The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Sunday, 29 December 2013

MELAYU DAN CINA: HUBUNGAN MERENTASI ZAMAN I

MELAYU DAN CINA: HUBUNGAN MERENTASI ZAMAN (Part I)


Sejak kebelakangan ini,kita dapat melihat banyak berlaku isu-isu panas yang melibatkan konflik antara bangsa Melayu dan Cina di Malaysia. Dua kaum ini, yang pernah bersama-sama menubuhkan Malaysia satu ketika dahulu, mula renggang sedikit hubungan muhibbah yang terjalin di antara mereka. Semakin banyak isu-isu panas yang dimainkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mahu memecah-belahkan keharmonian tersebut. Kami sangat serius mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan keharmonian dan keamanan tanah air kami. Jika rakyatnya berpecah-belah,tentulah perkara ini memudahkan kemasukan anasir luar yang sekian lama,berniat jahat terhadap kita semua.

Kami juga berasa terkilan dengan perkara ini kerana setelah sekian lama, atau lebih tepat lagi, beratus-ratus tahun dahulu, bangsa Melayu dan bangsa Cina memang terkenal sebagai sahabat baik, bak kata pepatah, bagai isi dan kuku. Namun, disebabkan timbul isu-isu tersebut, semakin rapuh hubungan di antara mereka.

Hubungan sahabat baik antara bangsa Melayu dan Cina telah terbukti dalam lembaran sejarah, baik di pihak Melayu mahupun Cina. Bangsa Melayu satu ketika dahulu sangat terkenal sebagai penguasa lautan dan pembina empayar yang hebat-hebat belaka. Bangsa Cina pula terkenal sebagai bangsa yang bertamadun tinggi, kuat berusaha dan pandai dalam selok-belok perniagaan. Kedua-dua bangsa ini saling berinteraksi antara satu sama lain, samada dengan cara intelektual, perdagangan, perkahwinan, penghantaran duta ataupun peperangan. Pengkaji-pengkaji sejarah khususnya kagum dengan rekod hubungan antara Melayu dan Cina yang sangat baik satu ketika dahulu.

Seharusnya, bangsa Melayu dan bangsa Cina seharusnya membuka semula buku sejarah dan merasai betapa manisnya hubungan muhibbah di antara dua bangsa ini. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar habis. Janganlah kerana seorang Melayu menghina cara hidup Cina, seluruh bangsa Melayu dicop sebagai rasis dan janganlah kerana seorang Cina menghina agama Islam, seluruh bangsa Cina dicop sebagai perkauman.

Bangsa Melayu kena tahu, banyak catatan mengenai sejarah nenek moyang kita direkod oleh bangsa Cina. Banyak rekod mengenai kerajaan-kerajaan Melayu purba masih disimpan elok di Kota Larangan, Beijing. Bangsa Cina juga perlu tahu bahawa mereka dan bangsa Melayu adalah ibarat air yang tidak putus apabila dicincang sejak sebelum zaman Melaka lagi.


Belajarlah daripada sejarah dan anda tidak rugi daripadanya.


Raja Ariff Danial

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds