The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 14 January 2014

RINGKASAN DR REM



i
Saya mena’akul pelbagai peristiwa negara sepanjang 2013, menerusi refleksi personal yang sangat dalam, hingga menyusup ke tulang sum-sum dan hulu hati. Kesimpulan yang saya kutip: bahawa 90% kemurungan polemik negara berpunca dari sikap rakyat yang enggan berubah.

Para politikus yang sedikit bebal, dari kedua-dua entiti: kerajaan mahupun pembangkang – sebenarnya hanya menyumbang 10% daripada musibah itu. Maka, saya bercadang mau ubah strategi sempena tahun baharu 2014. Saya akan beri lebih fokus kepada permasalahan yang 90% itu; dan memberi hak eksklusif kepada macai dan pencacai tegar untuk menangani yang 10% lagi.

Untuk makluman, MACAI adalah gelar yang dicipta oleh facist PR untuk fanatik totok BN. Manakala PENCACAI diberi oleh extremist BN kepada cuavanis PR. Kedua-dua macai dan pencacai berkongsi satu persona gemilang. Mereka mampu mencacai berhala politik masing-masing secara istiqomah, tanpa peduli siang dan malam. Tidak pernah mengenal lelah dan putus asa.

ii
Masalah rakyat pertama yang saya mau tangani adalah salah-tanggap terhadap Sabah. Isu ini amat signfikan bukan sebab ini negeri kelahiran saya. Tetapi sebab salah-tanggap itu menghalang ramai manusia yang layak daripada menikmati katarsis jiwa paling ulung di negeri yang kaya estetik ini.

Selepas Mekah dan Madinah (bagi yang beragama Islam; atau kota-kota suci yang berkenaan bagi penganut agama lain) – Sabah sepatutnya dijadikan destinasi yang wajib dikunjungi sebelum mati. Mari saya jelaskan kenapa Sabah adalah ciptaan Tuhan yang begitu eksotik dan ikonik. Ini bukan sekadar kata-kata manis berhiperbola. Bukti sains empirikal akan disertakan.

Dari segi letakan, Sabah adalah satu-satunya wilayah di dunia yang diapit dengan intim, tetapi tidak sempat digoda, oleh dua bencana alam paling berbahaya. Hanya beberapa darjah garislintang di utara, mengunjur belitan taufan tropika yang ganas. Beberapa darjah di selatan pula, terbentang lingkaran api Pasifik yang membinasa.

iii
Sebab itu Sabah digelar ‘Negeri di Bawah Bayu’ (Keith, 1939) kerana ia berada ‘di bawah dari angin ekstrim’, iaitu laluan siklon yang selalu melanda kepulauan Filipina. Ia juga layak dinobat sebagai ‘Negeri di Atas Api’ (Dambul, 2010) kerana ia berada ‘di atas dari lintasan gunung berapi dan gempa’, yang ditaburkan sekitar kepulauan maritim Indonesia.

Can you imagine how exotic is that? Sabah is literally flirting with two of the most dangerous natural disasters in the world – from the atmospheric (climatology) and lithospheric (geology) systems.

Menjejak kaki di Sabah saja pun, tanpa membuat apa-apa, sudah jadi satu pencapaian yang agung. Di mana lagi di dunia fana ini – kita boleh berdiri atas tanah ciptaan Tuhan dan berkata: “Oh, bumi ini sungguh bertuah dan dirahmati!”

iv
Bukan itu saja keistimewaan Sabah. Ada enam pulau di dunia yang dikelaskan dalam gugusan pertama (melebihi 250 km persegi). Greenland, New Guinea, Borneo, Madagascar, Baffin dan Sumatera. Sungguhpun ranking Borneo dari segi saiz jatuh di tempat ketiga, ia merupakan pulau terkaya dari segi biocultural diversity.

Di Malaysia, Sabah adalah negeri yang paling rencam etnik: 32 rumpun yang diiktiraf, yang setiap satunya unik dari segi bahasa dan sosio-budaya. Ada 800 spesies orkid liar (bukan modifikasi artifisial genetik!), antara yang terkaya di dunia. Koleksi pakisnya ada 600, iaitu 100 spesies lebih banyak daripada yang ditemui seluruh benua Afrika. Dan, 50 daripada spesies pakis ini endemik kepada Sabah. Maksudnya, tidak boleh ditemui di mana-mana pun di tempat lain. Not even in Sarawak, Kalimatan or Brunei.

Yang paling istimewa dan eksotik: tumbuhan periuk kera. Sabah memiliki koleksi terbesar dunia dengan 13 spesies, yang mana lima darinya hanya tumbuh di Sabah sahaja. Itu belum termasuk flora-fauna berstatus ikonik (dan sesetengahnya endemik juga): rafelesia, orang utan dan monyet bangkatan.

v
Cukupkah itu menguja untuk datang ke Sabah?

Borneo adalah pulau gugusan pertama paling tersohor. Sebab itu dalam wacana academia di peringkat global pun, niche Borneo studies sangat trendy dan popular. Kenapa? Sebab ini pulau yang paling unik di dunia – dari segi fizikal, mahupun sosio-budaya.

Ia dikongsi oleh tiga negara (Malaysia, Brunei dan Indonesia), serta diapung oleh lima laut penting: China Selatan, Sulu, Sulawesi, Makasar dan Jawa. Kerana ciri geopolitik yang sangat distinctive ini – maka tahap vulnerability Sabah dari segi keselamatan dan ketirisan sempadan juga lebih kompleks. Itu menawarkan ruang kajian yang luas dan menarik.

Sabah juga memiliki dua aset terpenting pulau ini – iaitu ‘tip of Borneo’ (Simpang Mengayau) dan ‘peak of Borneo’ (Gunung Kinabalu). Kerana segala keistimewaan itu, dan hakikat bahawa Sabah begitu tegar menguasai penghujung dan kemuncak Borneo; maka, amat sukar dipercayai kenapa masih ada penduduk bumi yang belum sampai ke tanah eksotik ini.

Kamu semua, sudah atau belum?


- Dr Rem Dambul -



[Special Articles]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds