The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

KERUNTUHAN EKONOMI ARGENTINA



Apabila disebut tentang Argentina, apa yang keluar di minda orang Melayu secara keseluruhannya? Lionel Messi? Diego Maradona? Mudah kata, negara yang menjuarai Piala Dunia sebanyak dua kali ini tidak berjaya untuk menjuarai kriteria-kriteria politik, sosial dan ekonomi untuk membentuk “negara maju” oleh kerana satu krisis yang serius.

Kita boleh bersetuju bahawa kemelesetan ekonomi akan mengundang kemarahan awam – Revolusi Oktober yang diketuai oleh Vladimir Lenin; Reformasi yang memperjuangkan hak Anwar Ibrahim yang dikatakan dianiayai; Kebangkitan Dunia Arab yang berlaku akibat beberapa sebab yang telah lama berlarutan.

Boleh diakui bahawa Krisis Ekonomi Asia 1997 telah mencalarkan prestasi perkembangan Malaysia. Krisis Malaysia dan Krisis Argentina memang agak sesuai untuk dibandingkan dan dikaitkan oleh kerana bagaimana ianya bermula – pelabur-pelabur asing yang hilang keyakinan atas alasan tertentu.

Bagi Malaysia, pelabur-pelabur asing menarik diri oleh kerana spekulasi yang dilontarkan oleh ‘market speculators’ tentang ekonomi Malaysia. Begitu juga dengan Argentina apabila mereka dilanda krisis yang mengubah landskap ekonomi dan politik mereka.

Prinsip globalisasi merupakan perkara yang perlu diutamakan untuk mengelak daripada berlakunya krisis seperti di Argentina. Kemasukan modal yang banyak sepatutnya mengajar kerajaan supaya berbelanja secara efektif, tetapi di Argentina, perkara sebaliknya yang berlaku [1].

Pada Disember 1, Presiden Fernando de la Rua dan Menteri Kanan Ekonomi, Domingo Cavallo, telah mengumumkan satu dasar yang mengundang kepada deflasi persitaan atas tujuan untuk melindungi sistem kewangan dan mengekalkan pertambatan matawang Argentina kepada dolar Amerika.

Kita diingatkan bahawa Dr Mahathir memulihkan ekonomi dengan penggunaan dasar pertambatan matawang Ringgit kepada dolar Amerika, yang pada asalnya, Dr Mahathir ingin menambatkan matawang Ringgit kepada Dinar Emas menurut sistem kewangan Islam. Tetapi pertambatan kepada emas ini tidak mendapat sokongan daripada sesiapa pun, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Selepas sebuah hyperinflasi, Argentina menambat matawang barunya, peso, kepada Dolar Amerika pada kadar 1 kepada 1. Bank Negara Argentina juga memperkenalkan sebuah dasar pengekalan untuk mengurupkan dolar Amerika kepada peso secara bebas.

Malangnya, dasar ini yang difahamkan untuk mengelak daripada berlakunya inflasi sebenarnya gagal. Tidak boleh didebatkan sama ada ekonomi Argentina memang mempunyai lopak atau tidak, tetapi nasihat-nasihat yang diambil oleh kerajaan Argentina yang datang daripada sumber Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merupakan titik-titik awal yang meledakkan krisis ini [2].

Amaran-amaran yang dibekalkan telah diambilkira oleh kerajaan Argentina tanpa usul periksa. Dan segala inisiatif yang digunakan berdasarkan amaran inilah yang membentangkan karpet merah kepada ekonomi yang bermasalah.

Sementara ekonomi Argentina berada dalam keadaan terumbang-ambing, Wall Street membekalkan sebuah pakej “masa-kepada-riba”, iaitu firma-firma peminjam memberikan masa yang lebih kepada kerajaan Argentina untuk melangsaikan hutang mereka dengan kadar riba yang lebih tinggi [3].

Pelaburan dalam matawang dolar yang masuk dalam negara telah menambahkan simpanan bank-bank kepada purata 60% setiap tahun daripada 1991 sehinggalah 1994, dan kecundang sedikit bagi tahun 1995, sebelum mengorakkan kenaikan 15% dan 20% bagi tahun 1996 dan 1997.

Tetapi pada tahun 1998, ‘belon’ ekonomi Argentina telah meletup, apabila kemasukan dolar Amerika dihentikan oleh kerana kehilangan keyakinan pelabur-pelabur asing bahawa peso tidak akan diisyitharkan ‘devaluation’. Inilah titik perkaitan Malaysia dan Argentina dimana pelabur-pelabur asing telah menarikdiri.

Dengan modal yang ditarik dan kadar faedah yang meningkat, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi suntikan AS$14bilion yang kemudiannya gagal membina semula ekonomi negara. Kemudian datang pula dasar “masa-kepada riba” daripada Wall Street.

Dan kesannya, seperti yang dijangka, akan merosakkan ekonomi Argentina. Dengan pengurangan kemasukan pelaburan, pemilik-pemilik akaun simpanan negara pula telah hilang keyakinan dengan sistem perbankan. Deflasi kredit bermula apabila deposit-deposit simpanan telah mengecut pada kadar 17% (kerugian AS$14.5bilion).

Dari sini bermulalah ‘bank run’ apabila pemilik-pemilik akaun simpanan bermula untuk mengosongkan akaun mereka. Lebih kurang AS$2bilion telah dikeluarkan daripada AS$5.5bilion simpanan. Kemudiannya, pihak-pihak bank hanya dibenarkan untuk memberi pinjaman dalam nilai dolar Amerika sahaja.

Untuk mengawal struktur ekonomi, dasar Presiden Fernando de la Rua memperkenalkan halangan pengeluaran yang tidak lebih daripada AS$250 setiap minggu dalam masa 90 hari. Bagi sektor antarabangsa, kerajaan Argentina memperkenalkan dasar regulasi ketat kepada semua penghantaran wang melebihi AS$1,000, dan juga penahanan kepada sesiapa yang cuba mengeluarkan wang daripada negara melalui penerbangan atau perkapalan.

Pemilik-pemilik akaun masih lagi mampu mengakses simpanan mereka melalui cek dan kad debit untuk membuat bayaran, tetapi seperti yang kita mampu fikirkan, dasar ini akan memberi impak kepada rakyat-rakyat miskin yang tidak mempunyai kad-kad debit/kredit. Dengan rakyat biasa tidak boleh mengeluarkan tunai, dasar deflasi persitaan ini sudah tentunya akan menghentikan banyak perniagaan runcit [4].

Seperti yang dikatakan tadi, sebarang kemelesetan ekonomi akan mengundang kepada keganasan awam. Mogok-mogok dan kes curian menular yang mengancam nyawa ramai rakyat dan juga memberi impak kepada perniagaan-perniagaan swasta. Dengan penularan keganasan ini, Presiden de la Rua terpaksa meletakkan jawatannya [5].

Dibawah pentadbiran Presiden Eduardo Duhalde, yang melantik Jorge Remes Lenicov sebagai Menteri Kanan Ekonomi, kerajaan Argentina mengukuhkan lagi deflasi persitaan yang telahpun dilancarkan. Duhalde membekukan semua akaun-akaun simpanan yang melebihi AS$3,000 selama setahun. Pemilik-pemilik akaun yang melebihi AS$5,000 pula terpaksa dibekukan selama lebih daripada setahun.

Tindakan pembekuan ini memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 1/3 daripada simpanan AS$67bilion, dimana AS$23.5bilion kekal dibawah peso. Tujuannya adalah kerana matawang peso tidak mampu ditambat kepada dolar pada kadar 1 kepada 1. Nilainya sudahpun jatuh sebanyak 30% sehingga 1.40pesos kepada 1 dolar.

Dasar pembekuan ini ditemui dengan pelbagai pendapat. Lenicov berpendapat bahawa pembekuan ini memang penting untuk menjaga sistem simpanan yang sudahpun bankrap [6]. Ahli-ahli ekonomi dan media menganggapnya sebagai dasar austerity, tetapi rakyat-rakyat yang bernasib malang menerimanya sebagai rompakan beramai-ramai yang dianggotai oleh ahli-ahli politik.

Sementara Dunia menyambut sambutan Tahun Baru, Argentina kekal di dalam lohong hitam krisis yang bertambah teruk lagi. Presiden Duhale mengizinkan bank-bank untuk menebus semua simpanan-simpanan peso yang telahpun mengecut 40% kepada dolar Amerika. Sebanyak AS$16bilion kuasa belian negara diambil daripada akaun-akaun simpanan untuk dijadikan aset bank [7].

Sebulan kemudiannya, Mahkamah Tinggi Argentina, secara sebulat suara, memihak kepada rakyat-rakyat yang sedang mengalami kesan-kesan krisis ini. Mereka berpendapat bahawa pembekuan bank telah dilaksanakan tanpa rasional dan melanggar hak-hak kepada harta persendirian.

Keputusan Mahkamah Tinggi Argentina diterima secara negatif oleh Presiden Duhalde. Beliau membalas dengan tindakan untuk menutup semua bank dan mengeluarkan akta untuk menggantung semua halangan terhadap pembekuan daripada mahkamah selama 180 hari. Tindakan-tindakan ini, seperti yang dijangkakan, mendatangkan protes daripada rakyat.

Ekonomi Argentina bermula pulih lebih daripada setahun kemudiannya. Kali ini, kerajaan Argentina dengan lantangnya menghalang pencampuran firma asing, terutamanya dari Wall Street. Menteri Kanan Ekonomi sekarang, Roberto Lavagna, berkata kita semestinya memberi fokus yang lebih kepada gelembung-gelembung ekonomi.

Apa yang boleh dirumuskan adalah, setiap negara mempunyai struktur ekonomi yang berbeza, dan nasihat atau amaran daripada perbadanan antarabangsa tidak semestinya akan mendatangkan kebaikan atau juga keburukan. Seharusnya, Ketua Kerajaan setiap negara perlu mengetahui ekonomi negaranya lebih daripada sesiapa pun.

Begitulah Dr Mahathir, Vladimir Putin dan Dmitry Medvedev mampu mencerahkan semula jalan ekonomi negara masing-masing yang pernah kegelapan.

Ekonomi Argentina merupakan contoh yang terbaik bagi setiap negara. Kini, Argentina berjaya menjadi negara yang berpendapatan sederhana yang tinggi.


RUJUKAN:

[1] Data daripada “the Specter of Capital Flight: How Long Will the Dollar Protect the United States?” | Marie Christine Duggan;

[2] Data daripada “Argentina Didn’t Fall on Its Own” (Early Warning) | Paul Blustein, Washington Post;

[3] Data daripada “Argentina Didn’t Fall on Its Own” | Paul Blustein, Washington Post;

[4] Data daripada Reuters, "Riots and Looting in Argentina as Austerity Plan Bites," The New York Times on the Web, (Disember 19, 2001);

[5] Data daripada “Argentine President Resigns” | BBC;

[6] Data daripada “The Free Market: Why the Peso Melted” | Joseph T. Salerno;

[7] Data daripada "Argentina Will Pay Bank Deposits in Pesos" | Marc Lifsher dan John Hechinger, The Wall Street Journal (Januari 21, 2002).


-- AFDS --

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds