The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Sunday 29 December 2013

TELEFON PINTAR DAN REMAJA



Abad ini, memiliki telefon pintar tidak lagi menjadi faktor kemewahan kepada orang ramai amnya dan remaja khasnya. Telefon pintar mejadi pilihan kepada orang ramai kerana ciri ‘ubiquitous’ atau mudah digunakan di mana–mana sahaja. Menempah tiket wayang, meninjau situasi semasa, malahan menghantar email merupakan beberapa contoh yang menunjukkan peri pentingnya teknologi dan orang ramai.


Lihat sahaja ketika berada di tempat awam, masing-masing hanya tertumpu kepada telefon mereka dan tiada lagi kesedaran terhadap apa yang sedang berlaku di sekitarnya. Malahan, membawa telefon pintar ke tandas juga merupakan virus yang sedang melanda semua pengguna telefon pintar. Kita hanya menyedari hal ini berlaku apabila anda mendengar nada WhatApp, wechat, atau “IM” berbunyi di sebelah bilik selesa anda. Terkejutkah anda? Tidak bukan?


Di sebalik pro atau kebaikan yang kita dapati apabila menggunakan telefon pintar, terdapat juga kontra atau sisi negatif terhadap kemudahan ini. Beberapa impak atau kesan tidak baik telah merajai kehidupan setiap pengguna. Mari kita lihat.


i. Tekanan perasaan

Kajian telah dilakukan bagi melihat simbiosis atau perkaitan antara tahap tekanan dengan penggunaan telefon pintar. Hasil kajian mendapati pengguna menjadi tertekan kerana selalu memeriksa akaun email dan juga laman sosial mereka. Bagi remaja, memeriksa update terbaru di akaun Twitter, Facebook merupakan suatu kemestiaan. Oleh sebab itu, ketika berada di kedai makan atau sedang berjumpa dengan rakan-rakan, tumpuan telah dialihkan kepada kemudahan ini. Hal ini merupakan senario yang tidak seimbang kerana bakal mewujudkan persekitaran “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.”


Simptom “phantom vibrations” sebenarnya telah menjangkiti setiap pengguna telefon pintar. Merasakan yang peranti, gajet atau telefon mereka sedang 'vibrate’ tetapi perkara itu tidak berlaku. Kajian yang dilakukan oleh Richard Balding dari Universiti Worceseter menyatakan pengguna (merujuk kepada pekerja) menggunakan telefon pintar adalah bertujuan memastikan produktiviti mereka sentiasa tinggi dan akhirnya menyebabkan mereka sentiasa memeriksa email dan laman sosial mereka. Semakin kerap anda memeriksa, anda akan semakin tertekan.


Ada juga, situasi di mana sebaik sahaja log off dari komputer, mencapai telefon pintar dan log in kembali ke laman sosial tadi. Nah, anda nampak permainannya di situ? Satu hal lagi, apabila anda hendak tidur, masih lagi membaca pelbagai cerita atau update terkini di Twitter atau Facebook. Walaupun cerita berkenaan tidak memberi kesan besar yang memerlukan perhatian segera, namun pengguna masih cekal menekan butang refresh. Lalu berkata kepada diri sendiri, “10 minit lagi, janji !”, sejam sudah berlalu namun masih lagi cekal. Macam biasa bukan? Seharusnya, pada masa ini, anda membaca doa dan merancang untuk aktiviti anda pada esok hari.


ii. Realiti

Seterusnya, mari kita teliti kesan penggunaan telefon pintar terhadap kehidupan sosial seharian. Semakin baik atau harmonikah hubungan realiti terhadap kenalan anda ? Atau diam seribu bahasa tetapi rancak melihat gajet atau telefon pintar masing-masing.


Ingat lagi tidak pada sebuah iklan di mana orang-orang tua geleng kepala melihat remaja atau anak muda sekarang memasang headphone di telinga dan tidak bertegur sapa sedangkan remaja-remaja itu merupakan anak mereka. Sementelahan pula, bapa-bapa mereka merupakan kawan baik bukan? Realitinya, situasi ini telah banyak kita saksikan di mana-mana sahaja.


Contoh seterusnya ialah, situasi komunikasi sekumpulan kenalan yang berada di tempat sama dan duduk semeja, tetapi berbicara melalui medium seperti Twitter dan Facebook. Pernah lihat? Tentunya anda mengangguk bersetuju akan kenyataan ini kerana terlalu biasa melihat kondisi atau keadaan ini.


Situasi lain ialah apabila ke tempat-tempat ibadah, sebagai contoh ketika ke masjid, ceramah-ceramah yang diadakan tidak dijadikan sebagai tumpuan utama akan tetapi pengguna telefon atau gajet pitar ini lebih suka upload gambar dan bertukar-tukar komen di alam maya melalui Facebook dan Twitter, malahan tidak pelik jika sempat lagi untuk pengguna berWhatsApp di situ. Intipati atau input yang sepatutnya diperoleh menjadi hambar dek kerana lelalaian oleh sikap sebegini.


Ke semua situasi di atas merupakan perkembangan yang tidak sihat dan bakal meranapkan nilai-nilai murni seperti saling bertegur sapa, hormat menghormati, semangat setiakawan yang tinggi, dan sebagainya.


Mari wahai remaja khususnya dan orang ramai amnya untuk melupakan sebentar telefon pintar atau gajet anda ketika berada bersama kawan-kawan. Tumpuan terhadap topik yang dibincangkan haruslah ada agar nilai positif ini tidak lapuk ditelan zaman. Siapa lagi yang kita mahu harapkan jika bukan kita yang memulakan dan mengubahnya?


iii. Gaya hidup Barat

Apabila kerap menggunakan telefon atau gajet pintar ini, kandungan yang dibawa sudah tentunya bercanggah dengan nilai ketimuran atau kesantunan kita. Fesyen melampau, seks bebas, dadah (morfin, heroin dan sebagainya), aksi ganas, kebebasan beragama sudah tentu disuntik bagi memastikan visi dan misi merosakkan bangsa-bangsa di dunia ini berhasil.


Masih ingat tak lagi dengan budaya bohsia, bohjan, black-metal dan punk? Hal ini merupakan bahana atau implikasi terhadap kandungan internet yang telah disebarluaskan agar ramai generasi pelapis bakal dirosak dan dipunahkan supaya tiada manusia atau insan yang berkualiti dihasilkan. Lihat, adakah kawan-kawan, jiran-jiran ataupun adik beradik kita telah terkena tempiasnya? Berapa banyak lagi kemusnahan atau keruntuhan nilai kemanusiaan bakal berlaku lagi ? Mahukah kita melihat ini berlaku ? Tepuk dada tanyalah minda dan iman anda. Perkara ini harus dibendung dan tidak dibiarkan lagi.

Justeru, ayuh amalkan gaya hidup sihat. Luangkan masa yang ada bersama kawan-kawan, keluarga, serta orang sekeliling dalam membina persekitaran yang sihat. Gunakan mulut anda untuk berkata-kata dan bergelak ketawa. Janganlah hanya tahu menghantar mesej senyum, orang ketawa, serta beruang yang sedang tergelak kepada rakan-rakan anda. Jangan bina tembok atau blok terhadap perhubungan anda dan orang lain. Nilai bertegur sapa dan beramah mesra harus ada pada setiap masa dan di mana-mana sahaja.


Sesekali, mari kita rasa kembali nikmat beratur panjang ketika membeli tiket wayang dan suasana yang tenang ketika di bilik selesa. Sebenarnya, satu point yang dilihat wajar difikirkan apabila anda sebenarnya menjadi lebih teliti dan selesa dalam merencana aktiviti seharian anda kerana ketika berada dalam zon ketenangan ini, neuron-neuron dalam otak anda akan bercambah dan merencana idea-idea kreatif dan kritis. Lantas, hormon adrenalin atau gembira dihasilkan dan menjadikan anda ceria pada setiap hari.


Akhir sekali, jangan lupa pada malam ini, apabila anda sudah mengantuk, letaklah telefon pintar anda itu di tepi, pejamkan mata dan fikirkan mana yang lebih gembira dan seronok? Adakah senyum seorang diri di hadapan telefon atau bergembira bersama-sama keluarga dan taulan lebih seronok? Untuk mencari jawapan ini, jangan pula mencapai kembali telefon pintar anda.

Semoga semua pengguna telefon dan gajet pintar hari ini sihat mental dan fizikalnya, sekian.

-AH-

[Segmen Science & Tech]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds