The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

MAULIDUR RASUL – LEGASI RASULULLAH SAW



Nabi Muhammad SAW merupakan manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Baginda merupakan inspirasi yang merupakan tunjang kepada pelbagai masyarakat, dimana selepas kewafatan baginda, Islam telah berkembang ke seluruh dunia sambil menerapkan ilham-ilham dalam pembentukan ilmu dan seni bina yang melambangkan sesuatu kebudayaan.

Kepada lebih daripada 1.5bilion orang Islam, baginda merupakan cahaya terakhir yang datang daripada susur galur kenabian dan tidak ada lagi rasul selepas baginda. Sayangnya, nyawa baginda hanyalah satu. Pemergian baginda memang dirasai sehingga kini, terutamanya setelah Malaikat Jibrail as bertemu dengan baginda buat kali kedua untuk tahun tersebut.

Pada hari ini, baginda masih lagi hidup bersama kita dalam bentuk legasi yang ditinggalkan pada bahu setiap orang yang mengangkat shahadah:

“Tiada Tuhan Melainkan Allah, bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah.”

Usaha-usaha beliau daripada Piagam Madinah sehingga Perjanjian Hudaibiyah yang menerapkan tatanegara Islam berprinsipkan kesatuan masih lagi berkumandang di muka buku sejarah. Akan tetapi, apakah Islam pada hari ini menguasai separuh daripada inspirasi ini? Apakah Islam pada hari ini bersatu seperti bagaimana Rasulullah SAW menundukkan sistem berpuak yang sangat ketara kejahilan kaum Quraish kepada kedaulatan yang berpanjikan akhlak dan akidah?

Legasi yang berjaya menghalang kejayaan gerakan-gerakan Katolik ketika Perang Salib seolah-olah telah menemui jalan mati setelah Empayar Uthmaniyah berkecai akibat Perjanjian Sevres pada kesudahan Perang Dunia Pertama. Berikut bermulanya penguasaan Barat dalam pelbagai bidang, seolah-olah Matahari telah terbit di kawasan mereka.

Nama-nama bukan Islam seperti Joseph Murgas, Albert Einstein, Sir Isaac Newton, Dmitri Mendeleev, Nikolai Lobachevsky, Konstantin Tsiolkovsky, Alexander Popov, Charles Darwin, Friedrich Golz dan Heinz Haber telah menenggelamkan senarai panjang ilmuwan-ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina, Abu Rayhan (Al-Biruni), Abu Yusuf Yaqub (al-Kindi), Mirza Muhammad Taragay (Ulughbeg) dan Abu Nasir (al-Farabi), sedangkan mereka ini merupakan pelopor-pelopor kepada perubatan, metafizik, falsafah, matematik, astrologi dan astronomi.

Dari segi politik pula, pemikir seperti Saidina Umar telah digelapkan untuk membuka tirai kepada Karl Marx, Vladimir Lenin, Mikhail Gorbachev, Ronald Reagan, dan John F. Kennedy, sedangkan Saidina Umar telah menerapkan sistem unitari dimana kuasa utama diberikan kepada Khalifah, dan di wilayah-wilayah yang telah terbahagi untuk memudahkan pengurusan pula mempunyai perbadanan pentadbirannya sendiri. Yang paling teruk, prinsip-prinsip Adolf Hitler pula kini sedang dicontohi, sekaligus membelakangkan insan yang menyuap roti kepada seorang pengemis Yahudi.

Kuasa-kuasa Yang Bukan Islam kini mempunyai perikatan ketenteraan dan gagasan ekonomi yang kukuh seperti UN, EU, EAU, CIS, NATO, CSDP, SCO dan CSTO. Dan sebahagian daripada juga telah menguasai sistem kewangan sehingga dinar emas telah dibenamkan untuk membuka laluan kepada sistem kewangan FIAT. Secara anehnya, mereka pula yang mendahului negara-negara Islam yang mempunyai Liga Arab, OIC dan OPEC dari segi ilmu, teknologi, kesatuan, dan penguasaan.

Amat mengejutkan, sebuah negara di Timur Tengah yang dikelilingi musuh telah berjaya membentuk ekonomi dan ketenteraan mereka berdasarkan dasar-dasar progresif dan diplomasi yang begitu efektif sekali. Ya, negara tersebut adalah Israel, dimana sekeliling republik Yahudi tersebut menunjukkan zon-zon merah yang menandakan Kebangkitan Dunia Arab, Perang Saudara Syria dan Konfli Fatah-Hamas.

Kesatuan seperti Republik Arab Bersatu (UAR) antara Mesir dan Syria pula hanya bertahan selama tiga tahun sahaja akibat kegagalan Gamal Abdel Nasser untuk membentuk sistem politik yang sesuai untuk kedua-dua republik tersebut. Kini, republik-republik yang telah dibedilkan oleh kuasa-kuasa kapitalis ketika Perang Dingin sedang bangkit semula untuk membentuk Kesatuan Eurasia (EAU), dan perjalanan mereka dilihat semakin positif kearah kejayaan.

Mungkinkah perpecahan merupakan faktor utama kepada masalah ini? Pada zaman ini, ramai yang menyempitkan pemahaman mereka kepada perkataan “ulama’”. Mereka berpendapat bahawa ulama’ merupakan agamawan sahaja. Tetapi, ulama’ pada dasarnya merupakan cendekiawan, termasuk juga cendekiawan-cendekiawan sains yang wajar digelar sebagai ulama’.

Ilmu-ilmu seperti kimia, perubatan, geografi, fizik, biologi dan sebagainya sebenarnya merupakan ilmu yang boleh dibawa ke akhirat. Sebagai contoh, kalau anda menulis kertas kerja tentang geografi yang akan digunakan satu masa nanti untuk menghalang daripada berlakunya banjir atau tanah runtuh, bukankah itu boleh dijadikan “saham akhirat”? Apabila wujud pahala dalam sesuatu hal, bukankah itu sudah menjadi jalan ke akhirat?

Pada hari ini, nama Islam dan Muhammad sentiasa dicalar dengan perjuangan fundamentalisme dan radikalisme. Serangan 11 September dan pengeboman seperti di Boston dan Volgograd kini disulami dengan nama yang paling mulia, iaitu Muhammad. Islam semakin dipandang hina.

Dimanakah silap kita?

a)         KELAHIRAN DAN KERASULAN

Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan kepada Kaum Hashim dalam wilayah yang sarat dengan pertembungan puak. Pada ketika itu, puak-puak Arab boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang terumbang-ambing dibawa arus masalah-masalah sosial. Mereka juga berada di antara kuasa terakhir Empayar Rom iaitu Empayar Byzantium ke Utara, dan Empayar Sassanid ke Timur.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW sebelum kerasulan baginda telah dicalar dengan berbagai-bagai dugaan yang akan mengukuhkan identiti dirinya. Setelah kemangkatan ayahanda dan ibundanya, baginda dibesarkan oleh datuknya, kemudian bapa saudaranya, Abu Talib, yang merupakan ketua kepada Kaum Hashim. Ketika bersama bapa saudaranya, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu perniagaan berdasarkan disiplin dan kejujuran.

Sifat-sifat terpuji ini terkandung dalam jasad baginda mungkin kerana hatinya yang sudah dibersihkan oleh malaikat ketika usia baginda masih kecil. Apa yang boleh diungkapkan juga, sifat ini merupakan punca kepada pertemuan baginda dengan Siti Khadijah dan Malaikat Allah, Jibrail as.

Kebudayaan Arab pada ketika itu sentiasa mengamalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam, sekaligus perkara-perkara yang tidak serasi dengan psikologi baginda. Dan baginda akan bersendirian untuk beramal ibadat, dimana baginda telah bertemu dengan Malaikat Jibrail as, menandakan titik permulaan kepada agama Allah iaitu Islam.

Tetapi, seperti yang kita tahu, Islam pada ketika itu boleh diibaratkan seperti seorang bayi yang tidak mampu membesar tanpa bantuan. Orang-orang Islam pula menempuhi pelbagai rintangan daripada kaum Quraish. Ada yang melarikan diri ke Kerajaan Aksum untuk mengelakkan penganiayaan, dimana Raja Ashama yang beragama Kristian telah dituntut untuk menghalau mereka kembali ke Mekah. Tetapi, Raja Ashama bertindak untuk menolak tuntutan tersebut setelah mendengar alunan-alunan ayat-ayat Surah Maryam bagaikan ombak lembut yang membelai hati telah menyentuh perasaan pentadbir-pentadbir Aksum sehingga terkeluarnya air mata mereka.

Berbagai-bagai cara telah dibuat untuk meleraikan Islam yang semakin kuat oleh kerana dakwah lembut dan sabar Rasulullah SAW yang bertentang dengan amalan berhala dan syirik, berikut juga dengan keperibadian baginda yang berperanan seperti “mentor kepada semua”. Puak-puak Mekah bertambah gusar kerana sumber kekayaan mereka berpusatkan di Kaabah, dan kita tahu bahawa Kaabah merupakan kepentingan kepada orang-orang Islam.

Akhirnya, kaum Quraish melancarkan sebuah boikot secara besar-besaran pada tahun 617 yang berkuatkuasa selama tiga tahun sahaja. Objektif utama boikot ini telah gagal, tetapi ianya telah memberi impak yang besar kepada Rasulullah SAW kerana kesusahan yang ditempuhi oleh orang-orang Islam ketika boikot ini telah menyebabkan pemergian Saidatina Khadijah dan Abu Talib.

Setelah kembalinya daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW berdepan dengan rintangan terakhir sebelum tersinarnya titik permulaan kegemilangan Islam. Dengan pemergian bapa saudaranya, tampuk ketua Kaum Hashim telah diberikan kepada Abu Lahab, yang menarikbalik segala perlindungan kaum dan menghalalkan pertumpahan darah suci Rasulullah SAW mengikut tradisi Quraish. Untuk pengetahuan anda, tiada siapa berani mencederakan baginda ketika Abu Talib masih lagi hidup oleh kerana takutkan “hutang darah”.

Tetapi, pada ketika ini, Islam telah diberikan seorang insan yang luarbiasa, iaitu Saidina Umar Al-Khattab, seorang perwira yang berani melaksanakan solat di Kaabah secara terbuka sehinggakan ketua-ketua Quraish hanya mampu melihat dengan penuh perasaan marah, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Disebabkan Saidina Umar, orang-orang Islam berani bersolat di Masjidil Haram tanpa sebarang halangan.

Peristiwa Hijrah merupakan titik permulaan kepada kegemilangan Islam. Bermula pada pertengahan tahun 622, apabila Rasulullah SAW mengetuai orang-orang Islam untuk bergerak secara rahsia dari Mekah ke Yathrib sejauh 300 kilometer. Di Yathrib, Rasulullah SAW telah dialu-alukan secara terbuka dan kemudiannya menjadi hakim untuk menyelesaikan persengketaan Kaum Aus dan Khazraj dan membentuk Piagam Madinah yang menyatukan orang-orang Islam dan bukan Islam kepada tatanegara Islam yang pertama.

Disinilah bertapaknya masjid-masjid seperti Masjidil Quba, Masjid al-Nabawi, dan Masjid al-Qiblatain. Ramai yang memeluk Islam sebenarnya datang dari Yathrib, dan bandar ini juga sudah biasa dengan penyembahan Tauhid oleh kerana kewujudan komuniti Yahudi di sana. Nama Yathrib ditukarkan kepada Madinat al-Nabi (Bandar Nabi), tetapi kemudiannya dikekalkan sebagai Madinah sahaja.

Perkembangan Islam di Madinah telah merisaukan kaum Quraish di Mekah, meledakkan kepada konflik bersenjata antara orang-orang Islam dan tentera Quraish. Tetapi peperangan-peperangan yang dihalalkan oleh Islam dipenuhi dengan pelbagai etika-etika yang meletakkan Islam hanya berperang untuk mempertahankan agama sahaja.

Pelbagai peperangan telah meledak dalam pertembungan dua kuasa ini. Antara yang paling popular adalah Perang Badar Pertama dimana kita menyaksikan kematian Abu Jahal dan Abu Lahab, dan juga Perang Badar Kedua yang memberi kemenangan kepada orang-orang Islam. Serangan ke atas Kaum Qurayza merupakan operasi yang paling berkontroversi dalam karier ketenteraan Rasulullah SAW. Pengkritik-pengkritik Islam mempersoalkan bagaimana seorang Rasul mampu menghancurkan sebuah kaum dengan tindakan yang sangat kejam.

Akan tetapi, pengkritik-pengkritik ini juga telah mengabaikan hakikat sebenar bahawa kaum Qurayza telah berpakat dengan musuh Islam sekaligus melanggar perikatan bersama orang Islam dan dihukum berdasarkan undang-undang Talmud oleh kerana kaum ini beragama Yahudi.

Operasi peperangan ini diteruskan sehinggalah Perjanjian Hudaibiyah telah ditandatangani, membenarkan orang-orang Islam kembali ke Mekah untuk perlaksanaan Umrah dalam keamanan 10 tahun, yang dipelihara dengan baik oleh orang-orang Islam walaupun wujud ketidakpuashatian. Tetapi selepas serangan Kaum Bakar ke atas Kaum Khuza’ah (sekutu Rasulullah SAW), Perjanjian ini telah dibubarkan atas pilihan kaum Quraish sendiri, dan tentera-tentera Islam bergerak untuk menawan Mekah dengan kekuatan mencecah 10,000 orang dalam sebuah serangan mengejut.

Selepas kaum Quraish telah tewas, Abu Sufyan, pemimpin Quraish yang selama ini menentang Rasulullah dalam pelbagai peperangan, telah memeluk Islam kerana berhala-berhala Mekah tidak mampu menghalang Kuasa Allah. Populariti Nabi Muhammad SAW berkembang selepas penawanan Mekah ini. Kejayaan ini diteruskan dengan kejayaan penawanan seluruh Arab, dan sehingga hari ini, Islam masih lagi bertapak di wilayah-wilayah Arab.

b)         CAHAYA KEGEMILANGAN

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, baginda telah memberikan khutbah terakhir yang menyeru kepada semua orang-orang Islam supaya berpegang kepada:

1.         Penjagaan harta benda orang-orang Islam;
2.         Larangan pengambilan riba;
3.         Pengawasan tipu helah Iblis;
4.         Pemeliharaan hak-hak wanita;
5.         Penjagaan rukun-rukun Islam;
6.         Larangan amalan perkauman;
7.         Peringatan bahawasanya tiada Rasul atau Agama Allah selepas baginda;
8.         Penegasan supaya ikut al-Qur’an dan Sunnah.

Perkara ini merupakan tunjang utama kepada Khulafa ar-Rashidin yang berkembang dari Timur Tengah sehingga Utara Afrika, Kaukasus, Asia Tengah, dan Semenanjung Iberia (Sepanyol). Panji-panji ini diteruskan oleh Dinasi Ayyubi, Kesultanan Mamluk, Empayar Seljuq, Dinasti Timur (Tamerlane), Dinasti Hafsid, sehinggalah Empayar Uthmaniyah. Dan pada hari ini, negara-negara Islam telah berpecah seolah-olah usaha-usaha Rasulullah SAW telah berlaku sia-sia.

Dimanakah titik pertemuan yang akan memimpin kita semua ke arah kegemilangan Khilafah? Apa yang jelas, kita hanya perlu mengikuti Perkara Lapan dalam Khutbah Terakhir Rasulullah SAW sahaja.

Tetapi malangnya, setiap negara Islam kini dipecahkan dengan ideologi-ideologi mereka tersendiri: nasionalisme, liberalisme, sosialisme, dan sebagainya, sedang meletakkan jurang yang dalam untuk mengelakkan penyatuan.


Mampukah kita semua disatukan semula kepada sebuah “Kerajaan Agung” yang akan berlaku adil kepada setiap individu? Atau soalan yang lebih relevan, perlukah kita tunggu Imam Mahdi untuk memulakan proses-proses tersebut? Pendapat saya, pendekatan yang lebih logik adalah kita turut membentangkan batu asas kepada “Kerajaan Agung” tersebut – bergerak ke arah kesatuan kerana Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds