The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

WAHAI ANAK MUDA MELAYU, BANGUNLAH ! JANGAN LAYU LAGI !




Dewasa ini, semakin ramai anak muda kita telah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak kira di dalam atau di luar negara. Hal ini merupakan perkembangan yang positif kerana graduan-graduan ini bakal meneraju negara pada masa hadapan. Golongan inilah yang wajar dilatih dengan semua kemahiran yang diperlukan.


BERKUALITIKAH

Namun adakah ilmu yang diperoleh berjaya melahirkan modal insan yang berkualiti ?


Saya yakin, ramai anak muda di luar sana masih tercari-cari peluang pekerjaan. Setiap hari, kalian berusaha untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan hutang PTPTN yang masih belum dibayar, keinginan berbelanja seperti rakan-rakan lain yang sudah memperoleh pekerjaan, juga mahu menempuh alam perkahwinan. Teruskan usaha, rezeki dari Allah. Dengan syarat, kita kena dan perlu berusaha sehabis baik.


Berbalik kepada topik di atas, ada sesetengah anak muda tidak mahu mengambil inisiatif bekerja di dalam sektor swasta. Ya, peluang yang dijanjikan tidak seindah seperti dalam bidang sektor awam.


REBUTLAH

Namun, rebutlah peluang wahai anak muda. Banyak kebaikan yang bakal diperoleh. Kemahiran anda bakal teruji apabila menggunakan sistem yang disediakan oleh pihak majikan anda. Kecekapan anda mengendalikan sesuatu masalah yang muncul sebenarnya menguji anda untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Kemahiran berbahasa Inggeris juga teruji apabila anda berkomunikasi dengan pembekal anda, pelanggan anda dan kawan-kawan sekerja anda. Sementelahan lagi, jika anda berurusan dengan pelanggan dari luar negara, sudah tentunya anda lebih bijak dalam menilai sifat-sifat mereka mengikut bangsa, perbezaan waktu bekerja (time-frame), komitmen terhadap perjanjian yang telah dimerterai, kadar tukaran wang, dan seumpamanya yang bersifat global.


Apa yang anda belajar suatu ketika dahulu, hanyalah asas kepada setiap perkara. Realitinya, bagaimana anda berhadapan dengan semua cabaran ketika bekerja, itulah sebenarnya isi paling utama atau mantel atau teras kepada peningkatan kemahiran atau skil anda.


Jadi, jangan malu, teruskan berusaha, gapai kegemilangan. Capai kejayaan yang diingini. Semua orang berhak untuk berjaya.

Sekian.



-AH-

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds