WAHAI ANAK MUDA MELAYU, BANGUNLAH ! JANGAN LAYU LAGI !
Dewasa ini, semakin ramai anak muda kita telah
melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak kira di dalam atau di luar
negara. Hal ini merupakan perkembangan yang positif kerana graduan-graduan ini
bakal meneraju negara pada masa hadapan. Golongan inilah yang wajar dilatih
dengan semua kemahiran yang diperlukan.
BERKUALITIKAH
Namun adakah ilmu yang diperoleh berjaya melahirkan
modal insan yang berkualiti ?
Saya yakin, ramai anak muda di luar sana masih
tercari-cari peluang pekerjaan. Setiap hari, kalian berusaha untuk mendapatkan
pekerjaan memandangkan hutang PTPTN yang masih belum dibayar, keinginan
berbelanja seperti rakan-rakan lain yang sudah memperoleh pekerjaan, juga mahu
menempuh alam perkahwinan. Teruskan usaha, rezeki dari Allah. Dengan syarat,
kita kena dan perlu berusaha sehabis baik.
Berbalik kepada topik di atas, ada sesetengah anak
muda tidak mahu mengambil inisiatif bekerja di dalam sektor swasta. Ya, peluang
yang dijanjikan tidak seindah seperti dalam bidang sektor awam.
REBUTLAH
Namun, rebutlah peluang wahai anak muda. Banyak
kebaikan yang bakal diperoleh. Kemahiran anda bakal teruji apabila menggunakan
sistem yang disediakan oleh pihak majikan anda. Kecekapan anda mengendalikan
sesuatu masalah yang muncul sebenarnya menguji anda untuk berfikir secara
kritis dan kreatif. Kemahiran berbahasa Inggeris juga teruji apabila anda
berkomunikasi dengan pembekal anda, pelanggan anda dan kawan-kawan sekerja
anda. Sementelahan lagi, jika anda berurusan dengan pelanggan dari luar negara,
sudah tentunya anda lebih bijak dalam menilai sifat-sifat mereka mengikut
bangsa, perbezaan waktu bekerja (time-frame), komitmen terhadap perjanjian yang
telah dimerterai, kadar tukaran wang, dan seumpamanya yang bersifat global.
Apa yang anda belajar suatu ketika dahulu, hanyalah
asas kepada setiap perkara. Realitinya, bagaimana anda berhadapan dengan semua
cabaran ketika bekerja, itulah sebenarnya isi paling utama atau mantel atau
teras kepada peningkatan kemahiran atau skil anda.
Jadi, jangan malu, teruskan berusaha, gapai
kegemilangan. Capai kejayaan yang diingini. Semua orang berhak untuk berjaya.
Sekian.
-AH-
Post a Comment