The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 14 January 2014

FUNAN: TAMADUN PURBA BANGSA MELAYU DI INDOCHINA



Dalam kita memperkatakan tentang kerajaan Melayu manakah yang tertua di dunia? Pertanyaan ini boleh membawa kita kepada kerajaan legenda yang setua Atlantis dan Lemuria lagi, malah mungkin membawa kita kepada tinggalan Nan Madol, tetapi biarlah kita ke tepikan soal itu buat sementara, kerana kita sedang bercakap dalam lingkaran sejarah mainstream, yang bermaksud kita sedang bercakap mengenai kerajaan yang mempunyai bukti kukuh mengenai kewujudannya.

Saya mempunyai empat jawapan dalam memperkatakan mengenai kerajaan-kerajaan Melayu terawal ini kerana para sejarawan seringkali berbeza pendapat dan tiada tarikh khusus dalam memperkatakan mengenai kerajaan-kerajaan Melayu yang terawal.

Saya datang dengan empat jawapan iaitu, Funan, Chih Tu, Langkasuka/Lembah Bujang/Kedah Tua dan Champa. Kenapa empat kerajaan ini? Kerana empat kerajaan ini mempunyai bukti arkeologi yang kuat, juga mempunyai sumber kukuh untuk kita terus melabelkan sebagai kerajaan terawal yang mungkin milik orang Melayu.

Funan Milik Melayu

Kita mulakan dengan Funan. Sebenarnya para sejarawan berbeza pendapat apakah Funan ini milik orang Melayu ataupun bangsa pribumi asia tenggara yang lain iaitu Khmer. Sebab itu kita harus meneliti sumber-sumber sejarah yang membangkitkan nama Melayu dengan Funan, serta pendapat beberapa orang sejarawan.

Pertama, kita harus lihat di mana asal usul serta lagenda kerajaan Funan itu sendiri yang memetik bahawa pengasas kerajaan mereka adalah “Naga”. Diceritakan dalam lagenda Khmer bahawa ketika Kaudinya melarikan diri daripada bapanya, Putera Kaudinya sampai ke sebuah pulau yang bernama Kok Thok atau dikenali sebagai “Land Of Tree” dan bertemu dengan Naga yang sebenarnya telah menghuni lama tanah ini. Lagenda “naga” yang cuba disampaikan di sini kononya adalah ular dalam bahasa Melayu kita dan ular ini telah membuatkan Kaudinya jatuh cinta kepadanya. Ayah kepada Puteri Soma itu, Raja Naga telah merestui perkahwinan Kaudinya dan anaknya, Puteri Soma. Raja Naga telah menghadiahkan sebuah tanah kepada Kaudinya dan Puteri Soma dan tanah itu dikenali sebagai Kerajaan Funan.

Dalam rekod sejarah pula, kisah ini sebenarnya pernah dicatatkan oleh K’ang T’ai, seorang utusan yang melawat China, beliau mengatakan bahawa kerajaan Funan itu asaskan oleh seorang raja bernama Kaudinya dan seorang puteri bernama Naga. [1]

Apabila kita membaca kisah awal di mana Kaudinya dikatakan mungkin berasal daripada India, Semenanjung Tanah Melayu ataupun Kepulauan di nusantara itu. Tetapi, jika mengatakan bahawa Kaudinya berasal daripada India, tiada pula rekod mengenai mana-mana tamadun India mendakwa bahawa Kaudinya itu berasal daripada tamadun mereka.

Namun, apabila kita mula menjenguk rekod sejarah di kawasan Asia Tenggara ini, maka kita akan mula mendapati terdapat sebuah dinasti yang mendakwa bahawa mereka adalah daripada keturunan Funan.

Menurut G.Coedes, beliau mengatakan bahawa kemungkinan besar bahawa Sailendra, sebuah keluarga Melayu yang memerintah Kepulauan Jawa di bawah naungan empayar Srivijaya adalah berasal daripada Funan itu sendiri. Hujah Coedes berasaskan gelaran “mountain king” yang digunakan oleh keluarga Sailendra sebenarnya merupakan gelaran yang telah digunakan oleh pemerintah dan raja-raja Funan sejak awal abad masihi lagi. [2]

Bercakap mengenai Sailendra, memang terdapat pendapat lain mengatakan bahawa keluarga ini merupakan asal daripada India dan menetap di Pulau Jawa, dan terdapat teori lain pula mengatakan bahawa Sailendra bukan orang Melayu, tetapi kita akan membincangkan mengenai Sailendra ini pada masa yang akan datang, merungkai pendapat setiap sejarawan mengenai Sailendra.

Turut sependapat dengan teori yang mengatakan bahawa Funan itu adalah diasaskan oleh orang Melayu ialah sejarawan yang bernama D.G.E Hall yang tegas mengatakan bangsa Melayu adalah pengasas kepada kerajaan yang lebih tua daripada Tamadun Yunani dan Rom ini.

Menurut Hall, terdapat rekod China yang mengatakan bahawa kewujudan rumpun Austronesia di wilayah sekitar Funan dan terdapat bukri arkeologi di mana bangsa Melayu sudah lama mendiami dan menduduki pelabuhan Oceo yang merupakan pelabuhan terkenal Funan. [3]

Asal Usul Perkataan Funan

Lokasi kerajaan Funan ini terletak di lembangan Sungai Mekong dan mula berdiri seawal abad pertama masihi. Tetapi, terdapat rekod dan bukti arkeologi yang membawa kepada penemuan bahawa lembangan Sungai Mekong ini sebenarnya telah dihuni oleh manusia seawal abad keempat sebelum masihi lagi, kira-kira 400 ratus tahun sebelum kelahiran Nabi Isa Al-Masih.

Dengan bukti bahawa Sungai Mekong dihuni sehingga awal abad keempat sebelum masihi lagi membuktikan bahawa kemungkinan besar Funan boleh dikategorikan sebagai antara kerajaan terawal dan permulaan tamadun orang Melayu itu sendiri.

Nama Funan itu sendiri dikatakan diambil daripada bahasa cina wunan/b'iu-nâm yang merujuk kepada gunung [4], sesuai dengan kisah lagenda mengenai kewujudan Funan yang dikatakan diberikan orah Raja Naga yang menghuni sebuah gunung kepada Kaudinya yang datang daripada kepulauan di Selatan Funan dengan anaknya, Puteri Soma.

G. Coades dalam tulisannya turut mengatakan bahawa nama Funan itu dipetik daripada cubaan orang cina untuk menyebut perkataan gunung yang digunakan oleh Khmer iaitu perkataan bnaṃ dan vnaṃ. [5]

Sejarah Ringkas Funan

Kita sering menyangka bahawa permulaan tamadun kita ialah Kesultanan Melaka, di mana sebelum itu orang Melayu adalah bangsa bercawat yang mendiami kawasan hutan dan gua, berburu binatang, tidak ubah seperti kehidupan nomad.

Tetapi sebenarnya ianya adalah percubaan untuk menutup sejarah kita walhal seawal abad pertama masihi lagi, kita sebenarnya tercatat dan diceritakan oleh rekod dinasti-dinasti China yang menceritakan mengenai seorang raja yang begitu hebat menjadi penakluk kepada kerajaan-kerajaan kecil dan memaksa kerajaan lain tunduk di bawah pemerintahannya.

Menurut catatan yang dikeluarkan oleh rekod China, Liangshu, dua orang pedagang daripada China Kang Tai dan Zhu Ying telah menulis mengenai sebuah kerajaan bernama Funan dan tulisan mereka berdua telah diambil sebagai salah satu daripada rekod empayar China ketika itu, mengatakan bahawa seorang raja bernama Fan Shi-man, seorang pahlawan yang sangat hebat dan berpengetahuan tinggi di dalam bidang ketenteraan telah mengerahkan beberapa siri kempen untuk menakluk 10 kerajaan kecil di sekelilingnya di sekitar Thailand, Vietnam dan Kemboja pada hari ini. Fan-shi Man telah membina armada kapal yang sangat besar dan telah menyerang banyak kerajaan di sekitarnya.

Kerajaan yang didirikan oleh Fan-shi Man ini akhirnya melebar sehingga ke 6000 li (ukuran cina lama yang berukuran 1li persamaan dengan 576 meter) dan jika ditukar ke dalam ukuran pada hari ini menyatakan bahawa empayar di bawah Fan-shi Man ini seluas 3500 kilometer. Salah satu daripada kerajaan yang berjaya tunduk di bawah Fan-shi Man ketika itu ialah Langkasuka, Dunsun dan Pan-pan.[6]

Ketika zaman tiga kerajaan, Kerajaan Wu yang dipimpin oleh Sun Quan telah menghantar dua orang pegawai kerajaan China, Kang Tai dan Zhu Ying telah dihantar sebagai utusan kerajaan Wu ke Funan dan mereka telah berjumpa dengan beberapa orang penduduk Funan yang tidak berpakaian dan mendapati bahawa perkara itu adalah tidak sopan dan telah melaporkan pada Raja Funan.

Tidak lama kemudian, raja Funan telah mengeluarkan arahan agar semua harus berpakaian sopan sebagai undang-undang baru kerajana tersebut. Penduduk yang dijumpai oleh dua orang pegawai China ini yang digambarkan hitam dan berambut kerinting ini kemungkinan merupakan orang Negrito yang mendiami Funan. Umum mengetahui bahawa Melayu dan Negrito merupakan penduduk terawal di Asia Tenggara.

Nmaun, hubungan Wu dan Funan tidak lama kerana terdapat rekod di mana peperangan berlaku antara Wu dan Funan serta sebuah lagi kerajaan Melayu, iaitu Champa yang merupakan jiran kepada Funan sehingga satu masa, jatuhnya kerajaan Wu yang kalah peperangan dengan Wei di utara. [7]

Apa yang boleh diulas di sini ialah, ketika zaman seawal abad masihi, sezaman dengan zaman Tiga Kerajaan, yang melibatkan Shu, Wei dan Wu, kita dapat melihat betapa ilmu perang bangsa Melayu itu mampu setanding dengan kerajaan Wu yang kalau kita baca mempunyai ramai panglima perang yang hebat seperti Lu Meng dan Lu Xun.

Seterusnya, selepas fasa tiga kerajaan di China, naiknya kerajaan Jin telah memperlihatkan raja Funan yang bernama Zhuzhantan telah menghantar seekor gajah yang jinak kepada Maharaja Jin Wudi. Namun, orang China mengalami masalah untuk membawa gajah tersebut dan mengawalnya. Sekali lagi, kebolehan kita menjinakkan haiwan seperti gajah dan digunakan dalam peperangan membuktikan bahawa tamadun kita bukan sekecil seperti yang diceritakan oleh buku teks sejarah.

Sejarah menjinakkan haiwan membuktikan bahawa kita ini tiada kurang hebatnya dengan Parsi yang menggunakan gajah perang dalam peperangan, dan kita juga mempunyai rekod yang sama dalam peperangan melawan China kelak, yang akan diulas oleh saya. Bahkan, China sendiri terkejut dengan kebolehan kita menjinakkan gajah dan menjadikannya hadiah kepada maharaja China. Tak hairanlah Wu tidak berjaya mengekang asakan Funan dan Champa.

Selepas itu, China mencatatkan beberapa lagi bentuk perhubungan antara Funan dan China sehinggalah kerajaan ini hilang daripada rekod sejarah, dipercayai telah diserang oleh kerajaan Chenla.

Kesimpulan

Buku teks sejarah yang mengatakan tamadun kita bermula daripada Melaka adalah sebuah pembohongan semata-mata sedangkan kita mempunyai belasan kerajaan yang lebih awal penubuhannya berbanding Melaka.

Bab kecil mengenai Funan telah mengajar kita bahawa sebuah kerajaan seawal abad pertama masihi, bahkan mungkin lebih awal daripada itu memandangkan terdapat rekod arkeologi mengatakan bahawa terdapat penempatan di delta sungai Mekong seawall 400 S.M, lebih awal lagi daripada zaman Alexander The Great.

Kita seterusnya mempelajari mengenai bagaimana kita dicatat dalam rekod China, yang menceritakan tentang keupayaan seorang raja yang mampu membina armada kapal yang sangat besar, dalam fasa waktu abad kedua Masihi membuktikan keupayaan bangsa Melayu itu sendiri, Bahkan kita mampu memberi saingan kepada Kerajaan Wu yang diceritakan dalam sejarah 3kerajaan membuktikan bahawa Melayu bukanlah bangsa yang tidak bertamadun sebelum Melaka yang seperti mana dipercayai oleh segelintir Melayu di luar sana. Siri artikel Kerajaan Melayu Terawal akan terus membongkarkan kehebatan tamadun anak bangsa kita. Di dalam siri dua, kita akan belajar mengenai Champa yang dikenali oleh kerajaan China sebagai Lin-yi.

Rujukan:

1. Dr. Benudhar Patra, Kalinga and Funan : A Study in Ancient Relations, p. 33

2. M. Vickery. 2003–2004. Funan Reviewed: Deconstructing the Ancients. Bulletin de l' Ecole Francaise d' Extreme Orient p. 133

3. M. Vickery. 2003–2004. Funan Reviewed: Deconstructing the Ancients. Bulletin de l' Ecole Francaise d' Extreme Orient p.123

4. M. Vickery. 2003–2004. Funan Reviewed: Deconstructing the Ancients. Bulletin de l' Ecole Francaise d' Extreme Orient p. 125

5. George Cœdès, Les états hindouisés d'Indochine et d'Indonésie, Paris, E. de Boccard, 1948, p.128.

6. Wheatley, P. The Golden Khersonese, University of Malaya Press. 1966


7. Keat Gin Ooi. 2004. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, From Angkor Wat to East Timor volume 1. p.530

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds