The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 25 February 2014

PERCANGGAHAN DALAM SOSIALISME



Ketika berbincang tentang gerakan-gerakan sosialisme seperti Adam Adli yang memperjuangkan “kebebasan asasi manusia”, sahabat saya telah mengeluarkan persoalan yang saya rasa perlu dibincang bersama: bukankah republik sosialisme itu sendiri berteraskan diktator?

Kalau kita rujuk semula perlembagaan empayar-empayar sosialisme yang lepas, kita mampu lihat titik-titik pertemuaan mereka dengan ciri-ciri diktator, sekaligus melahirkan tanda tanya yang dikemukakan oleh sahabat saya. Dan tanda tanya ini akan meledakkan satu percanggahan kerana peranan seorang diktator adalah menggunakan kuasa politiknya dengan cara autokratik tanpa had. Ianya bercanggah dengan idea “kebebasan” seperti yang diungkapkan dalam piagam demokrasi liberal.

Secara realitinya, perkaitan “sosialisme” dan “diktator” ini kekal sebagai persoalan terbuka dalam dunia politik. Pandangan-pandangan Amerika Syarikat melahirkan definisi sosialisme adalah tunjang kepada “diktator” kerana peranannya yang bergerak kearah tekanan-tekanan totalitarian. Tetapi, apabila kita rujuk ekonomi-ekonomi negara-negara Scandinavia, dimana sistem mereka bagaikan pertemuan sungai sosialisme dan negara berkebajikan, kita boleh mendapati air yang mengalir daripada hasil kedua-dua sungai ini mempunyai panji demokrasi juga.

Mungkin anda telah ungkapkan sosialisme boleh hidup di dalam air sungai demokrasi dan juga longkang autokrasi. Tetapi, di sini wujud sedikit masalah yang menimbulkan kekeliruan am ini. Kekeliruan ini terhasil akibat salah faham jenis sistem yang dibangkitkan. Ianya juga boleh dikaitkan dengan kekeliruan kapitalisme yang digunakan dalam sistem persekutuan boleh pula hidup dalam sistem unitari.

Permasalahannya adalah kerana pemahaman kita tentang piagam negara. Sistem persekutuan dan unitari adalah struktur kuasa sesebuah kerajaan, manakala demokrasi dan autokrasi merupakan sistem politik kerajaan tersebut, dan sosialisme pula sistem ekonomi yang dibawa oleh dasar-dasar politik kerajaan yang sama.

Analoginya mudah, ibaratkan satu sungai (demokrasi) dan longkang (autokrasi) yang mengalir ke arah yang sama (sosialisme). Contoh yang mudah adalah, anda meletakkan Sweden dan Nazi Jerman dalam satu perbandingan, kedua-dua negara bergerak ke arah sosialisme, tetapi air Sweden kekal jernih sebagai sungai manakala air Nazi pula dikeruhkan seperti longkang.

a. Sosialisme dan Komunisme

Apabila disebutkan dengan sosialisme, ramai yang menyangkakan ianya adalah tunas kepada komunisme. Menurut Vladimir Lenin, ketua kerajaan Kesatuan Soviet yang pertama, komunisme adalah matlamat kepada sosialisme. Walaupun seringkali dikaitkan bersama, sistem-sistem ini adalah berbeza sebenarnya, tetapi bangkit selepas Revolusi Industri, dimana pemilik-pemilik kilang kapitalis yang kaya sedang menekankan pekerja-pekerja mereka. Sebagai balasan kepada penindasan kapitalisme, Karl Marx dan Friedrich Engels telah menciptakan alternatif yang baru untuk mencapai utopia ekonomi: komunisme.

Mereka mementingkan tiga fasa untuk mendaulatkan ideologi ini:

• Fasa 1: sebuah revolusi mesti dibuat untuk menghancurkan kerajaan sedia ada sehingga segala sistem-sistemnya telah tiada;
• Fasa 2: seorang diktator atau ketua elit mesti menguasai golongan proletariat (pekerja) secara mutlak. Dalam fasa ini, penguasaan kerajaan baru ke atas rakyat biasa semestinya secara total – pendidikan, agama, pekerjaan dan juga perkahwinan akan ditentukan oleh pemimpin. Dengan kata mudah, pemimpin ini merupakan tuhan kepada masyarakat tersebut.
• Fasa 3: Pencapaian utopia. Untuk mencapai fasa ini, semua golongan yang bukan komunis perlu dihapuskan, dan Parti Komunis yang memegang kepimpinan secara mutlak. Fasa ini tidak pernah dicapai.

Apabila sistem komunisme telah tertubuh, kerajaan itu sendiri akan dibubarkan, dan semua rakyat akan bekerjasama untuk kebaikan bersama. Dari segi teori, inilah syurga ekonomi, tetapi dari segi praktikal, adakah kerajaan yang berpengaruh tinggi dari kehidupan peribadi rakyat sehingga penguatkuasaan ketenteraan akan melepaskan kuasa begitu sahaja?
Sosialisme pula berpendapat komunisme merupakan ideologi yang melampau. Dasar-dasar mereka telah mengurangkan kadar keekstrimannya dan lebih fleksibel untuk unjuran ekonomi moden.

Sosialis-sosialis berpendapat kapitalisme tidak perlu dimusnahkan, malah perlu diperbaharui melalui proses-proses demokratik, dan berbanding komunisme dimana keuntungan negara dibahagikan melalui keperluan, sosialisme membahagikan keuntungan negara berdasarkan sumbangan individu kepada masyarakat dan membenarkan perusahaan-perusahaan antara pekerja.

b. Robin Hood dan Adam Smith

Menurut sosialisme, sistem kapitalisme membenarkan golongan kelas atasan mengeluarkan struktur kewangan daripada sebuah ekonomi, meledakkan implikasi-implikasi yang akan menyusahkan hidup orang lain. Mereka meletakkan pendapat mereka untuk mengaut keuntungan orang lain yang tidak diperlukan dan berikan kepada golongan yang memerlukan untuk menaikkan kualiti hidup: ibaratkan Robin Hood, yang berfikir kapitalisme adalah atas kepentingan peribadi, bukan negara.

Tetapi Adam Smith (kapitalisme) mempunyai pemikiran pada stimulasi ekonomi perlu bersandarkan kepada persaingan antara pemilik pengeluaran swasta, yang akan mengurangkan harga, meninggikan keefisyenan dan menambahkan kualiti. Insentif ini akan memuncakkan mentaliti untuk bekerja lebih keras, kerana lumrah dunia adalah: “survival is for the fittest”.

Persaingan inilah yang dibuang daripada sosialisme. Teknik pembahagian kekayaan di dalam sosialisme akan meneruskan perniagaan tetapi memberi impak kepada hasil. Kapitalisme telah mengeluarkan ramai orang daripada kebuluran dan melonjakkan kualiti asasi manusia jauh lebih tinggi berbanding sistem ekonomi yang lain.

Perkara ini jelas wujud dalam sistem ekonomi Amerika Syarikat. Dengan kepelbagaian ciri-ciri untuk membentuk ekonomi, ianya akan membuka kepada kebebasan ekonomi, kejayaan dan kemakmuran. Negara yang kaya akan mempunyai populasi asas yang tenang.

Bayangkan sebuah kelas yang mempunyai kepelbagaian yang tinggi dalam gred pemarkahan pelajar. Apabila anda menggunakan dasar-dasar sosialisme untuk memarkahkan sebuah peperiksaan, pelajar-pelajar yang cemerlang akan diturunkan untuk menaikkan pelajar-pelajar yang gagal agar mencapai sebuah garisan pencapaian yang sama rata.

Kalau perkara ini diteruskan untuk tiga peperiksaan yang seterusnya, semestinya pelajar-pelajar cemerlang akan “menyerah kalah”, manakala pelajar-pelajar gagal tidak akan menghiraukan status gred mereka kerana mereka tidak akan gagal. Akhirnya, seluruh struktur akademik kelas tersebut akan musnah.

c. Paradoks Sahabat Saya

Sahabat saya memberi paradoks: bukankah republik sosialisme itu sendiri berteraskan diktator? Sistem kapitalisme meletakkan “anda usaha, anda kaya”, manakala sistem sosialisme mengimarahkan, “anda usaha, kami bahagi”. Apabila situasi ini berlaku dan anda tidak bersetuju untuk membahagikan kekayaan anda, apakah akan berlaku?

Ertinya di sini, sosialisme sebenarnya tidak mendirikan “kebebasan”, malah ianya menyekat kebebasan. Dan apabila kebebasan disekat, produktiviti akan terganggu akibat ketiadaan atau kekurangan pelaburan. Apakah perjuangan Adam Adli itu relevan?

Ketidakinginan untuk membahagikan harta kekayaan secara drastik seperti yang diketatkan oleh ideologi sosialisme akan menyebabkan pelbagai masalah kembali kepada kita: pengelakan cukai atau keengganan untuk membayar cukai. Benarkah sosialisme membuka tirai kearah kebebasan?


-- AFDS -

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds