The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday, 14 January 2014

PERJANJIAN HUDAIBIYAH: KEBIJAKSANAAN RASULULLAH SAW



Perjanjian Hudaibiyah merupakan sebuah peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah kemenangan Islam. Melalui perjanjian inilah Rasulullah kemudiannya berjaya memasuki Mekah secara aman bersama para pengikutnya.

Kisah ini banyak pelajarannya yang boleh diambil oleh umat Islam di dalam menghayati konsep 'toleransi dan perdamaian'. Kisahnya bermula begini:

--------------------------------------

Pada tahun ke-6 Hijrah, baginda bersama 1400 pengikutnya telah berarak ke Mekah dari Madinah untuk menunaikan ibadah haji. Mengetahui perkara ini, pemerintah musyrik Mekah bertanyakan tujuan baginda dan pengikutnya ke Mekah. Lalu baginda mengutuskan Saidina Uthman ibn Affan RA untuk menemui pemimpin musyrik dan memberitahu hajat mereka.

Kemudian tiba berita palsu kepada baginda bahawa Uthman bin Affan telah dibunuh. Mendapat berita ini, umat Islam ketika itu amat marah dan bersedia untuk berperang. Kaum musyik, yang masih dibayangi kekalahan Perang Ahzab (Perang Khandak) merasa ketakutan lalu dihantar wakilnya Suhail bin Amru bersama Uthman ibn Affan untuk dilaksanakan rundingan.

Rundingan damai ini berlaku di suatu tempat bernama Hudaibiyah. Di situlah Suhail bin Amru mengemukakan syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah kepada kaum Muslimin dan menimbulkan kemarahan umat Islam yang bersama Rasulullah. Namun baginda dengan tenang menerima kesemua syarat tersebut. Syarat-syarat kaum musyrik itu ialah:

----------------------------------------------

Perjanjian Hudaibiyah

1. Tidak akan menggunakan kalimah 'Bismi Allah ar-Rahmaan ar-Rahiim' sebagai pembuka bicara atau perjanjian apabila dibuat bersama kaum Muslimin.

(Ini berlaku ketika Rasulullah dalam menulis perjanjian ini dimulakan dengan tajuk kepala kalimah suci ini. Suhail menentang keras dengan mengatakan kalimah ini tidak diakui kaum musyrik Mekah)

2. Tidak mengiktiraf baginda sebagai Rasul Allah.

(Ini berlaku ketika Rasulullah ingin menulis di dalam perjanjian tersebut nama baginda sebagai Muhammad Rasulullah. Baginda akur dan menukarkan ian kepada Muhammad bin Abdullah)

3. Gencatan senjata selama 10 tahun.

(Kaum Muslimin dilarang mengisytihar perang ke atas kaum musyrik. Walaupun ketika itu kaum Muslimin yakin melalui kemenangan Perang Ahzab, meraka akan dapat menawan Mekah kerana kaum musyrik sudah lemah, tetapi Rasulullah menerima tawaran gencatan senjata ini.)

4. Kaum Muslimin dilarang melaksanakan Haji pada tahun itu dan dilarang memasuki Mekah melainkan tahun berikutnya. Itupun dengan syarat pedang mereka kekal berada di dalam sarung dan tidak terhunuskan.

(Kaum Muslimin yang berarak dari jauh terpaksa pulang ke Madinah tanpa melakukan ibadah Haji melainkan untuk tahun berikutnya.)

5. Tawanan Madinah (orang Mekah) harus dikembalikan ke Mekah.

6. Tawanan Mekah (orang Madinah) perlu kekal di Mekah.

-----------------------------------------

Kalau dilihat dari segi apa pun, syarat-syarat perjanjian ini tidak memihak kepada kaum Muslimin, sekurang-kurangnya pada waktu itu. Ini telah menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati di kalangan pengikut baginda. Tetapi baginda tetap bersabar, berhenti sejenak dan mempersetujui setiap syarat yang dikemukakan di dalam perjanjian tersebut.

Ada beberapa sebab di dalam perjanjian ini yang akhirnya menjadi punca kemenangan Muslimin dalam mengambil kembali Mekah.

------------------------------------------

Syarat 1: Tidak akan menggunakan kalimah 'Bismi Allah ar-Rahmaan ar-Rahiim'.

- Kalimah ini tidak digunakan pun tidak mengapa. Memang pada ketika itu kaum musyrik Mekah tidak akan memahami pengertian kalimah ini dan betapa agungnya kalimah Allah.

Syarat 2: Tidak mengiktiraf baginda sebagai Rasul Allah.

- Kaum musyrik Mekah sudah diketahui sifat gelap hatinya. Walaupun banyak tanda-tanda yang ditunjukkan mereka tidak akan sekali-kali mengakuinya.

Syarat 3: Gencatan senjata selama 10 tahun.

- Walaupun Muslimin mampu menawan kota Mekah dengan cara ketenteraan, tetapi Allah (melalui Al-Quran) juga mengajar supaya jangan melakukan keganasan. Mengambil nyawa itu sendiri ialah suatu dosa besar.

Baginda yang berakhlak Al-Quran yakin dengan kasih sayang dan perdamaian yang Allah ajarkan dan gencatan ini hanya menjadi suatu kelebihan kepada kaum Muslimin.

Syarat 4: Kaum Muslimin dilarang melaksanakan Haji pada tahun itu.

- Walaupun perlu balik ke Madinah tanpa mengerjakan Haji, baginda tahu itu ialah cara terbaik untuk mengelakkan pertumpahan darah. Dengan kemarahan tentang berita palsu kematian Uthman ibn Affan dan kemudiannya syarat perjanjian yang berat diterima, kemasukkan kaum Muslimin ke dalam Mekah mungkin akan menyebabkan keadaan menjadi buruk.

Syarat 5: Tawanan Madinah (orang Mekah) harus dikembalikan ke Mekah.

- Orang musyrik Mekah yang ditawan di Madinah ketika itu sudah banyak yang memeluk Islam setelah melihat akan bagusnya pemerintahan sistem Islam di Madinah. Sekembalinya mereka ke Mekah sebenarnya menjadi suatu kelebihan buat Rasulullah kerana mereka boleh memberikan gambaran yang tepat tentang sistem Islam di Madinah.

Syarat 6: Tawanan Mekah (orang Madinah) perlu kekal di Mekah.

- Orang Muslim Madinah yang ditawan di Mekah pula memainkan peranan berdakwah kepada penduduk Mekah semasa di dalam tawanan.

Lihat, begitu tajamnya pemikiran Rasulullah SAW dalam memikirkan strategi dan melihat jauh ke hadapan. Walaupun ramai yang tidak bersetuju tetapi sebagai seorang pemimpin, baginda perlu berfikiran jelas, matang dan tajam dalam setiap perkara.

------------------------------------------

*Oleh kerana gencatan senjata itu jugalah Rasulullah dan para sahabat berjaya menghantar beberapa misi menyebarkan Islam ke seluruh tempat termasuk Rom. Rom pada ketika itu diperintah oleh Raja Bushra yang kemudiannya menghantar angkatan tentera Rom seramai 200,000 orang yang diketuai panglima Heraklius untuk menyerang Madinah.

Perang ini berlaku pada tahun ke-8 Hijrah telah menjadi antara perang yang signifikan kepada mengapa ramai kabilah-kabilah Arab kemudiannya menyertai Rasulullah SAW. Perang ini dikenali sebagai Perang Mu'tah.

Di dalam perang ini tentera Islam seramai 3000 orang menentang tentera Rom dan beberapa tentera Yahudi dan kabilah Arab yang tidak menyukai baginda seramai 200,000 orang.

Peperangan bertempat di Mu'tah, Jordan. Di dalam perang ini 3 panglima hebat Islam terkorban, namun muncul panglima baru yang kemudiannya mendapat gelaran 'Pedang Allah'. Beliau tidak lain tidak bukan, Khalid al-Walid.

Beliau mengetuai pengunduran tentera Islam sehingga tentera Rom tidak berani untuk mengejar kerana merisaukan bahawa taktik pengunduran ini ialah untuk memancing mereka berperang di dalam kawasan musuh.

Ya lah, masakan tidak takut, tentera Islam ketika itu hanya kehilangan 13 orang tentera manakala tentera Rom sudah kehilangan hampir 4000 orang tentera disebabkan oleh strategi perang tentera Islam yang amat baik.

Walaupun tentera Islam tidak memenangi peperangan tersebut (secara permukaannya), tetapi tiada lagi kerajaan di mana-mana dalam dunia ketika itu yang dapat menyekat kemaraan tentera Rom. Dan lebih hebat, dilakukan dalam jumlah yang sangat kecil.

-------------------------------------------

Oleh kerana Perang Mu'tah ini, ramai kabilah yang mula mengakui kepimpinan Rasulullah SAW dan seterusnya menyertai baginda di Madinah.

Bayangkan jika gencatan senjata 10 tahun itu tidak dibuat, baginda pasti tiada masa keamanan untuk menghantar utusan ke merata tempat untuk menyebarkan Islam dan kemudiannya mendapat peluang untuk bertempur dengan tentera Rom. Boleh bayangkan betapa sengitnya pertempuran itu?

-------------------------------------------

Dan kerana fakta-fakta inilah, mengapa Perjanjian Hudaibiyah merupakan antara peristiwa penting mengapa kaum Muslimin dapat mengambil kembali kota Mekah secara aman.

"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran impiannya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat."

Al-Fath, QS, 48 : 27

------------------------------------------

Kesimpulan:

Di dalam kita menjadi pemimpin, berfikir secara rasional, calm and collective itu penting. Tidak semestinya perlu mengikut apa yang majoriti mahukan. Apa yang penting ialah pemimpin itu perlu sedar dan jelas apa yang beliau laksanakan.

Ada sebabnya mengapa orang memilih kita sebagai pemimpin. Iaitu individu yang dipercayai mereka dapat membuat keputusan yang berat dengan penuh perasaan tanggungjawab.

Dan kepada kita sebagai pengikut, ambillah ini sebagai pelajaran. Jangan semuanya nak membangkang. Ada perkara yang kita hanya dapat lihat manfaatnya setelah sesuatu masa.

"Tiada kemenangan yang mudah, tiada perjuangan yang cepat.. Jika Nabi dan Rasul diuji sebegitu, apa istimewanya kita sebagai umat mereka..?"

Renungkan dan salam Maulidur-Rasul


- Jamalee Bashah -

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds