The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Friday 29 November 2013

MELAYU DAN CINA: HUBUNGAN MERENTASI ZAMAN III

Setiap hubungan persahabatan pasti akan ada pasang surutnya, begitu juga dengan hubungan antara Melayu dan Cina yang kita sekali lagi ingin bincangkan di sini. Kali ini,kita bincangkan mengenai hubungan Tamadun Cina dengan Tamadun Melayu Champa. Champa merupakan sebuah kerajaan Melayu purba yang sekarang terletak di pesisiran pantai Vietnam. Champa juga antara kerajaan Melayu paling awal di samping negara jirannya, Funan. Pada peringkat awal penubuhannya, Champa merupakan sebuah kerajaan yang agresif menyerang kerajaan jirannya,termasuk juga Empayar China pada masa itu.

Pada tahun 192 Masihi, orang Melayu Cham yang pada masa itu di bawah jajahan Dinasti Han telah memberontak untuk merdeka dari penguasaan China. Orang Cham berjaya menubuhkan kerajaan sendiri yang digelar oleh orang Cina sebagai Lin-Yi. Di awal penubuhannya, Champa atau Lin-Yi kerap menyerang dan menghuru-harakan wilayah selatan China. Pada tahun 270, Champa bersama negara jirannya, Funan yang juga merupakan sebuah kerajaan Melayu menyerang wilayah Kiu-Sou di China. Maharaja China ketika itu terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan Champa pada tahun 280. Pada tahun 284, Champa menghantar perutusan persahabatan pertama ke China dan perekod China merekodkan raja Champa yang menghantar utusan tersebut bernama Fan-Wen.

Namun, langit tidak semestinya cerah. Apabila Dinasti Sui menaiki takhta Cina, Maharaja Yang Guang telah mengarahkan Jeneral Liu Bang untuk menyerang Champa. Dinasti Sui menghantar 10 ribu tentera berjalan kaki dan angkatan laut manakala tentera Champa menggunakan tentera gajah dan badak sumbu. Biarpun berlaku pertempuran sengit,namun malangnya Champa kalah dalam pertempuran tersebut.

Ibu kota Champa, Vijaya telah ditakluk oleh tentera Sui dan raja Champa, Raja Shambuvarman melarikan diri ke seberang laut. Liu Fang dikatakan merampas salasilah diraja bertinta emas yang menukilkan 18 Raja Champa yang memerintah sebelum Shambuvarman. Liu Fang juga dikatakan merampas sebanyak 1350 buku ajaran Buddha yang bertulisan bahasa Kun-Lun (bahasa Melayu Kuno) bertulisan Sanskrit yang diikat dalam 546 bekas.

Nasib khazanah Melayu Champa yang berharga ini masih tidak diketahui sehingga kini.Ada yang mengatakan khazanah itu telah dibakar dan dimusnahkan oleh Liu fang dan ada juga laporan mengatakan yang buku-buku itu telah dihantar ke China untuk diterjemahkan oleh Hsun Tsuang.[3]

Namun akhirnya, Raja Shambuvarman berjaya merampas semula kota Vijaya daripada tentera Dinast Sui. Tentera China pada masa itu agak lemah akibat serangan wabak penyakit masa itu. Ditambah pula, tentera Champa pula sangat mahir dalam strategi peperangan gerila. Raja Champa kemudiannya menghantar utusan ke China dan menyuruh China meminta maaf kepada mereka. China akhirnya meminta maaf kepada Champa dan menjadi sahabat baik semula.

Peristiwa di atas mengajar kita bahawa sememangnya terdapat konflik dalam hubungan persahabatan yang baik (tidak kiralah siapa yang memulakan dahulu), namun itu tidak akan bertahan lama kerana ia pasti akan bertaut semula. Bak kata orang tua, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Justeru itu, tidak kira Cina atau Melayu, perlulah menjaga hubungan baik yang telah lama terjalin di antara kita. Bersama-sama kita belajar dari sejarah untuk tidak sama sekali merosakkan tali persahabatan antara dua bangsa besar ini, yang kini tnggal bersama dengan harmoni di dalam Malaysia. Pengukuhan hubungan muhibbah antara kaum adalah salah satu cara berkesan untuk memelihara keamanan negara.


"Belajarlah daripada sejarah dan anda tidak akan berasa rugi mempelajarinya dan mengambil iktibar darinya."


Raja Ariff Danial


[Nusantara Kita]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds