The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 25 February 2014

PEMBENTUKAN KUASA YANG PALING BERPENGARUH PADA TAHUN 2015



Perkembangan dunia merupakan satu unsur yang sangat penting. Ianya perlu diambiltahu oleh semua pihak, terutamanya kaum Melayu yang seringkali berkecimpung dengan gelumangan-gelumangan politik domestik. Tanpa mengetahui perkembangan dunia, termasuk juga dengan sejarah, berkemungkinan besar anda akan mengulangi kesilapan-kesilapan negara-negara lain. Dan pada hari ini, krisis-krisis geopolitik di Ukraine dan Thailand telah mendapat perhatian dunia.

Perbincangan tentang Thailand akan dirungkai secara terperinci dalam artikel yang akan datang, kerana landskap geopolitik Ukraine merupakan penentu kepada pembentukan kuasa yang paling berpengaruh pada masa yang akan datang. Kalau berjaya, pemimpin yang beroperasi dari Kremlin akan menjadi pemimpin yang paling berkuasa di seluruh dunia dan akan menundukkan Barack Obama seolah-olah Presiden Amerika Syarikat merupakan biji janggus yang akan diratah dengan mudahnya. Dan perkara ini dijangka akan bermula pada tahun 2015, ketika ekonomi Amerika Syarikat berada dalam keadaan yang nazak.

Orang tersebut, seperti yang ditakuti oleh White House dan Brussels (Kesatuan Eropah), adalah Vladimir Putin, yang telah berjaya memalukan Barack Obama dalam isu Syria. Rusuhan Ukraine boleh dikatakan sebagai usaha Brussels untuk menghalang pembentukan kuasa ini. Rakyat Ukraine berasa tidak selamat dengan kuasa yang dikatakan berdasarkan sejarah mereka bersama Kesatuan Soviet: Holodomor dan Tragedi Chernobyl.

Dua minggu selepas mereka menghiasai jalan-jalan Kiev dengan gerakan-gerakan demonstrasi, peserta pro-Kesatuan Eropah telah mengangkat panji “rusuhan” dengan laungan “Ukraine adalah Eropah”. Perkara ini meledak setelah Presiden Viktor Yanukovych, selepas bertemu Presiden Vladimir Putin secara rahsia, menolak tawaran untuk memasuki Kesatuan Eropah dan bertindak untuk merapatkan hubungan bersama Rusia pula.

Perkara ini merupakan kejutan yang sangat menyakitkan untuk Brussels. Pembubaran Kesatuan Soviet merupakan peluang keemasan untuk penyebaran mereka. Tiga republik telahpun bergerak sebagai ahli bersama Brussels selepas keruntuhan komunisme. Slovakia dibawah Presiden Ivan Gasparovic mempunyai satu masalah yang sangat kritikal.

Gerakan-gerakan sosialis di Malaysia telah tertipu dengan statistik-statistik ekonomi Cuba dan Brazil dalam perjuangan mereka demi pendidikan percuma. Mereka mengabaikan dana dari Kremlin (ketika Kesatuan Soviet) dan cukai yang tinggi. Kalau anda menyangka keadaan sosioekonomi di Slovakia menjanjikan kehidupan yang tenteram, anda telah tertipu dengan statistik-statistik sedemikian.

Walaupun ekonomi Slovakia yang dikelaskan sebagai “high-income advanced republic” dengan rakyat yang lebih berkurangan berbanding Malaysia, rakyat-rakyat sederhana dan miskin telah ditekan dengan jerutan pengaruh Kesatuan Eropah. Tidak mustahil buat seorang lelaki untuk tinggal bersama ibu bapa sehingga usia 40-an kemudian baru berkahwin. Wanita-wanita Slovakia yang sederhana atau miskin semestinya akan menerima pinangan orang-orang kaya untuk mengelakkan kehidupan dalam jerutan Kesatuan Eropah.

Brussels masih lagi sedang mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan. Kos sara hidup semakin meningkat selepas Krisis Ekonomi Zon Eropah. Keadaan kekal kritikal kepada rakyat sederhana dan miskin oleh kerana “kapitalisme zalim” mereka. Perkara sebegini seringkali diabaikan oleh aktivis-aktivis tertentu oleh kerana ghairah mereka untuk mencapai negara maju tanpa menyedari keadaan sosioekonomi.

Apa gunanya pencapaian negara maju kalau harga-harga barangan terlalu tinggi? Sebab-sebab inilah yang sedang menghantui pemikir-pemikir Brussels yang sedang bergelut bersama Moscow untuk merampas republik-republik bekas Soviet dan pada masa yang sama mengelakkan kehilangan republik-republik sedia ada yang akan menyukai matlamat bersejarah Moscow: “Kesatuan Eurasia” yang dijangka akan terbentuk pada tahun 2015, meletakkan Vladimir Putin sebagai penguasa terbesar, selepas Mikhail Gorbachev telah terjatuh melalui kehancuran geopolitik yang sangat teruk.

Brussels sedang bergerak dengan perbelanjaan yang banyak untuk mempengaruhi Armenia, Azerbaijan, Belarus, Georgia, Moldova dan Ukraine, tetapi “torpedo diplomasi” ini dibalas oleh pihak Moscow dengan pembentukan “Kesatuan Kastam” bersama Belarus dan Kazakhstan, kemudiannya penubuhan blok ekonomi yang telah mempengaruhi Kyrgyzstan dan Armenia. Moldova pula telah digegar dengan taktik tekanan diplomasi yang sangat merisaukan.

Yang paling ditakuti Brussels, Moscow kini mempunyai peluang untuk berkembang tanpa had.

Kesatuan Eurasia sememangnya lebih kebal berbanding Kesatuan Soviet atau Kesatuan Eropah. Mereka tidak mempunyai kewajiban penudukan kearah komunisme. Adalah tidak relevan kalau Malaysia menjadi ahli kepada Soviet atau Brussels oleh kerana peledakkan geopolitik Malaysia yang mementingkan agama (Soviet) dan juga kedudukan Malaysia sebagai negara bukan Eropah (Brussels). Tetapi, ianya relevan sekiranya Malaysia menyertai Kesatuan Eurasia.

Itulah dilema besar kuasa-kuasa kapitalis Brussels, kerana Moscow sedang berkembang ke Turkey, India dan Syria. Saya berpendapat Syria akan menyertai kesatuan ini sebagai ahli kepada komponen ekonomi, politik, penghakiman dan ketenteraan. Jika terbentuk, Vladimir Putin akan menjadi ketua negara yang paling berpengaruh dalam sejarah, jauh lebih kuat berbanding mana-mana presiden Amerika Syarikat.

Sebab itulah Viktor Yanukovych telah membelakangkan Kesatuan Eropah yang hampir berkecai akibat Krisis Kewangan Zon Eropah. Kiev memang terlalu terikat dengan Moscow dari segi hutang dan bekalan gas asli, dan jika Kiev membelakangi Moscow untuk Brussels, sudah tentunya kos sara hidup di Ukraine akan melonjak kepada paras yang tidak mampu dikawal, kerana Moscow sudah tentu akan mencekik Kiev sehingga Viktor Yanukovych dihalau keluar.

Contoh yang mudah telah membawa Viktor Yanukovych untuk berpandang ke Moscow adalah sekatan-sekatan ke atas pengimportan gula-gula, coklat dan kek dari Ukraine atas alasan kesihatan. Belarus, Moldova dan Lithuania turut dibedil dengan “torpedo ekonomi” yang sama – baja kalium (Belarus), wain (Moldova) dan produk tenusu (Lithuania). Tetapi Moldova masih lagi tegas untuk memasuki Kesatuan Eropah sehinggalah Moscow memberi amaran bahawa mereka akan membatalkan pembekalan gas asli pada musim sejuk dengan kenyataan dari Dmitri Rogozin: “Kami berharap anda tidak akan beku.”

Tanpa gas asli, Moldova tidak mampu menjana elektrik untuk kegunaan pemanasan. Anda sendiri mampu berfikir apakah tindakan logik yang perlu diambil oleh Presiden Nicolae Timofti memandangkan rakyatnya akan mati kesejukan tanpa elektrik ketika suhu negara mencapai angka negatif? Brussels memang terlalu marah dengan taktik-taktik tekanan diplomasi Moscow, dengan kenyataan kononnya ianya tidak adil dan salah disisi undang-undang.

Pengaruh-pengaruh Brussels sedang berusaha sedaya-upaya untuk menghalang Ukraine, republik yang mempunyai tanah paling subur, untuk bergerak ke arah Moscow. Keadaan semakin keruh apabila peserta demonstrasi dan polis mogok telah merempuh antara satu sama lain berhampiran dengan patung Vladimir Lenin yang ingin dihancurkan.

Walaupun peserta-peserta demonstrasi berusaha, patung Lenin kekal berdiri: simbolik dengan kejayaan-kejayaan zarah komunisme yang telah menyatukan sebuah empayar yang sangat besar dan kuasa yang gagah.

Maklumat terbaru daripada Kremlin mengatakan Komanwel Negara-Negara Merdeka (Commonwealth of Independent States – CIS) sedang bertukar secara berperingkat kepada Kesatuan Eurasia.

Mampukah Vladimir kedua (Vladimir Putin) menggabungkan seluruh rantau Asia dalam kesatuan dan hubungan diplomasi? Adakah kita berada dalam ambang Perang Dingin Kedua ketika ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah berada dalam keadaan yang kritikal?


-- AFDS --

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds