The Patriots Schedule

The Patriots Schedule

Sunday, 29 December 2013

MELAYU DAN CINA: HUBUNGAN MERENTASI ZAMAN II



Kalau ditanya kepada kebanyakan orang Melayu dan Cina di Malaysia sekarang, sejak bila Melayu dan Cina mula berinteraksi antara satu sama lain; mesti jawapan yang terpacul di mulut kita ialah pada zaman Melaka lagi.Adakah generasi kita kini mengetahui bahawa hubungan Melayu dan Cina ini telah lama terjalin sebelum zaman Melaka lagi, dan masih bertahan sehingga kini?

Sejarah telah membuktikan bahawa raja-raja Melayu banyak menghantar perutusan dan persembahan kepada maharaja China. Ini adalah satu langkah bijak yang dilakukan oleh raja-raja Melayu zaman dahulukala kerana setiap perutusan dari kerajaan Melayu akan direkod dan disimpan di dalam arkib diraja mereka.

Rekod-rekod inilah yang akan dikaji oleh pakar sejarah antarabangsa, sekaligus membuktikan pada masyarakat dunia, terutamanya kepada anak-anak Melayu zaman internet dan whatsapp ini; betapa akrabnya hubungan antara bangsa Melayu dan Cina ini.

PENGHANTARAN SARJANA KERAJAAN MELAYU KE CHINA

Rasanya fenomena ini tidaklah meluas pada zaman sekarang, namun pada zaman dahulu ramai intelektual dari kerajaan Melayu ke China, terutamanya dari kerajaan Funan. Funan adalah antara kerajaan Melayu terawal di Asia Tenggara. Berikut adalah senarai penghantaran sarjana-sarjana kerajaan Melayu Funan ke China sepanjang zaman kekuasaan Funan dari abad pertama sehingga abad kelima Masihi;

1. K'ang Tai dan Zhu Ying dari Dinasti Liang pernah melawat Funan dan merekodkan mengenai tamadun dan cara hidup penduduk Funan. Mereka mengatakan bahawa Funan mengenakan cukai berupa emas, perak, permata dan minyak wangi kepada rakyatnya. Funan turut mempunyai perpustakaan dan arkib yang besar, menunjukkan orang Melayu di Funan mempunyai pencapaian tinggi dalam bidang keilmuan.

2. Rekod imperial Cina Dinasti Wu pada tahun 263 Masihi merekodkan ketibaan rombongan pemuzik dari Funan. Maharaja China yang kagum dengan keindahan muzik yang dialunkan oleh rombongan pemuzik Funan ini mengarahkan pembinaan insitusi muzik Funan di Nanking.

3. Mandrasena dan Samghabara, sarjana Buddha yang berasal dari India, telah diarahkan oleh Raja Funan ke China atas permintaan Maharaja China. Mandrasena tiba di China sekitar tahun 503 Masihi, membawa karya-karya Buddha berbahasa Sanskrit dengan terjemahan ke bahasa kun-lu-yu (bahasa Melayu Kuno) ke sana. Tugasnya adalah menterjemahkan karya-karya tersebut ke bahasa Cina. Antara karya yang diterjemahkan adalah Mahayana Saptaśatikā Prajñāpāramitā Sūtra.

4. Orang Funan juga adalah pembina kapal dan perahu yang handal. Mengikut catatan T’ai p’ing Yu Lan, perahu-perahu orang Funan ini pangjang-panjang dan boleh membawa sehingga 100 orang. Haluan dan buritannya berbentuk seperti kepala dan ekor ikan, dan setiap perahu itu dihiasi dengan perhiasan yang diperbuat daripada besi. Di samping itu, orang Funan juga mampu membina kapal-kapal besar bagi menyeberang lautan. Kapal-kapal itu dikatakan boleh mengangkut 600-700 orang penumpang dan anak kapal serta 1000 tan kargo.


Dari artikel ini,jelaslah bahawa hubungan Melayu dan Cina telah lama terjalin sejak abad pertama Masihi lagi, dan sangat menarik apabila dikaji dengan lebih mendalam. Kerajaan Melayu pada zaman dahulu juga sangat tinggi pencapaian tamadunnya sehingga Maharaja China pun mengimport sarjana-sarjana dari kerajaan Melayu pada zaman dahulu.

Bayangkan, duta China datang menghadap dan menyembah raja Melayu di istana Funan .Bayangkan riak wajah Maharaja China yang kagum melihat persembahan pemuzik Melayu Funan pada masa itu.

Untuk mengekalkan hubungan baik ini, kita seharusnya membuka kembali lembaran sejarah yang baik di antara dua bangsa besar ini. Persefahaman antara kaum adalah penting untuk mengekalkan keharmonian di Malaysia ini. Kalau generasi Melayu dan Cina dahulu boleh berkawan baik tanpa masalah, mengapa generasi sekarang yang hidup pada zaman"langit terbuka"ini tidak boleh? Elakkan salah faham dan stereo-typing antara kaum.



Belajarlah daripada sejarah dan anda akan rasa tidak rugi mempelajarinya.


Raja Ariff Danial



[Chronicles of The World]

0 comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds