rakyat yang mengambil tahu, kebanyakan barangan keperluan kita ditanggung subsidi oleh kerajaan. Ini termasuklah beras gred 15% hancur, petrol, minyak masak, gas memasak (subsidi terbesar), dan banyak lagi keperluan-keperluan lain yang kita tidak sedar ditanggung kerajaan.

8. Bayangkan jika setiap seorang pendatang asing menikmati RM1/seorang, negara kita sudah mengalami ketirisan sebanyak RM1.4JUTA/SEHARI yang mengalir kepada golongan yang tidak berhak menerimannya (bukan rakyat Malaysia).

9. Pemberian subsidi yang tidak terkawal bakal merencatkan perkembangan ekonomi negara. Tugas kerajaan adalah untuk mengawal kadar harga barangan keperluan yang tidak terlalu membebankan pengguna, tidak merugikan penjual dan kerajaan pula tidak menampung jumlah subsidi yang begitu besar.

10. Pendapat saya, oleh kerana tidak mahu wang rakyat tertiris kepada “Bukan Rakyat Malaysia” maka penarikan subsidi dilaksanakan dan pemberian BR1M diagihkan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan. Ramai yang tidak bersetuju dengan pemberian BR1M ini yang dikatakan sebagai ‘memberi ikan’ dan bukannya ‘memberi pancing’ kepada rakyat untuk berdikari, namun saya berpendapat ia adalah satu PELAN JANGKA PENDEK DAN SEDERHANA bagi menampung bebanan rakyat menangani isu kenaikan sara hidup. Jangan selama-lamanya diberikan BR1M kepada mereka.

11. Saya berharap penerima BR1M dapat menggunakan wang tersebut untuk benar-benar membelanjakan dalam erti kata menampung kos yang naik akibat program rasionalisasi subsidi dan bukannya dengan membeli telefon bimbit yang baharu. Kita harus belajar bagaimana menggunakan ‘pancing’ (pekerjaan) untuk menangkap ikan (pendapatan), kerana kita khuatir apabila pancing sudah diberi, ikan tak dapat dikail. Akhirnya pancing dijual, ikan tak dapat. Siapakah yang harus dipersalahkan lagi?

WAJARKAH PENDATANG ASING DIHANTAR PULANG?

12. Negara Malaysia sedang menuju ke arah negara maju 2020. Maka banyak projek yang sedang pesat dibangunkan. Sangat jarang kita lihat anak muda kita bekerja membancuh simen dan mengemop lantai. Kita memerlukan ramai buruh binaan, pekerja ladang dan pekerja pembersihan yang jarang orang tempatan mahu lakukan.

13. Kehadiran pendatang asing amat diperlukan, tetapi jumlahnya harus dikawal. Negara kita mengalami masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak dapat dihantar pulang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan seramai 300 ribu orang PATI tidak dapat dihantar pulang ke negara asal kerana tidak menerima mereka disebabkan dokumen pengenalan diri yang tidak lengkap? Dari mana mereka ini datang jika negara asal tidak menerimanya? Adakah kita pula perlu menanggung makan minum mereka? Kerajaan terpaksa menanggung RM500,000 sehari untuk mereka, tidakkah kita berasa rugi?

14. Saya agak khuatir dengan perkembangan ini. Sedangkan jumlah pendatang asing yang sedia ada tidak mahu pulang inikan pula mahu dibawa masuk lagi? Cukup-cukuplah.

BUKTI NEGARA KITA MAKMUR

15. Rakyat Malaysia dipandang tinggi di Bangladesh kerana Malaysia cukup terkenal sebagai sebuah negara yang LEBIH aman daripada negara mereka. Bapa saya cukup bersyukur menetap di Malaysia dan berasa sedih dengan keadaan yang berlaku di negara asal arwah bapanya yang setiap hari berbunuhan dan rakyatnya terpaksa berhijrah. Walaupun kita susah tinggal di Malaysia, sekurang-kurangnya kita tidak perlu berhijrah beramai-ramai untuk mendapatkan sesuap nasi.

16. Jagalah negara kita sebaiknya, usah mencontohi negara lain yang mundur akibat peperangan. Walaupun ramai rakyat Bangladesh di Malaysia, jangan jadikan negara kita negara BANGLASIA! Kerana kita adalah wira Malaysia.

SUMBER BERITA : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140105/dn_04/300,000-enggan-diterima-negara-asal


JAMAL RAFAIE

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds