The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

JOSEPH STALIN, ADOLF HITLER, RED ARMY DAN PERANG DUNIA KEDUA



Selepas Revolusi Besar pada bulan Oktober, Empayar Rusia yang telah ditumbangkan melalui usaha-usaha Vladimir Lenin telah terjunam ke kancah perang saudara antara Kerajaan Sosialis Rusia dan Gerakan Panji Putih (White Army). Vladimir Lenin, sebagai Pengerusi Majlis Komisar (Perdana Menteri), telah membuat keputusan bahawa Tentera Diraja Rusia yang lama perlu diubah untuk menjadi bahan kepada Parti Komunis.

Seperti yang diceritakan dalam artikel “Kepimpinan Rakyat – Komunisme: Ideologi Yang Terbaik”, komunisme merupakan sebuah gagasan idea yang dibentuk oleh Karl Marx berdasarkan keadaan dunia pada ketika itu dimana golongan kelas bawahan sedang bermati-matian untuk hidup. Hukum-hukum Komunisme telah disusun oleh Karl Marx dalam tiga fasa untuk mencapai garisan penamat, iaitu Alam Utopia dalam bukunya, Manifest der Kommunistischen Partei (Manifesto Parti Komunis):

• Fasa 1: sebuah revolusi mesti dibuat untuk menghancurkan kerajaan sedia ada sehingga segala sistem-sistemnya telah tiada;

• Fasa 2: seorang diktator atau ketua elit mesti menguasai golongan proletariat (pekerja) secara mutlak. Dalam fasa ini, penguasaan kerajaan baru ke atas rakyat biasa semestinya secara total – pendidikan, agama, pekerjaan dan juga perkahwinan akan ditentukan oleh pemimpin. Dengan kata mudah, pemimpin ini merupakan tuhan kepada masyarakat tersebut;

• Fasa 3: Pencapaian utopia. Untuk mencapai fasa ini, semua golongan yang bukan komunis perlu dihapuskan, dan Parti Komunis yang memegang kepimpinan secara mutlak. Fasa ini tidak pernah dicapai.

Apabila keputusan demiliterisasi telah dimandatkan, gerakan yang terbentuk dengan segeranya adalah Tentera Merah Pekerja dan Petani (Red Army), yang diketuai oleh Leon Trotsky, sebagai Komisar (Menteri) Peperangan, pada tahun 1918. Red Army merupakan gerakan utama yang digunakan oleh Kerajaan Soviet untuk menghapuskan White Army.

Mereka berpegang kepada sumpah: sosialisme antarabangsa, yang dinukilkan dalam hukum-hukum Karl Marx.

Dasar-dasar Leon Trotsky adalah untuk membawa tentera-tentera dalam Angkatan Tentera Diraja Rusia yang telah runtuh atas alasan pengalaman mereka yang banyak. Tetapi dasar ini tidak membawa kejayaan ketika Perang Saudara, sehinggalah Vladimir Lenin perlu mengimplementasikan sebuah dasar yang mewajibkan rakyat-rakyat berusia 21 tahun untuk memasuki Red Army dengan propaganda ‘holy duty’.

Pada penghujung Perang Saudara tersebut, ketenteraan Red Army berjaya mencapai angka 5 juta, dimana 88% daripadanya telah dikeluarkan dan selebihnya dibentuk sebuah ketenteraan yang sah. Kemenangan Perang Saudara ini telah membentuk Kesatuan Republik-Republik Sosialis Soviet, sebuah gagasan ketiga terbesar dalam sejarah, dibelakang Empayar Mongol dan Empayar British.

Apabila Adolf Hitler mendapat tampuk pemerintahan pada tahun 1933, kerajaan Soviet telah membaut keputusan untuk memperbesarkan saiz Red Army sebagai persediaan protokol. Dan saiznya pada 600,000 angka dibawah Vladimir Lenin digandakan ke 1,300,000 angka. Kesatuan Soviet mempunyai 10,000 kereta-kereta kebal dan 5,000 kapal terbang peperangan.

Joseph Stalin, yang mendapat tampuk Ketua Setiausaha pada tahun 1922 dan mengeksploitasi kuasa pada tahun 1941, telah melancarkan sebuah pembersihan dalam Red Army hanya atas suara-suara yang mengatakan kewujudan beberapa unit ketenteraan yang mahu menumbangkannya. Lebih daripada 30,000 tentera-tentera Red Army telah dibunuh, separuh daripadanya berpangkatkan pegawai.

Sumpah mereka telah diubah daripada sosialisme antarabangsa kepada penjagaan dan pemeliharaan Kesatuan Republik-Republik Sosialis Soviet. Komisar-komisar politik juga telah disekat untuk mengukuhkan ketaatan kepada Joseph Stalin. Ketika peledakkan Perang Dunia Kedua pada tahun 1939, Red Army mempunyai bilangan ketenteraan yang besar, berjaya mencapai angka 1.8juta.

Pada November, 1939, Finland telah dicerebohi, tetapi Angkatan Ketenteraan Finland telah berjaya menghalang kemaraan Soviet. Ini juga berlaku akibat kekurangan perancangan dalam sistem Soviet dibawah arahan Kliment Voroshilov. Tetapi beberapa bulan kemudian, ketenteraan Red Army, kini dibawah arahan Kiril Meretsokov dan Semyon Timoshenko, berjaya menembusi pertahanan Finland, memaksa republik tersebut mendrafkan keamanan dengan pemberian beberapa wilayah kepada Kesatuan Soviet.

Kerugian besar dalam peperangan ini telah meragut 200,000 nyawa, menumbangkan 700 kapal-kapal terbang, dan menghancurkan 1,600 kereta-kereta kebal. Joseph Stalin terus berpendapat bahawa Red Army tidak mampu menang apa-apa peperangan besar yang menyusul. Jadi, beliau memastikan Kesatuan Soviet mengambil setiap langkah yang perlu untuk mengelak sebuah peperangan dengan Jerman selama mana yang mungkin.

Tetapi di Berlin pula, Adolf Hitler mempunyai pendapat yang sejajar dengan Joseph Stalin. Beliau membuat kesimpulan bahawa Tentera Jerman mampu menewaskan Red Army dengan mudahnya kalau berlakunya peperangan, berdasarkan kerugian ketika peperangan dengan Finland tersebut. Joseph Stalin mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memperbesarkan Red Army sehingga angka 3 juta.

Lebih daripada setengah daripadanya telah ditempatkan menghala ke arah Jerman. Red Army juga mempunyai dua unit kereta kebal yang mempunyai rekabentuk kalis peluru (peluru kereta kebal). Besi-besinya di bahagian kelemahan kereta kebal biasa telah dikimpal, bukannya dipaku.

Pada Jun ke-21, 1941, seorang sarjan Jerman telah membelot kepada angkatan Soviet, dan memberitahu bahawa serangan akan bermula pada subuh keesokan harinya. Tetapi Joseph Stalin tidak mempercayai cerita ini, berpendapat bahawa ini merupakan strategi memandangkan tentera Jerman kini dipandang lebih kuat dan bersemangat. Tetapi lebih kurang setahun selepas serangan tersebut, barulah Joseph Stalin menerima kenyataan bahawa beliau tidak mampu mengelakkan lagi apa-apa peperangan dengan Adolf Hitler.

Angkatan Jerman yang dibentuk dengan tiga juta tentera juga dan 3,400 kereta kebal bergerak dalam tiga kumpulan (Leningrad (kini Saint Petersburg), Moscow dan Ukraine). Tidak sampai seminggu, Jerman telah menguasai Minsk (Belarus), dan jeneral-jeneral yang mengetuai unit-unit Soviet telah dipanggil balik ke Moscow… untuk ditembak, kerana kegagalan.

Joseph Stalin menggunakan pembunuhan jeneral-jeneral ini sebagai suntikan semangat untuk Red Army bahawa beliau akan melakukan perkara yang sama kepada setiap komander unit yang beliau percaya telah menghampakan Kesatuan Soviet.

Suntikan ini telah membuatkan komander-komander Red Army untuk mengelak pengunduran atau serah kalah. Tindakan ini juga telah mengorbankan ramai nyawa kerana mereka takut untuk bergerak ke hadapan (akan dibunuh Adolf Hitler) atau berundur ke belakang (akan dibunuh Joseph Stalin).

Joseph Stalin telah meluluskan sebuah lagi akta yang mewajibkan rakyat untuk memasuki ketenteraan Soviet. Pengerahan ini telah membawa semua rakyat berusia 18-51 tahun, kecuali yang terlibat dalam sektor-sektor industri, untuk dimasukkan dalam Red Army dan yang mempunyai pendidikan sekunder dan tinggi.

Beberapa bulan pertama dalam peperangan ini memang membadai Kesatuan Soviet dengan teruknya. Leningrad dan Ukraine telah dikuasai oleh Jerman. Musuh masih lagi bergerak ke arah Moscow.

Di Ukraine, Georgy Zhukov, salah seorang orang kanan Joseph Stalin, telah mencadangkan untuk mengundurkan tentera-tentera yang sedang mempertahankan Kiev, untuk membentuk gagasan baru yang lebih kuat di bahagian Timur Ukraine. Tetapi Joseph Stalin menolak cadangan tersebut, menyebabkan mangsa terkorban di pertempuran tersebut mencecah angka yang paling teruk dalam sejarah Red Army.

Pihak Jerman sekaligus menguasai Kiev, tetapi kejayaan ini telah menunda serangan ke Moscow, dan inilah merupakan titik permulaan yang akan memihak kepada Kesatuan Soviet. Musim salji sedang tiba. Dan tiada negara boleh menang apa-apa peperangan di tanah Rusia ketika musim salji.

Joseph Stalin telah meluluskan dasar ‘scorched earth’ bahawa kalau perlu berundur, Red Army perlu musnahkan apa sahaja yang boleh digunakan oleh Jerman. Unit-unit gerila pula melancarkan serangan kepada unit-unit Jerman yang sedang menghantar makanan dan peluru kepada tentera utama Jerman yang sedang mara.

Tetapi pada bulan Oktober, 1941, keburukan bermula buat Joseph Stalin apabila jauh di Berlin, Adolf Hitler tersenyum kerana tentera-tenteranya sudahpun berkumpul di Wilayah Moscow. Dua juta rakyat Moscow telah melarikan diri ke Timur, tetapi Joseph Stalin tekad mengarahkan ketenteraannya di dalam Kremlin. Ini merupakan strategi pengutuhan moral kepada Red Army.

Dan pada November, 1941, tentera-tentera Jerman telah melancarkan serangan utama ke Moscow. Tentera Soviet pula berjaya menghalang kemaraan mereka, dan apabila tentera Jerman telah terhenti, Joseph Stalin telah melancarkan sebuah serangan balas, menghalau tentera-tentera Jerman yang lemah semangat akibat kegagalan demi kegagalan dari Mscow. Pada bulan Januari, tentera-tentera Jerman telah berundur sejauh 300 kilometer.

Idea Joseph Stalin adalah mudah: serang musuh pada setiap masa. Beliau sentiasa menggunakan unit-unit yang segar untuk mengetuai apa-apa serangan. Dan pada masa inilah, beliau mengeksploitasi kedudukan politik beliau untuk membalas kepada Eropah bahawa mereka telah ditewaskan akibat ketakutan mereka sendiri. Kejayaan beliau telah membuktikan bahawa angkatan-angkatan Jerman sebenarnya tidak kebal.

Dasar-dasar Blitzkrieg yang digunakan Jerman telah dibuktikan bahawa mampu dihalang. Dengan serangan-serangan dari Amerika Syarikat dan Britain, Kesatuan Soviet berjaya membina semula Red Army. Unit korp yang mempunyai ketenteraan kereta kebal yang besar telah digantikan dengan briged-briged yang mempunyai kereta kebal sebanyak 90 sahaja. Unit baru ini dibentuk supaya mampu menyerang bersamaan dengan serangan-serangan “brute force” unit-unit infantry.

Pada Julai 1943, Red Army telah menyerang dan menewaskan tentera Jerman di Kursk (Rusia). Kejayaan ini diteruskan lagi dengan kemaraan yang terkawal, dan diteruskan dengan rancaknya apabila tentera-tentera Bersekutu telah berjaya mendarat di Normandy (Perancis) pada Jun 1944.

Serangan besar-besaran ke Berlin telah meledakkan kerisauan dalam kepimpinan Jerman. Adolf Hitler telah membunuh diri apabila tentera Red Army sedang berkumpul di Berlin. Dan akhirnya, komander yang mengetuai Jerman di Berlin telah menyerah kalah, dan Reichstag (bangunan parlimen Jerman) telah dikuasai oleh tentera Red Army, dengan perkara bersejarah telah berlaku apabila panji merah tukul dan sabit telah dikibarkan oleh Abdulhakim Ismailov di bumbung Reichstag sendiri.

Seramai 12.5juta orang berperang demi Red Army. Angka kematian sebenar tidak diketahui, tetapi selepas perjanjian keamanan telah ditandatangani, kerajaan Soviet membuat pengumuman bahawa lebih daripada 20 juta rakyat Soviet telah terbunuh.

Berlin telah dipegang oleh Jerman Timur sehinggalah keruntuhan Blok Komunis yang telah menggabungkan kedua-dua bahagian Jerman menjadi Republik Persekutuan Jerman (Federal Republic of Germany).

Pada tahun 1991, Kesatuan Republik-Republik Sosialis Soviet telah runtuh, melahirkan berbagai jenis negara seperti, Persekutuan Rusia, Republik Kazakhstan, Republik Uzbekistan dan sebagainya.

Vladimir Putin dan presiden-presiden Belarus, Kazakhstan, Armenia, Kyrgyzstan dan Tajikistan kini sedang mengusahakan sebuah kesatuan politik dan ekonomi, bernama Kesatuan Eurasia, yang dikritik oleh Hilary Clinton bahawa ianya merupakan usaha untuk membentuk semula Kesatuan Soviet.

Kerjasama dengan: Legasi Tun Dr Mahathir Mohammad


-- AFDS ---

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds