The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

PERJANJIAN HUDAIBIYAH: KEBIJAKSANAAN RASULULLAH SAW



Perjanjian Hudaibiyah merupakan sebuah peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah kemenangan Islam. Melalui perjanjian inilah Rasulullah kemudiannya berjaya memasuki Mekah secara aman bersama para pengikutnya.

Kisah ini banyak pelajarannya yang boleh diambil oleh umat Islam di dalam menghayati konsep 'toleransi dan perdamaian'. Kisahnya bermula begini:

--------------------------------------

Pada tahun ke-6 Hijrah, baginda bersama 1400 pengikutnya telah berarak ke Mekah dari Madinah untuk menunaikan ibadah haji. Mengetahui perkara ini, pemerintah musyrik Mekah bertanyakan tujuan baginda dan pengikutnya ke Mekah. Lalu baginda mengutuskan Saidina Uthman ibn Affan RA untuk menemui pemimpin musyrik dan memberitahu hajat mereka.

Kemudian tiba berita palsu kepada baginda bahawa Uthman bin Affan telah dibunuh. Mendapat berita ini, umat Islam ketika itu amat marah dan bersedia untuk berperang. Kaum musyik, yang masih dibayangi kekalahan Perang Ahzab (Perang Khandak) merasa ketakutan lalu dihantar wakilnya Suhail bin Amru bersama Uthman ibn Affan untuk dilaksanakan rundingan.

Rundingan damai ini berlaku di suatu tempat bernama Hudaibiyah. Di situlah Suhail bin Amru mengemukakan syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah kepada kaum Muslimin dan menimbulkan kemarahan umat Islam yang bersama Rasulullah. Namun baginda dengan tenang menerima kesemua syarat tersebut. Syarat-syarat kaum musyrik itu ialah:

----------------------------------------------

Perjanjian Hudaibiyah

1. Tidak akan menggunakan kalimah 'Bismi Allah ar-Rahmaan ar-Rahiim' sebagai pembuka bicara atau perjanjian apabila dibuat bersama kaum Muslimin.

(Ini berlaku ketika Rasulullah dalam menulis perjanjian ini dimulakan dengan tajuk kepala kalimah suci ini. Suhail menentang keras dengan mengatakan kalimah ini tidak diakui kaum musyrik Mekah)

2. Tidak mengiktiraf baginda sebagai Rasul Allah.

(Ini berlaku ketika Rasulullah ingin menulis di dalam perjanjian tersebut nama baginda sebagai Muhammad Rasulullah. Baginda akur dan menukarkan ian kepada Muhammad bin Abdullah)

3. Gencatan senjata selama 10 tahun.

(Kaum Muslimin dilarang mengisytihar perang ke atas kaum musyrik. Walaupun ketika itu kaum Muslimin yakin melalui kemenangan Perang Ahzab, meraka akan dapat menawan Mekah kerana kaum musyrik sudah lemah, tetapi Rasulullah menerima tawaran gencatan senjata ini.)

4. Kaum Muslimin dilarang melaksanakan Haji pada tahun itu dan dilarang memasuki Mekah melainkan tahun berikutnya. Itupun dengan syarat pedang mereka kekal berada di dalam sarung dan tidak terhunuskan.

(Kaum Muslimin yang berarak dari jauh terpaksa pulang ke Madinah tanpa melakukan ibadah Haji melainkan untuk tahun berikutnya.)

5. Tawanan Madinah (orang Mekah) harus dikembalikan ke Mekah.

6. Tawanan Mekah (orang Madinah) perlu kekal di Mekah.

-----------------------------------------

Kalau dilihat dari segi apa pun, syarat-syarat perjanjian ini tidak memihak kepada kaum Muslimin, sekurang-kurangnya pada waktu itu. Ini telah menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati di kalangan pengikut baginda. Tetapi baginda tetap bersabar, berhenti sejenak dan mempersetujui setiap syarat yang dikemukakan di dalam perjanjian tersebut.

Ada beberapa sebab di dalam perjanjian ini yang akhirnya menjadi punca kemenangan Muslimin dalam mengambil kembali Mekah.

------------------------------------------

Syarat 1: Tidak akan menggunakan kalimah 'Bismi Allah ar-Rahmaan ar-Rahiim'.

- Kalimah ini tidak digunakan pun tidak mengapa. Memang pada ketika itu kaum musyrik Mekah tidak akan memahami pengertian kalimah ini dan betapa agungnya kalimah Allah.

Syarat 2: Tidak mengiktiraf baginda sebagai Rasul Allah.

- Kaum musyrik Mekah sudah diketahui sifat gelap hatinya. Walaupun banyak tanda-tanda yang ditunjukkan mereka tidak akan sekali-kali mengakuinya.

Syarat 3: Gencatan senjata selama 10 tahun.

- Walaupun Muslimin mampu menawan kota Mekah dengan cara ketenteraan, tetapi Allah (melalui Al-Quran) juga mengajar supaya jangan melakukan keganasan. Mengambil nyawa itu sendiri ialah suatu dosa besar.

Baginda yang berakhlak Al-Quran yakin dengan kasih sayang dan perdamaian yang Allah ajarkan dan gencatan ini hanya menjadi suatu kelebihan kepada kaum Muslimin.

Syarat 4: Kaum Muslimin dilarang melaksanakan Haji pada tahun itu.

- Walaupun perlu balik ke Madinah tanpa mengerjakan Haji, baginda tahu itu ialah cara terbaik untuk mengelakkan pertumpahan darah. Dengan kemarahan tentang berita palsu kematian Uthman ibn Affan dan kemudiannya syarat perjanjian yang berat diterima, kemasukkan kaum Muslimin ke dalam Mekah mungkin akan menyebabkan keadaan menjadi buruk.

Syarat 5: Tawanan Madinah (orang Mekah) harus dikembalikan ke Mekah.

- Orang musyrik Mekah yang ditawan di Madinah ketika itu sudah banyak yang memeluk Islam setelah melihat akan bagusnya pemerintahan sistem Islam di Madinah. Sekembalinya mereka ke Mekah sebenarnya menjadi suatu kelebihan buat Rasulullah kerana mereka boleh memberikan gambaran yang tepat tentang sistem Islam di Madinah.

Syarat 6: Tawanan Mekah (orang Madinah) perlu kekal di Mekah.

- Orang Muslim Madinah yang ditawan di Mekah pula memainkan peranan berdakwah kepada penduduk Mekah semasa di dalam tawanan.

Lihat, begitu tajamnya pemikiran Rasulullah SAW dalam memikirkan strategi dan melihat jauh ke hadapan. Walaupun ramai yang tidak bersetuju tetapi sebagai seorang pemimpin, baginda perlu berfikiran jelas, matang dan tajam dalam setiap perkara.

------------------------------------------

*Oleh kerana gencatan senjata itu jugalah Rasulullah dan para sahabat berjaya menghantar beberapa misi menyebarkan Islam ke seluruh tempat termasuk Rom. Rom pada ketika itu diperintah oleh Raja Bushra yang kemudiannya menghantar angkatan tentera Rom seramai 200,000 orang yang diketuai panglima Heraklius untuk menyerang Madinah.

Perang ini berlaku pada tahun ke-8 Hijrah telah menjadi antara perang yang signifikan kepada mengapa ramai kabilah-kabilah Arab kemudiannya menyertai Rasulullah SAW. Perang ini dikenali sebagai Perang Mu'tah.

Di dalam perang ini tentera Islam seramai 3000 orang menentang tentera Rom dan beberapa tentera Yahudi dan kabilah Arab yang tidak menyukai baginda seramai 200,000 orang.

Peperangan bertempat di Mu'tah, Jordan. Di dalam perang ini 3 panglima hebat Islam terkorban, namun muncul panglima baru yang kemudiannya mendapat gelaran 'Pedang Allah'. Beliau tidak lain tidak bukan, Khalid al-Walid.

Beliau mengetuai pengunduran tentera Islam sehingga tentera Rom tidak berani untuk mengejar kerana merisaukan bahawa taktik pengunduran ini ialah untuk memancing mereka berperang di dalam kawasan musuh.

Ya lah, masakan tidak takut, tentera Islam ketika itu hanya kehilangan 13 orang tentera manakala tentera Rom sudah kehilangan hampir 4000 orang tentera disebabkan oleh strategi perang tentera Islam yang amat baik.

Walaupun tentera Islam tidak memenangi peperangan tersebut (secara permukaannya), tetapi tiada lagi kerajaan di mana-mana dalam dunia ketika itu yang dapat menyekat kemaraan tentera Rom. Dan lebih hebat, dilakukan dalam jumlah yang sangat kecil.

-------------------------------------------

Oleh kerana Perang Mu'tah ini, ramai kabilah yang mula mengakui kepimpinan Rasulullah SAW dan seterusnya menyertai baginda di Madinah.

Bayangkan jika gencatan senjata 10 tahun itu tidak dibuat, baginda pasti tiada masa keamanan untuk menghantar utusan ke merata tempat untuk menyebarkan Islam dan kemudiannya mendapat peluang untuk bertempur dengan tentera Rom. Boleh bayangkan betapa sengitnya pertempuran itu?

-------------------------------------------

Dan kerana fakta-fakta inilah, mengapa Perjanjian Hudaibiyah merupakan antara peristiwa penting mengapa kaum Muslimin dapat mengambil kembali kota Mekah secara aman.

"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran impiannya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat."

Al-Fath, QS, 48 : 27

------------------------------------------

Kesimpulan:

Di dalam kita menjadi pemimpin, berfikir secara rasional, calm and collective itu penting. Tidak semestinya perlu mengikut apa yang majoriti mahukan. Apa yang penting ialah pemimpin itu perlu sedar dan jelas apa yang beliau laksanakan.

Ada sebabnya mengapa orang memilih kita sebagai pemimpin. Iaitu individu yang dipercayai mereka dapat membuat keputusan yang berat dengan penuh perasaan tanggungjawab.

Dan kepada kita sebagai pengikut, ambillah ini sebagai pelajaran. Jangan semuanya nak membangkang. Ada perkara yang kita hanya dapat lihat manfaatnya setelah sesuatu masa.

"Tiada kemenangan yang mudah, tiada perjuangan yang cepat.. Jika Nabi dan Rasul diuji sebegitu, apa istimewanya kita sebagai umat mereka..?"

Renungkan dan salam Maulidur-Rasul


- Jamalee Bashah -

MAULIDUR RASUL – LEGASI RASULULLAH SAW



Nabi Muhammad SAW merupakan manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Baginda merupakan inspirasi yang merupakan tunjang kepada pelbagai masyarakat, dimana selepas kewafatan baginda, Islam telah berkembang ke seluruh dunia sambil menerapkan ilham-ilham dalam pembentukan ilmu dan seni bina yang melambangkan sesuatu kebudayaan.

Kepada lebih daripada 1.5bilion orang Islam, baginda merupakan cahaya terakhir yang datang daripada susur galur kenabian dan tidak ada lagi rasul selepas baginda. Sayangnya, nyawa baginda hanyalah satu. Pemergian baginda memang dirasai sehingga kini, terutamanya setelah Malaikat Jibrail as bertemu dengan baginda buat kali kedua untuk tahun tersebut.

Pada hari ini, baginda masih lagi hidup bersama kita dalam bentuk legasi yang ditinggalkan pada bahu setiap orang yang mengangkat shahadah:

“Tiada Tuhan Melainkan Allah, bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah.”

Usaha-usaha beliau daripada Piagam Madinah sehingga Perjanjian Hudaibiyah yang menerapkan tatanegara Islam berprinsipkan kesatuan masih lagi berkumandang di muka buku sejarah. Akan tetapi, apakah Islam pada hari ini menguasai separuh daripada inspirasi ini? Apakah Islam pada hari ini bersatu seperti bagaimana Rasulullah SAW menundukkan sistem berpuak yang sangat ketara kejahilan kaum Quraish kepada kedaulatan yang berpanjikan akhlak dan akidah?

Legasi yang berjaya menghalang kejayaan gerakan-gerakan Katolik ketika Perang Salib seolah-olah telah menemui jalan mati setelah Empayar Uthmaniyah berkecai akibat Perjanjian Sevres pada kesudahan Perang Dunia Pertama. Berikut bermulanya penguasaan Barat dalam pelbagai bidang, seolah-olah Matahari telah terbit di kawasan mereka.

Nama-nama bukan Islam seperti Joseph Murgas, Albert Einstein, Sir Isaac Newton, Dmitri Mendeleev, Nikolai Lobachevsky, Konstantin Tsiolkovsky, Alexander Popov, Charles Darwin, Friedrich Golz dan Heinz Haber telah menenggelamkan senarai panjang ilmuwan-ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina, Abu Rayhan (Al-Biruni), Abu Yusuf Yaqub (al-Kindi), Mirza Muhammad Taragay (Ulughbeg) dan Abu Nasir (al-Farabi), sedangkan mereka ini merupakan pelopor-pelopor kepada perubatan, metafizik, falsafah, matematik, astrologi dan astronomi.

Dari segi politik pula, pemikir seperti Saidina Umar telah digelapkan untuk membuka tirai kepada Karl Marx, Vladimir Lenin, Mikhail Gorbachev, Ronald Reagan, dan John F. Kennedy, sedangkan Saidina Umar telah menerapkan sistem unitari dimana kuasa utama diberikan kepada Khalifah, dan di wilayah-wilayah yang telah terbahagi untuk memudahkan pengurusan pula mempunyai perbadanan pentadbirannya sendiri. Yang paling teruk, prinsip-prinsip Adolf Hitler pula kini sedang dicontohi, sekaligus membelakangkan insan yang menyuap roti kepada seorang pengemis Yahudi.

Kuasa-kuasa Yang Bukan Islam kini mempunyai perikatan ketenteraan dan gagasan ekonomi yang kukuh seperti UN, EU, EAU, CIS, NATO, CSDP, SCO dan CSTO. Dan sebahagian daripada juga telah menguasai sistem kewangan sehingga dinar emas telah dibenamkan untuk membuka laluan kepada sistem kewangan FIAT. Secara anehnya, mereka pula yang mendahului negara-negara Islam yang mempunyai Liga Arab, OIC dan OPEC dari segi ilmu, teknologi, kesatuan, dan penguasaan.

Amat mengejutkan, sebuah negara di Timur Tengah yang dikelilingi musuh telah berjaya membentuk ekonomi dan ketenteraan mereka berdasarkan dasar-dasar progresif dan diplomasi yang begitu efektif sekali. Ya, negara tersebut adalah Israel, dimana sekeliling republik Yahudi tersebut menunjukkan zon-zon merah yang menandakan Kebangkitan Dunia Arab, Perang Saudara Syria dan Konfli Fatah-Hamas.

Kesatuan seperti Republik Arab Bersatu (UAR) antara Mesir dan Syria pula hanya bertahan selama tiga tahun sahaja akibat kegagalan Gamal Abdel Nasser untuk membentuk sistem politik yang sesuai untuk kedua-dua republik tersebut. Kini, republik-republik yang telah dibedilkan oleh kuasa-kuasa kapitalis ketika Perang Dingin sedang bangkit semula untuk membentuk Kesatuan Eurasia (EAU), dan perjalanan mereka dilihat semakin positif kearah kejayaan.

Mungkinkah perpecahan merupakan faktor utama kepada masalah ini? Pada zaman ini, ramai yang menyempitkan pemahaman mereka kepada perkataan “ulama’”. Mereka berpendapat bahawa ulama’ merupakan agamawan sahaja. Tetapi, ulama’ pada dasarnya merupakan cendekiawan, termasuk juga cendekiawan-cendekiawan sains yang wajar digelar sebagai ulama’.

Ilmu-ilmu seperti kimia, perubatan, geografi, fizik, biologi dan sebagainya sebenarnya merupakan ilmu yang boleh dibawa ke akhirat. Sebagai contoh, kalau anda menulis kertas kerja tentang geografi yang akan digunakan satu masa nanti untuk menghalang daripada berlakunya banjir atau tanah runtuh, bukankah itu boleh dijadikan “saham akhirat”? Apabila wujud pahala dalam sesuatu hal, bukankah itu sudah menjadi jalan ke akhirat?

Pada hari ini, nama Islam dan Muhammad sentiasa dicalar dengan perjuangan fundamentalisme dan radikalisme. Serangan 11 September dan pengeboman seperti di Boston dan Volgograd kini disulami dengan nama yang paling mulia, iaitu Muhammad. Islam semakin dipandang hina.

Dimanakah silap kita?

a)         KELAHIRAN DAN KERASULAN

Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan kepada Kaum Hashim dalam wilayah yang sarat dengan pertembungan puak. Pada ketika itu, puak-puak Arab boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang terumbang-ambing dibawa arus masalah-masalah sosial. Mereka juga berada di antara kuasa terakhir Empayar Rom iaitu Empayar Byzantium ke Utara, dan Empayar Sassanid ke Timur.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW sebelum kerasulan baginda telah dicalar dengan berbagai-bagai dugaan yang akan mengukuhkan identiti dirinya. Setelah kemangkatan ayahanda dan ibundanya, baginda dibesarkan oleh datuknya, kemudian bapa saudaranya, Abu Talib, yang merupakan ketua kepada Kaum Hashim. Ketika bersama bapa saudaranya, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu perniagaan berdasarkan disiplin dan kejujuran.

Sifat-sifat terpuji ini terkandung dalam jasad baginda mungkin kerana hatinya yang sudah dibersihkan oleh malaikat ketika usia baginda masih kecil. Apa yang boleh diungkapkan juga, sifat ini merupakan punca kepada pertemuan baginda dengan Siti Khadijah dan Malaikat Allah, Jibrail as.

Kebudayaan Arab pada ketika itu sentiasa mengamalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam, sekaligus perkara-perkara yang tidak serasi dengan psikologi baginda. Dan baginda akan bersendirian untuk beramal ibadat, dimana baginda telah bertemu dengan Malaikat Jibrail as, menandakan titik permulaan kepada agama Allah iaitu Islam.

Tetapi, seperti yang kita tahu, Islam pada ketika itu boleh diibaratkan seperti seorang bayi yang tidak mampu membesar tanpa bantuan. Orang-orang Islam pula menempuhi pelbagai rintangan daripada kaum Quraish. Ada yang melarikan diri ke Kerajaan Aksum untuk mengelakkan penganiayaan, dimana Raja Ashama yang beragama Kristian telah dituntut untuk menghalau mereka kembali ke Mekah. Tetapi, Raja Ashama bertindak untuk menolak tuntutan tersebut setelah mendengar alunan-alunan ayat-ayat Surah Maryam bagaikan ombak lembut yang membelai hati telah menyentuh perasaan pentadbir-pentadbir Aksum sehingga terkeluarnya air mata mereka.

Berbagai-bagai cara telah dibuat untuk meleraikan Islam yang semakin kuat oleh kerana dakwah lembut dan sabar Rasulullah SAW yang bertentang dengan amalan berhala dan syirik, berikut juga dengan keperibadian baginda yang berperanan seperti “mentor kepada semua”. Puak-puak Mekah bertambah gusar kerana sumber kekayaan mereka berpusatkan di Kaabah, dan kita tahu bahawa Kaabah merupakan kepentingan kepada orang-orang Islam.

Akhirnya, kaum Quraish melancarkan sebuah boikot secara besar-besaran pada tahun 617 yang berkuatkuasa selama tiga tahun sahaja. Objektif utama boikot ini telah gagal, tetapi ianya telah memberi impak yang besar kepada Rasulullah SAW kerana kesusahan yang ditempuhi oleh orang-orang Islam ketika boikot ini telah menyebabkan pemergian Saidatina Khadijah dan Abu Talib.

Setelah kembalinya daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW berdepan dengan rintangan terakhir sebelum tersinarnya titik permulaan kegemilangan Islam. Dengan pemergian bapa saudaranya, tampuk ketua Kaum Hashim telah diberikan kepada Abu Lahab, yang menarikbalik segala perlindungan kaum dan menghalalkan pertumpahan darah suci Rasulullah SAW mengikut tradisi Quraish. Untuk pengetahuan anda, tiada siapa berani mencederakan baginda ketika Abu Talib masih lagi hidup oleh kerana takutkan “hutang darah”.

Tetapi, pada ketika ini, Islam telah diberikan seorang insan yang luarbiasa, iaitu Saidina Umar Al-Khattab, seorang perwira yang berani melaksanakan solat di Kaabah secara terbuka sehinggakan ketua-ketua Quraish hanya mampu melihat dengan penuh perasaan marah, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Disebabkan Saidina Umar, orang-orang Islam berani bersolat di Masjidil Haram tanpa sebarang halangan.

Peristiwa Hijrah merupakan titik permulaan kepada kegemilangan Islam. Bermula pada pertengahan tahun 622, apabila Rasulullah SAW mengetuai orang-orang Islam untuk bergerak secara rahsia dari Mekah ke Yathrib sejauh 300 kilometer. Di Yathrib, Rasulullah SAW telah dialu-alukan secara terbuka dan kemudiannya menjadi hakim untuk menyelesaikan persengketaan Kaum Aus dan Khazraj dan membentuk Piagam Madinah yang menyatukan orang-orang Islam dan bukan Islam kepada tatanegara Islam yang pertama.

Disinilah bertapaknya masjid-masjid seperti Masjidil Quba, Masjid al-Nabawi, dan Masjid al-Qiblatain. Ramai yang memeluk Islam sebenarnya datang dari Yathrib, dan bandar ini juga sudah biasa dengan penyembahan Tauhid oleh kerana kewujudan komuniti Yahudi di sana. Nama Yathrib ditukarkan kepada Madinat al-Nabi (Bandar Nabi), tetapi kemudiannya dikekalkan sebagai Madinah sahaja.

Perkembangan Islam di Madinah telah merisaukan kaum Quraish di Mekah, meledakkan kepada konflik bersenjata antara orang-orang Islam dan tentera Quraish. Tetapi peperangan-peperangan yang dihalalkan oleh Islam dipenuhi dengan pelbagai etika-etika yang meletakkan Islam hanya berperang untuk mempertahankan agama sahaja.

Pelbagai peperangan telah meledak dalam pertembungan dua kuasa ini. Antara yang paling popular adalah Perang Badar Pertama dimana kita menyaksikan kematian Abu Jahal dan Abu Lahab, dan juga Perang Badar Kedua yang memberi kemenangan kepada orang-orang Islam. Serangan ke atas Kaum Qurayza merupakan operasi yang paling berkontroversi dalam karier ketenteraan Rasulullah SAW. Pengkritik-pengkritik Islam mempersoalkan bagaimana seorang Rasul mampu menghancurkan sebuah kaum dengan tindakan yang sangat kejam.

Akan tetapi, pengkritik-pengkritik ini juga telah mengabaikan hakikat sebenar bahawa kaum Qurayza telah berpakat dengan musuh Islam sekaligus melanggar perikatan bersama orang Islam dan dihukum berdasarkan undang-undang Talmud oleh kerana kaum ini beragama Yahudi.

Operasi peperangan ini diteruskan sehinggalah Perjanjian Hudaibiyah telah ditandatangani, membenarkan orang-orang Islam kembali ke Mekah untuk perlaksanaan Umrah dalam keamanan 10 tahun, yang dipelihara dengan baik oleh orang-orang Islam walaupun wujud ketidakpuashatian. Tetapi selepas serangan Kaum Bakar ke atas Kaum Khuza’ah (sekutu Rasulullah SAW), Perjanjian ini telah dibubarkan atas pilihan kaum Quraish sendiri, dan tentera-tentera Islam bergerak untuk menawan Mekah dengan kekuatan mencecah 10,000 orang dalam sebuah serangan mengejut.

Selepas kaum Quraish telah tewas, Abu Sufyan, pemimpin Quraish yang selama ini menentang Rasulullah dalam pelbagai peperangan, telah memeluk Islam kerana berhala-berhala Mekah tidak mampu menghalang Kuasa Allah. Populariti Nabi Muhammad SAW berkembang selepas penawanan Mekah ini. Kejayaan ini diteruskan dengan kejayaan penawanan seluruh Arab, dan sehingga hari ini, Islam masih lagi bertapak di wilayah-wilayah Arab.

b)         CAHAYA KEGEMILANGAN

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, baginda telah memberikan khutbah terakhir yang menyeru kepada semua orang-orang Islam supaya berpegang kepada:

1.         Penjagaan harta benda orang-orang Islam;
2.         Larangan pengambilan riba;
3.         Pengawasan tipu helah Iblis;
4.         Pemeliharaan hak-hak wanita;
5.         Penjagaan rukun-rukun Islam;
6.         Larangan amalan perkauman;
7.         Peringatan bahawasanya tiada Rasul atau Agama Allah selepas baginda;
8.         Penegasan supaya ikut al-Qur’an dan Sunnah.

Perkara ini merupakan tunjang utama kepada Khulafa ar-Rashidin yang berkembang dari Timur Tengah sehingga Utara Afrika, Kaukasus, Asia Tengah, dan Semenanjung Iberia (Sepanyol). Panji-panji ini diteruskan oleh Dinasi Ayyubi, Kesultanan Mamluk, Empayar Seljuq, Dinasti Timur (Tamerlane), Dinasti Hafsid, sehinggalah Empayar Uthmaniyah. Dan pada hari ini, negara-negara Islam telah berpecah seolah-olah usaha-usaha Rasulullah SAW telah berlaku sia-sia.

Dimanakah titik pertemuan yang akan memimpin kita semua ke arah kegemilangan Khilafah? Apa yang jelas, kita hanya perlu mengikuti Perkara Lapan dalam Khutbah Terakhir Rasulullah SAW sahaja.

Tetapi malangnya, setiap negara Islam kini dipecahkan dengan ideologi-ideologi mereka tersendiri: nasionalisme, liberalisme, sosialisme, dan sebagainya, sedang meletakkan jurang yang dalam untuk mengelakkan penyatuan.


Mampukah kita semua disatukan semula kepada sebuah “Kerajaan Agung” yang akan berlaku adil kepada setiap individu? Atau soalan yang lebih relevan, perlukah kita tunggu Imam Mahdi untuk memulakan proses-proses tersebut? Pendapat saya, pendekatan yang lebih logik adalah kita turut membentangkan batu asas kepada “Kerajaan Agung” tersebut – bergerak ke arah kesatuan kerana Allah SWT.

PEDANG-PEDANG YANG DIGUNAKAN OLEH RASULULLAH



Di Muzium Topkapi, di Turki terkandungan replika pedang dan busur junjungan besar Rasulullah S.A.W. Terdapat banyak jenis pedang dengan nama yang berbeza yang digunakan oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W. Antaranya ialah:

1. Al-Ma'thur
2. Al-Battar
3. Zulfakar
4. Hatf
5. Al-Mikhdam
6. Al-Rasub
7. Al-Adb
8. Al-Qadib
9. Qa'li

Gambar: Pedang dan busur panah yang digunakan oleh Rasulullah satu masa dahulu.


-HE-

MUHAMMAD SAW: A TO Z



Ramai yang pernah mendengar nama ini. Ramai yang mengetahui siapa baginda. Ramai yang ingin mengenal dengan lebih dekat peribadi baginda. Oleh itu saya menceritakan sedikit tentang diri seorang Rasul bernama Muhammad SAW.

----------------------------------

Tanggal 12 Rabiulawwal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 M, lahirlah dari kalangan suku Qushai kaum Quraisy seorang bayi yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Bayi inilah kemudiannya yang ketika dewasanya menjadi Rasul penyelemat bangsanya dan seterusnya, ke serata pelusuk dunia.

----------------------------------

A. Baginda diberikan nama Muhammad oleh datuknya, Abdul Mutalib yang pada ketika pembesar Mekah (suku Qushai sebelumnya berjaya merampas tampuk kekuasaan dari suku Khuza'ah). Nama baginda membawa maksud "Yang Terpuji".

Baginda membawa nama ini dengan baik sehingga pada usia remaja dan dewasanya baginda amat terkenal dengan sikap jujur dan amanah. Kerana sikap ini baginda diberi gelaran As-Saddiq (Yang Benar) dan Al-Alamin (Yang Dipercayai). Baginda dipercayai bukan sahaja oleh sukunya, tetapi juga suku-suku lain termasuk yang bermusuh dengan suku Qushai sendiri.

Kepimpinan dan kepintaran baginda terbukti semasa baginda menjadi hakim menentukan siapa diantara 4 pembesar dari kabilah berbeza yang patut meletakkan Hajarul-Aswad kembali ke tempatnya dia Kaabah.

Ciri-ciri ini tepat dengan wahyu yang tertulis di dalam Book of John, chapter 14 dan 1, bahawa akan tiba seorang Nabi yang dipanggil sebagai "Spirit of Truth" dan "Comforter" atau "Advocate".

----------------------------------

B. Baginda dilahirkan dari keturunan Nabi Ibrahim AS menerusi anak pertamanya, Nabi Ismail AS dan seterusnya kepada sebuah kaum yang amat disegani di Mekah waktu itu iaitu kaum Quraisy. Melalui susur-galur, keturunan baginda dapat dijejaki sehingga ke Nabi Ibrahim AS sendiri.

-----------------------------------

C. Baginda berjuang mempertahankan perintah Allah, sebagaimana orang-orang dan Rasul terdahulu sebelumnya. Ini apa yang dikatakan baginda semasa menerima wahyu dari Malaikat Jibrail.

Katakanlah: "Marilah aku bacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahu pun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

Al-An'aam, QS, 6 : 151

-----------------------------------

D. Rasulullah SAW di dalam kehidupannya memberikan sepenuh komitmen kepada melaksanakan semua yang terkandung di dalam Al-Quran. Kerana itu apabila ditanya oleh sahabat kepada isteri Baginda Aisyah RA apakah akhlak baginda. Aisyah akan menjawab "Akhlak Rasulullah ialah Al-Quran.

Baginda semasa hidupnya menyembah Allah yang Esa (Satu), membenarkan kitab-kitab dan Rasul-Rasul yang sebelumnya iaitu:

Taurat (Musa): Exodus chapter 20 dan Deuteronomy chapter 5

Injil (Isa): Mark chapter 12 verse 29

"Dia menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,

sebelum (Al Quran), menjadi petunjuk bagi manusia, dan Dia menurunkan Al Furqaan. Sesungguhnya orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah akan memperoleh seksa yang berat; dan Allah Maha Perkasa lagi mempunyai balasan."

Ali 'Imran, QS, 3 : 3-4

------------------------------------

E. Baginda menyeru umat baginda untuk mentaati Allah, melaksanakan perintah-Nya seperti yang telah diwahyukan Malaikat Jibrail. Baginda mengajarkan apa yang dipanggil sebagai 'pokok-pokok akhlak yang baik'

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."

An-Nahl, QS, 16 : 90

-------------------------------------

F. Rasulullah SAW sangat memelihara dirinya. Semasa hidup baginda, baginda menjaga dirinya dan berlepas dari mana-mana penyembahan berhala seperti yang dilakukan oleh kaumnya. Baginda kemudiannya menyeru kepada umatnya untuk menyembah Allah, Tuhan kepada Adam, Nuh, Musa, Isa; dan Rasul-Rasul yang sebelumnya.

"Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus."

Al-Bayyinah, QS, 98 : 4-5

Baginda melarang sebarang penyembahan kepada berhala atau apa jua bentuk imej yang melambangkan Tuhan. Baginda menentang keras kerana ianya menimbulkan banyak kompleksiti dan merendahkan sendiri martabat Tuhan.

------------------------------------

G. Baginda sangat menjaga nama Allah. Baginda tidak pernah sesekali mempergunakan nama itu sesuka hati dan tidak pernah menggunakan nama itu menurut hawa nafsunya.

Baginda juga melarang sekeras-kerasnya umat baginda mempergunakan nama Allah sewenang-wenangnya, malah menggalakkan mereka memakai nama Abdullah (hamba Allah). Ini sejajar dengan saranan baginda iaitu:

"Segala amalan/perbuatan, yang tidak didasari/dimulakan dengan nama Allah, maka perbuatan itu tertolak/terbatal"

Begitu tinggi ke-Esaan Allah itu ditunjukkan dengan perbuatan baginda menjaga nama-Nya.

--------------------------------------

H. Rasulullah SAW juga menjaga ibadah sepertimana moyangnya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ini dibuktikan melalui surah Al-Baqarah. Bacalah firman di bawah ini dengan perlahan-lahan dan selami maksudnya:

"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim".

Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat shalat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan yang sujud".

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: "Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali".

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang saleh.

Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Tunduk patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam".

Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".

Al-Baqarah, QS, 2 : 124 - 132

-----------------------------------------

I. Rasulullah SAW melaksanakan ibadah yang sama seperti mana Rasul-Rasul terdahulu beribadah, tunduk ke tanah dan sujud sambil berdoa dan mengesakan. Baginda ketika itu akan mengadap ke arah Jerusalam sehinggalah turunnya wahyu Allah yang menerangkan tentang penukaran kiblat ke arah Kaabah.

"Orang-orang yang kurang akalnya diantara manusia akan berkata: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah: "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus"

Al-Baqarah, QS, 2 : 142

----------------------------------------

J. Rasulullah SAW juga memperjuangkan hak-hak kemanusiaan yang pada ketika itu banyak salah-laku. Terhadap golongan hamba dan ibubapa, hak-hak golongan anak yatim dan semestinya hak-hak seorang isteri.

Antara larangan yang selalu diingatkan Rasulullah ialah jangan seorang anak itu berkata walaupun "Ah.." kepada ibubapa semasa dalam menjaga mereka.

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia"

Al-Israa', QS, 17 : 23

------------------------------------------

K. Rasulullah SAW adalah pelindung yang tegas dalam menjaga hak-hak dan menaikkan martabat anak yatim dan fakir miskin. Dan kepada sesiapa yang tidak menjaga amanah dan tanggungjawab ini, baginda menyatakan, janganlah diimpikan syurga itu.

Rasulullah menggalakkan berjihad dengan harta dan diri untuk golongan ini. Baginda mengingatkan:

"Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

Al-Baqarah, QS, 2 : 274

--------------------------------------------

L. Antara larangan keras Rasulullah SAW lagi ialah berkenaan hak-hak wanita. Rasulullah melarang keras untuk diambil wanita sebagai isteri tanpa persetujuan mereka. Rasulullah mengingatkan lagi, jangan sesekali berkahwin dengan seseorang wanita itu dengan niat untuk mengambil hartanya atau menumpang kesenangannya.

"Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak"

An-Nisa, QS, 4 : 19

Dari firman ini juga kita dapat melihat bahawa terdapat larangan keras untuk melakukan keganasan terhadap wanita.

------------------------------------------

M. Rasulullah memerintahkan supaya lelaki menjaga kepentingan wanita, mencari nafkah dan melindungi mereka, baik mereka itu ibu, isteri, adik-beradik (sendiri dan isteri), anak perempuan malah wanita-wanita lain yang layak dibantu, samada Muslim ataupun tidak.

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan peringatkanlah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."

An-Nisa, QS, 4 : 34

------------------------------------------

N. Rasulullah SAW juga melarang sekeras-kerasnya pembunuhan mereka yang tidak bersalah.

"Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

Al-An'aam, QS, 6 : 151

-----------------------------------------

O. Rasulullah juga melarang umatnya melakukan zina, samada yang belum berkahwin dan larangan itu lebih berat bagi yang sudah berkahwin.

"Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui."

Al-A'raaf, QS, 7 : 33

-----------------------------------------

P. Baginda melarang sekeras-kerasnya penggunaan Riba' di dalam pinjaman sepertimana Nabi Isa melarang keras juga perbuatan ini berabad sebelumnya. Rasulullah menegaskan Riba' ini ialah penyebab utama kepada kejatuhan ekonomi dan ianya telah terbukti zaman-berzaman.

Baginda menganggap perbuatan ini antara yang terkutuk dan terkeji, dan ianya merosakkan iman kita dengan Allah SWT.

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.

Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya."

Al-Baqarah, QS, 2 : 275 - 279

----------------------------------------

Q. Rasulullah melarang sekeras-kerasnya perjudian. Pada baginda, judi ini seperti riba', cuma ianya lebih cepat.

"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya." Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: " Yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir"

Al-Baqarah, QS, 2 : 219

Rasulullah menegaskan judi ini akan membawa kepada permasalahan yang besar, bukan sahaja kepada diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat. Ia akan menyebabkan cara manusia itu berfikir berubah kepada sesuatu yang tidak fitrah.

-----------------------------------------

R. Baginda melarang lagi sekerasnya pengambilan minuman yang memabukkan.

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). "

Al-Maidah, QS, 5 : 90 - 91

------------------------------------------

S. Antara perkara yang dibenci baginda ialah fitnah dan mengadu-domba. Baginda akan berpaling dari mendengar perkara sebegini.

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

Al-Hujuraat, QS, 49 : 6

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

Al-Hujuraat, QS, 49 : 11 - 12

---------------------------------------------

T. Rasulullah SAW juga menggalakan supaya banyak memberi (derma dan sedekah). Baginda juga ada menyarankan kepada sahabat untuk melupakan hutang dan menganggapnya sebagai derma. Baginda berkata haraplah rahmat dari Allah SWT sebagai rahmat yang lebih besar.

"Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)."

Al-Baqarah, QS, 2 : 280 - 281

Baginda juga menjaga kepentingan fakir miskin. Menjadi pelindung kepada anak yatim, balu dan mereka yang di dalam perjalanan.

"Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.

Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya."

Adh-Dhuhaa, QS, 93 : 9 - 10

"Berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui"

Al-Baqarah, QS, 2 : 273

-------------------------------------

U. Rasulullah SAW mengajar manusia bagaimana untuk mengatasi kesusahan dan ujian yang paling ekstrem. Iaitu dengan kesabaran dan sikap dan akhlak yang baik. Hanya dengan cara inilah baginda berkata yang kita akan menemui jalan keluar dan kefahaman terhadap ujian itu.

Baginda merupakan contoh terbaik umat manusia tentang kesabaran dan sikap merendah diri. Sesiapa yang mengenali baginda, sahabat atau musuh akan mengakuinya.

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Al-Baqarah, QS, 2 : 153

Baginda menganggap setiap kesusahan yang hadir itu adalah kehendak Allah SWT dan kayu ujian untuk diri baginda sendiri.

"Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (kepada Allah-lah kepunyaan kami, dan kepada Dia-lah kami kembali)"

Al-Baqarah, QS, 2 : 155 - 156

------------------------------------------

V. Rasulullah SAW suka berpuasa. Ia, menurut baginda, menjadikan dirinya kekal cergas dan cerdas, pemikiran yang tajam, dan merasakan diri amat dekat kepada Allah SWT.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Al-Baqarah, QS, 2 : 183

------------------------------------------

W. Rasulullah SAW antara penentang kepada sifat perkauman dan berkabilah-kabilah (parti-parti). Baginda menyarankan penyatuan untuk semua bangsa Arab.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Al-Hujuraat, QS, 49 : 13

"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."

An-Nisa', QS, 4 : 1

--------------------------------------------

X. Baginda sentiasa mendamaikan diantara 2 pihak atau lebih yang sedang bertelagah.

"Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."

Al-Hujuraat, QS, 49 : 9 - 10

----------------------------------------------

Y. Baginda antara yang banyak berdakwah tentang Nabi Isa, Bagaimana mukjizat kelahirannya adalah antara mukjizat paling hebat dan Mariam adalah antara ciptaan agung Allah SWT. Baginda juga selalu berdakwah kepada kaum Yahudi di Madinah dengan mengatakan Nabi Isa itulah yang Al-Masih yang disebut di dalam Taurat (Old Testament).

Baginda juga menceritakan kepada mereka tentang mukjizat Nabi Isa yang antaranya menyembuhkan kusta, menyembuhkan buta dan juga menghidupkan yang mati seizin Allah SWT. Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa Nabi Isa tidak mati dan akan kembali pada akhir zaman.

----------------------------------------------

Z. Baginda melarang pembunuhan tanpa alasan kukuh. Baginda berperang, membunuh atau terbunuh hanya apabila musuh itu benar-benar mengancam nyawa umat Islam. Baginda melarang pembunuhan tawanan dan orang awam yang tidak
berdosa.

Sebenarnya guide ini tidaklah lengkap tetapi saya harap ianya sedikit sebanyak dapat membantu kita mengenal insan yang hebat ini. Bacaan lanjut perlu dibuat jika ingin lebih mendalami sirah baginda.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.


- Jamalee Bashah -

Newer Posts Older Posts Home

Blogger Template by Blogcrowds