The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Tuesday 25 February 2014

BUDAYA MEMBACA


Budaya membaca merupakan rezeki yang sangat terperinci dari segi akses yang mampu diraih. Seorang ulat buku mampu mendapat informasi-informasi terkini tentang perkembangan dunia, peradaban sejarah dan hiburan-hiburan berasaskan novel, berbanding seorang malas membaca buku yang hanya mengharapkan dokumentari-dokumentari dan berita-berita, termasuk juga dengan filem-filem untuk keperluan harian.

Daripada anda melaksanakan revolusi tumbang kerajaan, lebih baik anda memulakan revolusi tumbang kemalasan: “reading revolution”, demi kebaikan anak bangsa. Pembentukan kebudayaan membaca di alam sekolah merupakan aspek yang penting untuk mendapat pelajar yang lebih dinamik. Sumber ilmu dalam alam ini telah diukir melalui buku, bukannya minda dan mulut guru.

Walaubagaimanapun, pembentukan budaya membaca akan memakan masa dan perlukan komitmen staf sekolah untuk:

•           Menyokong sumber dan program perpustakaan
•           Memegang kepada visi “revolusi membaca”
•           Mengajar anak-anak murid kenapa budaya membaca merupakan asas yang penting
•           Membina suasana budaya membaca

Imej sekolah memberi gambaran kepada intipati sekolah tersebut. Kalau sekolah sangat bermegah dengan kejayaan-kejayaan sukan, maka sukan merupakan intipati sekolah tersebut. Jadi untuk memupuk budaya membaca, sekolah perlu memeluk fahaman “revolusi membaca” secara komited.

Di seluruh foyer-foyer sekolah perlu dihiasi dengan hiasan-hiasan yang memupuk kepada budaya membaca, dan kalau sekolah mampu menjemput penulis-penulis atau karyawan-karyawan domestik atau antarabangsa, itu merupakan kejayaan pertama yang mampu melahirkan inspirasi dalam anak-anak muda.

Anak-anak muda memerlukan inspirasi. Mereka merupakan pengembara berasaskan minat mereka sendiri. Jadi, kalau sekolah berjaya membawa minat mereka ke arah budaya membaca, itu merupakan perkembangan yang positif untuk mencapai kejayaan dalam “revolusi membaca”.

Selain daripada peranan yang dimainkan oleh guru, perpustakaan juga perlu mempunyai sumber-sumber yang terbaik. Kalau kita bandingkan kedai-kedai buku domestik dan antarabangsa, kita boleh dapati “kekurangan zat” dalam pembacaan kita. Pendapat saya, buku-buku seperti manga, komik dan majalah perlu dikurangkan, dilebihkan kepada hikayat-hikayat sejarah, novel-novel fiksyen dan buku-buku bukan fiksyen.

Dengan cara inilah sebuah perpustakaan akan mempunyai sumber sempurna yang akan menjadi pemangkin kepada revolusi ini. Apabila wujud hubungan guru-murid, semestinya kaedah pembacaan akan berjalan dengan sempurna. Sangat susah untuk mendapati sekolah yang mempunyai buku-buku berdasarkan perkara-perkara penting seperti: pergolakan di Dunia Arab, kejayaan Negara Israel, Perang Dingin, Perang Dunia Pertama dan Kedua, dan sebagainya.

Untuk pengetahuan anda, sumber terawal saya tentang Perang Dunia Kedua adalah permainan video Medal of Honor dan Call of Duty. Daripada situlah saya bergerak untuk membaca karya-karya penulis bukan Fiksyen. Ini akan menjadi satu masalah kalau orang lain turut mengharungi keadaan yang sama. Mereka tidak akan mengetahui nama-nama seperti Roza Shenina, Georgy Zhukov dan Benito Mussolini, atau insiden-insiden seperti Holocaust, Siege of Leningrad, Winter War, atau Battle of Kiev.

Apabila wujud keadaan sebegini, semestinya masyarakat dalam wilayah tersebut akan dibelenggu dengan masalah-masalah ketaksuban akibat mereka tidak mampu membezakan perkara yang memerlukan mentaliti maju untuk membezakan.

Orang-orang Islam pada hari ini mengenali Saidina Umar sebagai perwira mata pedang, tanpa mengetahui dasar-dasar geopolitik yang beliau bentukkan dalam sistem kerajaan unitari. Apabila ditanya, orang-orang Islam hanya akan menjawab: "khilafah merupakan jalan yang terbaik", tanpa mengetengahkan masalah-masalah ketika dalam perjalanan kearah khilafah. Lebih teruk, ada yang menjawab "yakin kepada Allah" tanpa mempunyai "master plan", seolah-olah mengharapkan Allah yang akan buat semua kerja.

Seketika kanak-kanak menghabiskan masa menonton “Upin dan Ipin”, mampukah Malaysia membentuk kanak-kanak yang bertanya tentang strategi Pihak Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua?

Sepertimana fahaman agama perlu diterapkan dari kecil, amalan membaca mesti bermula sebelum lahir lagi.


-- AFDS --

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds