The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 25 February 2014

ISA PATUT DIKEMBALIKAN?



Pelbagai pendapat telah ditaburkan mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia yang mempunyai ciri-ciri penahanan tanpa perbicaraan atas tujuan untuk mengekalkan keamanan negara. Walaupun akta ini telahpun dimansuhkan [1] kepada “Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012” (SOSMA)), ianya masih lagi melekat dalam lidah dunia politik Malaysia.

Ramai yang menginginkannya semula oleh kerana keefektifannya dalam pembasmian aktiviti-aktiviti pelampau, tetapi ada juga yang membantah pengembaliannya disebabkan kapasiti besarnya untuk digunakan atas kepentingan politik.

Sebilangan besar daripada parti-parti pembangkang sejak zaman Tan Chee Khoon telah menyuarakan bantahan mereka bahawa akta ini merupakan instrumen bukan demokrasi.

Pada asalnya, ketika pentadbiran Abdul Rahman membentukkan akta ini berdasarkan Ordinan Peraturan Darurat 1948 milik Edward Gent, ianya bertujuan untuk membanteras gerakan-gerakan komunisme, tetapi kita boleh menganalisiskan daripada 10,000 penahanannya dalam tempoh masa 44 tahun bahawa gerakan-gerakan seperti kesatuan pekerja, aktivis-aktivisi mahasiswa dan puak-puak fundamentalisme turut ditahan.

Mungkinkah perkara ini yang dimaksudkan dalam definisi Abdullah Ahmad Badawi bahawa akta ini merupakan “akta zalim yang tidak sepatutnya wujud di Malaysia yang moden”.

Tetapi, pada hari ini, struktur politik negara telah dicalar dengan pelbagai isu berunsurkan sentimen agama dan bangsa, oleh kerana kebebasan bersuara yang terlalu meluas. Tuntutan-tuntutan COMANGO merupakan salah satu aspek yang menggambarkan impak-impak keluasan ini, sehinggakan Amnesty International sendiri mampu memberi penentangan terhadap sebarang sekatan [2].

Dengan ketiadaan akta ini, Dr Mahathir Mohamad telah memberi amaran bahawa tahun 2014 akan menjadi “tahun yang susah” dengan keadaan yang penuh dengan ketegangan antara kaum [3]. Apabila pentadbiran Najib Razak masih lagi berpendapat bahawa struktur politik negara tidak memerlukan akta ini [4], jelas sekali COMANGO tidak akan ditundukkan sepertimana Jemaah Islamiyah dan HINDRAF ditundukkan.

Wujud juga kebarangkalian bahawa pentadbiran Najib menginginkan pembentukan mentaliti rakyat berteknologi tinggi berteraskan liberalisme dan hak asasi manusia.

Perkara ini membawa kita kembali ke akar-akar pencetusan isu-isu sensitif yang meledak kepada Operasi Lalang. Bagaimana satu tindakan kecil mampu berkembang sehingga menjadi gangguan awam, kalau bukan disebabkan perkataan “kebebasan” sendiri?

Kontroversi ini bermula akibat keraguan masyarakat Cina dengan keberkesanan sebilangan pengetua-pengetua dan penolong-penolong kanan tanpa kebolehan bertutur dalam bahasa Cina yang diletakkan oleh Kementerian Pendidikan dalam pentadbiran sekolah-sekolah vernakular.

Kontroversi ini bermula dengan keputusan Kementerian Pendidikan dibawah Anwar Ibrahim untuk meletakkan sebilangan pengetua-pengetua dan penolong-penolong kanan yang tidak memenuhi kelayakan bahasa Cina dalam pentadbiran sekolah-sekolah vernakular Cina.

Daripada sini, sebuah gagasan yagn bernama Dong Zong telah mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur untuk mendesak pentadbir-pentadbir tersebut dikeluarkan melalui ucapan-ucapan provokasi; turut disertai, Parti Tindakan Rakyat (DAP), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Kemudiannya, bahagian UMNO pula telah membalas dengan sebuah perhimpunan yang jauh lebih besar, dimana Anwar Ibrahim mempunyai keinginan untuk mengumpul seramai 500,000 orang, tetapi perhimpunan ini dibatalkan oleh Dr Mahathir selepas seorang tentera Malaysia telah melakukan pembunuhan.

Memandangkan ketegangan perkauman sedang meledak dengan Najib Razak (Ketua Pemuda UMNO) membuat ugutan keras, Dr Mahathir melancarkan penahanan ISA secara beramai-ramai untuk menstabilkan semula keharmonian negara. Pihak pembangkang pula telah mengalas tindakan Dong Zong dengan pendapat bahawa Operasi Lalang merupakan teknik untuk menutup krisis Mahathir-Razaleigh yang sedang memuncak [5].

Tetapi itu sekadar pendapat politik. Mesej yang kita mampu lihat secara sebenar adalah, ketegangan perkauman Operasi Lalang diselesaikan dengan mudahnya tanpa perlu memikir tentang kebebasan bersuara, dimana kebebasan itulah merupakan salah satu faktor, sebelum peranan nasionalisme.

Walaupun corak akta ini tidak berpanjikan demokrasi mutlak, ianya masih lagi berteraskan demokrasi kepada golongan-golongan majoriti yang mahukan keharmonian. Dengan ketiadaan akta ini, pentadbiran Najib telah membuka negara kepada kebebasan yang mampu memberi impak kembali.

Yang dipersoalkan, mampukah akta gantian (SOSMA) memupuk semula keharmonian kalau berlakunya rusuhan secara besar-besaran?

-- AFDS --

RUJUKAN:

[1] http://www.1malaysia.com.my/news_archive/internal-security-act-to-be-abolished-says-najib/
[2] http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-25663863
[3] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/01/09/mahathir-mohamad-freedom-of-speech/
[4] http://www.theborneopost.com/2014/01/13/khairy-no-need-to-revive-isa-its-outdated/#ixzz2qF39RVhr
[5] http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/10/27/youre-wrong-about-ops-lalang-noh/ — with Noorliza Abdul Wahab and 35 others.


[Segmen Current Affairs]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds