API LAWAN API
Di dalam sejarah, kita berkali-kali ditunjukkan
dengan kejadian api melawan api. Hanya ada 2 cara api boleh melawan api:
Pertamanya dengan api yang sama marak atau lebih
marak dari api yang sebelumnya. Bila tiada cara lain yang dapat kita laksanakan
untuk menahan kemaraan api, cara ini dilihat sebagai cara yang terbaik.
Walau bagaimanapun timbal baliknya amat menyedihkan.
Banyak yang hangus dijilat api. Nyawa dan harta benda adalah bahan bakarnya.
Bahan bakar yang tiada kesudahan dan kemarakkan api mungkin mengambil berpuluh
tahun untuk dipadamkan.
---------------------------------------------------------
Cara kedua ialah dengan api yang lebih kecil. Api
dari lilin yang menerangi. Cahayanya mungkin kecil, tetapi cukup untuk
menerangi ruang yang gelap. Kehangatannya mungkin tidak dirasai melainkan kita
berdekatan dengannya.
Api dari lilin kecil inilah yang kita gunakan untuk
menghidupkan lilin-lilin yang lain, sehingga ruang itu benar-benar terang dan
kehangatannya dapat dirasai semua yang berada dalam ruangan itu.
Timbal baliknya ialah lilin itu akan cair dimamah
api, tetapi fungsi dan tugas asal penciptaannya menepati matlamat Penciptanya..
----------------------------------------------------------
Api ini sifatnya membakar, banyak manfaat darinya.
Tetapi kalau ianya tidak dikawal, apa yang sepatutnya menjadi manfaat pada diri
mungkin akan memakan tuannya. Benarlah kata orang terdahulu..
"Api semasa kecil itu kawan, apabila besar ia
menjadi lawan"
Di dalam diri kita ada sejenis api yang membara.
Bahan bakarnya ialah akal dan ruangan yang menjadi pelitanya ialah hati.
Adakah kita menjadikan api itu suatu kehangatan dalam
diri kita, menerangi mereka disekeliling kita.. Atau kita jadikan bahan
bakarnya pemuas nafsu sehingga pelita itu sendiri terbakar rentung, gelap
berjelaga sehingga tiada nampak serinya..
Jamalee Bashah
[Special Article]
Post a Comment