The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 14 January 2014

SIAPA DATO SAGOR



i. Pengenalan

Pengaruh nama Dato’ Sagor usah diragui. Bukan sahaja amat terkenal di Perak, negeri di mana dia menumpahkan taat setia dan berjuang menentang penjajah, namun seluruh negara mengetahui siapa Dato’ Sagor.

Sebagai ikon pencetus kebangkitan penentangan terhadap British bersama Dato’ Maharaja Lela dan beberapa lagi individu lain seperti Pandak Endut, Sipuntum dan lain-lain, nama Dato’ Sagor terus mekar hingga ke hari ini.

Namun banyak lagi sisi lain mengenai Dato’ Sagor, selain peristiwa pembunuhan Residen Pertama British, JWW Birch, seperti cubaan British menghapuskan legasinya, tidak diketahui masyarakat, khususnya generasi muda.

Walaupun hidupnya banyak dihabiskan di Kampung Teluk, daerah Kampung Gajah, Perak, namun empunya diri atau nama sebenarnya Ngah Kamdin, dikatakan pernah merantau ke Pahang, Selangor, sebelum ke Kampung Gajah dan seterusnya membina kekayaan di Larut bersama Ngah Ibrahim.

Kehidupan di Larut membawa dia dekat kepada Sultan Perak. Adalah dipercayai Ngah Ibrahim mendapat gelaran sebagai Tengku Orang Kaya Paduka Tuan sebagai Orang Besar Empat, Ngah Kamdin, dikurniakan Gelaran Dato’ Seri Agar Diraja.

Selepas mendapat gelaran tersebut, Dato’ Sagor pulang ke Kampung Gajah untuk menjalankan pentadbiran di sekitar kawasan itu hingga Pulau Tiga.

Dato’ Sagor meninggal dunia pada 20 Januari 1877 selepas dihukum hgantung kerana terlibat dalam pakatan membunuh JWW Birch.

ii. Sekilas Biodata

* Salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak

* Gelaran penuh ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja

* Nama sebenarnya : Ngah Kamdin, keturunan Bugis yang berdarjat Daeng

* Isteri : Toh Lipat

* Ngah Kamdin adalah bapa saudara kepada Menteri Ngah Ibrahim

* Dilahirkan di Kampung Gajah dan berhijrah ke Larut untuk mengusahakan perlombongan bijih timah bersama Ngah Ibrahim

* Dikurnia gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja oleh Sultan Jaafar (Sultan Perak ke-23)

* Mengikut Perlembagaan Perak, Dato’ Sagor memerintah wiIayah tebing Sungai Perak dari Kampung Gajah ke Pulau Tiga.

* Kuasanya ialah mengawal hal ehwal istana, pembinaan istana dan kapal-kapal yang dinaiki oleh Sultan

* Bebas membawa masuk dan keluar hasil tanpa cukai

* Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela mengetuai misi membunuh JWW Birch di Pasir Salak pada tahun 1875.

* Dato’ Sagor dan Dato’ Maharaja Lela, pembesar yang sentiasa hadir dalam setiap mesyuarat berkaitan rancangan membunuh JWW Birch.

* Dato’ Sagor dihukum gantung sampai mati bersama Dato’ Maharaja Lela dan Pandak Endut di Matang pada 20 Januari 1877

* Selepas kematian Dato’ Sagor, gelaran tersebut dihapuskan dan digantikan dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya Diraja tetapi ia hanya gelaran yang tidak membawa kepada penguasaaan wilayah seperti pernah dikuasai Dato’ Sagor.

* Gelaran itu hanya bermula pada 1898 iaitu 23 tahun selepas Dato’ Sagor dihukum bunuh oleh British pada 1877

* Gelaran Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja atau Dato Sagor telah dihidupkan kembali oleh Sultan Perak dan Dewan Negara Perak pada 11 Jun 1987 selepas 110 tahun gelaran itu dihapuskan

* Gelaran tersebut disandang oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga keturunan Dato’ Sagor.

Petikan : Utusan Malaysia, Laporan Khas, muka 23, 21 Disember 2013.

Ikuti sambungan rentetan Dato’ Sagor dihukum bunuh. Adakah benar beliau tidak mati dihukum gantung ?

-AH-

[Segmen Malaysian Heroes]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds